HORIZON

Desa Balqis gamit kenangan di kampung semasa kecil

Desa Balqis gamit kenangan di kampung semasa kecil

Pemandangan Rumah Pak Ngah pada waktu malam yang dihiasi lampu meningkatkan estetika seni bina rumah Melayu tradisional.


SELEPAS diberi tanggungjawab untuk mengetuai program Hari Keluarga Haji Samah dan Hajah Not Pah tahun ini, Mohd. Shah Samah, 49, memulakan tugas untuk mengenalpasti beberapa lokasi bersesuaian.

Antara perkara yang dititikberatkan ialah lokasi, persekitaran menarik dan sesuai untuk sebarang aktiviti.

“Disebabkan kebanyakan ahli keluarga Haji Samah tinggal di sekitar pantai barat Semenanjung, jadi saya mencadangkan agar program hari keluarga kali ini diadakan di Melaka.

“Desa Balqis Beach Resort (Desa Balqis) yang terletak di Kuala Linggi menjadi lokasi program yang berlangsung selama tiga hari dua malam,” katanya yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan.

Menurut Mohd. Shah, selain terletak di kawasan pantai, Desa Balqis sangat unik kerana ia menyediakan rumah-rumah tradisional Melayu yang dibina menggunakan kayu sebagai kediaman pengunjung.

Keunikan itulah yang menjadi faktor utama mengapa dia bersungguh-sungguh mahukan program hari keluarga yang sudah masuk kali keempat penganjurannya itu dijalankan di situ.

“Lebih 40 orang ahli keluarga yang menyertai program hari keluarga kali ini sangat seronok dan memuji keunikan resort ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Perkara itu jugalah yang turut menarik minat sebuah lagi keluarga besar untuk menjayakan program hari keluarga di situ pada masa sama.

Rashdan Baharum, 46, bersama lebih 50 sanak saudaranya sebulat suara memilih Desa Balqis sebagai lokasi program Hari Keluarga Haji Abdul Ghani pada tahun ini.

“Selepas tamat program hari keluarga tahun lalu, kami bersetuju untuk menjadikan Melaka sebagai lokasi hari keluarga yang seterusnya.

“Kami tertarik dengan Desa Balqis yang mempunyai kemudahan pelbagai aktiviti terutama kawasan padang yang luas dan terletak berhampiran kediaman,” katanya.

Kata Rashdan, program hari keluarga yang berlangsung di resort itu merupakan kali kelima sejak ia dilaksanakan lima tahun lalu.

Jelas beliau, dia dan ahli keluarganya teruja untuk menginap di rumah kayu tersebut bagi menggamit kenangan ketika berada di kampung sewaktu kecil dahulu. Desa Balqis dibina di atas tanah seluas kira-kira 1.8 hektar di kawasan Kampung Kuala Sungai Baru. Ia merupakan sebuah resort yang dimiliki oleh Anwar Ismail, seorang anak tempatan kampung tersebut.

Menurut Anwar, sebelum beroperasi sebagai sebuah resort, kawasan tersebut terlebih dulu dibina sebagai tempat rehat keluarganya pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan.

Anwar dan keluarganya kerap melancong ke luar negara. Ketika melancong ke Eropah, dia mendapati banyak rumah tradisional masyarakat di sana yang berusia ratusan tahun masih dikekalkan dan menjadi tumpuan pelancong.

Dia kemudian terfikir, mengapa kita tidak kekalkan rumah-rumah lama orang Melayu yang mempunyai seni bina tradisional untuk dipertontonkan kepada masyarakat dunia sebagai satu tarikan pelancongan di negara ini.

“Bermula dari situlah, timbul idea untuk mencari rumah-rumah lama orang Melayu yang ingin dirobohkan oleh pemiliknya. Rumah itu untuk dipindahkan dan dikumpulkan ke sebidang tanah yang saya beli di Kampung Kuala Sungai Baru,” katanya.

Rumah pertama yang dibina ialah sebuah rumah kayu milik abangnya, Harun. Rumah itu dipindahkan dari lokasi asal di kawasan Bukit Supai, tidak jauh dari situ.

Rumah tersebut dibawa ke Desa Balqis selepas tapak asal rumah berkenaan diambil oleh kerajaan untuk projek pembangunan. Ia kemudiannya dinamakan sebagai Rumah Pak Long bersempena panggilan Pak Long terhadap Harun oleh ahli keluarganya.

Bina


Ruang dalaman Rumah Mama yang dihias ringkas bagi mengekalkan nilai tradisional rumah Melayu.


Bagaimanapun jelas Anwar, dua buah lagi rumah yang dibina pada peringkat awal yang diberi nama Rumah Mama dan Rumah Penghulu bukanlah kediaman asal yang dipindahkan, tetapi dibina baharu dengan rekaan rumah tradisional Melayu menggunakan kayu-kayu lama.

“Tiga rumah pertama tersebut pada asalnya dijadikan rumah rehat untuk ahli keluarga dan sanak saudara sahaja.

“Apabila melihat kemeriahan ahli keluarga ketika berkumpul di situ, minat terhadap rumah-rumah tradisional Melayu semakin memuncak dan saya mengambil keputusan membina lebih banyak rumah tradisional di sini.

“Sehingga tahun 2010, saya sudah memiliki hampir 10 buah rumah kayu termasuk sebuah rumah tradisional yang dibeli daripada seorang pemilik dari Rembau, Negeri Sembilan selepas ia dikatakan akan dirobohkan untuk diganti dengan sebuah rumah baharu,” katanya.

Selepas kerja-kerja pemasangan semula, rumah tersebut mengikut reka bentuk asalnya siap sepenuhnya, ia dinamakan Rumah Balqis bersempena nama anak sulungnya iaitu Balqis Aida.

Jelas Anwar, Desa Balqis yang seolah-seolah sebuah perkampungan Melayu itu juga pernah dijadikan set penggambaran drama bersiri Cikgu Kemisah Kirkby pada tahun 2009.

Selepas drama 26 episod itu ditayangkan di RTM2, resort miliknya itu semakin dikenali ramai.

Permintaan


Rumah kayu yang didirikan secara berdekatan mewujudkan suasana kampung.


Disebabkan banyak permintaan untuk menjadikan rumah-rumah tradisional ini sebagai lokasi percutian, Anwar mengambil keputusan untuk mendaftarkannya sebagai sebuah resort. Ia mula beroperasi pada Februari 2011 dengan nama Desa Balqis Beach Resort.

Resort ini mempunyai 19 buah rumah tradisional Melayu. Setiap satunya memiliki reka bentuk berbeza dan dibina menggunakan kayu-kayu lama kecuali Rumah Pak Long, Rumah Balqis dan Rumah Haji Mat Zin yang merupakan rumah asal yang dipindahkan ke sini,” katanya.

Rumah Mat Zin merupakan sebuah rumah yang dibeli daripada seorang penduduk dari Kerubong, Melaka. Rumah itu terpaksa dirobohkan oleh pemiliknya kerana terletak di atas jajaran landasan komuter yang akan dibina di kawasan itu beberapa tahun lalu.

Dalam pada itu, Pengurus Desa Balqis, Rosman Karim memberitahu, resort berkenaan semakin menjadi tumpuan pengunjung selepas ia dirasmikan oleh Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz pada 25 Mac 2015. Majlis itu juga turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman.

“Sejak dua tahun lalu, Desa Balqis bukan sahaja dikunjungi masyarakat tempatan, bahkan dari luar negara termasuk Singapura, Korea, China, Hong Kong, Vietnam dan Filipina.

“Malah, ada antara pelancong asing yang dalam perjalanan dari bandar Melaka ke Kuala Lumpur mengambil kesempatan untuk singgah ke Desa Balqis semata-mata mahu menikmati suasana kehidupan perkampungan Melayu.

“Mereka sanggup datang ke sini semata-mata untuk menjamu selera masakan tradisional Melayu dan berehat beberapa jam sebelum meneruskan perjalanan,” katanya.

Rencana Utama!»

Peluang miliki tanah, rumah sukar ditolak

DARI KIRI: Mat, Heng Bung dan Appachi melihat gambar-gambar lama peneroka asal di Muzium Felda Lurah Bilut.

Horizon!»

Smurfs ubah kehidupan penduduk Juzcar

Salah satu patung watak animasi Smurfs yang menghiasi kampung Juzcar, Sepanyol.

Varia!»

Penjajahan secara kawalan jauh

KEHARMONIAN dan keamanan negara perlu dijaga dengan baik demi masa depan generasi akan datang. – Gambar hiasan

Process time in ms: 32