INFINITI

Kesinambungan model telefon pintar Galaxy S

Kesinambungan model telefon pintar Galaxy S

INOVASI dan teknologi yang diguna pakai oleh Galaxy S8 serta Galaxy S8 Plus mampu memberi kepuasan kepada pengguna.


KEHEBATANNYA menguasai pentas lawak di negara ini diperakui ramai. Berbekalkan bakat semula jadi yang dimiliki, Harith Iskandar pantas ‘mencuit’ hati sesiapa sahaja dengan kemampuannya menghasilkan jenaka secara spontan dalam bahasa Melayu atau Inggeris.

Tidak hairanlah, beliau antara pelawak lelaki paling laris di Malaysia dan kerap diundang mengadakan persembahan pada majlis-majlis rasmi anjuran pelbagai pihak.

Malah, reputasinya semakin memuncak selepas dinobatkan sebagai juara pada kemuncak pertandingan Funniest Person In The World iaitu sebuah pertandingan komediri yang berlangsung secara online di Finland tahun lalu.

Sebagai selebriti terkenal, Harith tidak lengkang dengan gajet seperti telefon pintar yang dianggap sebagai peneman setia.

“Saya bukanlah fanatik sangat mengenai telefon pintar atau jenamanya, cuma yang penting ia perlu kelihatan menawan dan cool, sesuai dengan cita rasa saya.

“Pilihan saya pastinya jenama terbaharu Samsung iaitu Galaxy S8 dan Galaxy S8 Plus kerana ia kelihatan begitu seksi serta mempunyai gaya tersendiri,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada majlis pelancaran model telefon pintar terbaharu keluaran Samsung itu di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambah Harith, jenama telefon pintar Samsung bukan sesuatu yang asing kerana beliau pernah menggunakan Galaxy S5 sebelum ini.

“Saya terlepas untuk mengikuti perkembangan Galaxy S6 dan Galaxy S7.

“Bagaimanapun, selepas melihat kedua-dua model terbaharu ini (Galaxy S8 dan Galaxy S8 Plus) saya sangat kagum dengan inovasi serta teknologi yang digunakan,” ujarnya.

Selain digunakan sebagai alat komunikasi, beliau juga sering menggunakan telefon bimbit untuk menonton filem atau rancangan televisyen kegemarannya.

“Reka bentuk skrin berkonsepkan infiniti yang dibangunkan Samsung untuk model S8 dan S8 Plus ini memberi kepuasan kepada pengguna.

“Saya sendiri sudah mencuba dan berpuas hati dengan paparan visualnya. Apabila diletakkan di atas meja, seluruh perhatian akan tertumpu di depan skrinnya sahaja,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Unit Mudah Alih dan Perniagaan Teknologi Maklumat, Samsung Malaysia Electronic (SME), Lee Jui Siang berkata, pihaknya sentiasa komited mencari kelainan dalam setiap produk yang dihasilkan menerusi aktiviti kajian inovasi secara berterusan.

“Tujuan inovasi ini adalah untuk memberi peluang kepada setiap peringkat pengguna mengaplikasikan telefon bimbit pintar dengan lebih ideal.

“Jika kita lihat, selepas model telefon pintar Galaxy S dilancarkan tujuh atau lapan tahun lalu, kami sentiasa menghasilkan inovasi baharu terhadap produk yang dikeluarkan hampir setiap tahun.

“Justeru, Galaxy S8 dan Galaxy S8 Plus merupakan testimoni kami kepada janji-janji ini dan kami akan terus merangka inovasi baharu pada masa akan datang demi memenuhi kehendak serta cita rasa pengguna yang sentiasa berubah-ubah,” katanya.

Tambah Jui Siang, berdasarkan petunjuk awal, kedua-dua model terbaharu itu mendapat maklum balas yang baik dalam pasaran.

Tempahan


TEKNOLOGI kamera yang digunakan Galaxy S8 dan Galaxy S8 Plus disifatkan antara yang terbaik dan setanding dengan jenama-jenama terkenal lain.


Ia berikutan tempahan prapelancaran terhadap model Galaxy S8 dan Galaxy S8 Plus meningkat sebelum dilancarkan baru-baru ini terutamanya dalam kalangan Samsung Experience Stores dan pengedar sah di seluruh negara

“Kami percaya, Galaxy S8 dan Galaxy S8 Plus merupakan terjemahan sebenar kehebatan teknologi yang dibangunkan Samsung.

“Bukan sahaja kedua-dua model ini sangat mengujakan, malah ia didatangkan dengan reka bentuk yang segar dan kompak.

“Lebih penting, ia turut dibangunkan dengan ciri-ciri terbaharu dan penambahbaikan yang relevan kepada pengguna,” ujarnya.

Tidak lagi terkurung dengan penggunaan butang home seperti lazimnya, Galaxy S8 dan Galaxy S8 Plus dibangunkan untuk memberi pengalaman visual serta bunyi berterusan kepada pengguna.

Selain itu, ciri keselamatannya juga telah dipertingkatkan dengan teknologi biometrik baharu, keupayaan paparan antara muka yang pintar bagi membolehkan pengguna berinteraksi dengan telefon mereka.

Pengurus Kanan Pemasaran Produk Unit Mudah Alih dan Perniagaan Teknologi Maklumat SME, Julian Thean berkata, Galaxy S8 dan Galaxy S8 Plus merupakan kesinambungan daripada model terdahulu yang juga memiliki skrin melengkung pada bahagian tepi.

Bagaimanapun, kedua-dua model baharu itu telah diberi rekaan lebih kreatif sejajar dengan keperluan semasa.

“Menerusi konsep infiniti, butang home tidak lagi wujud bagi memberi lebih ruang kepada skrin.

“Penggunaan inovasi ini membolehkan paparan skrin Galaxy S8 dan Galaxy S8 Plus sebanyak 18 peratus lebih besar daripada Galaxy S7.

“Ia sekali gus menjanjikan kepuasan kepada pengguna yang gemar menonton filem, bermain permainan video atau melayari laman web berbanding sebelum ini,” katanya.

Kamera

Menurutnya, selain paparan skrin yang besar iaitu 5.8 inci (Galaxy S8) dan 6.2 inci (Galaxy S8 Plus), kedua-dua model itu dibangunkan dengan teknologi kamera terkini untuk memberi kepuasan kepada pengguna.

Katanya, kedua-dua model itu didatangkan bersama kamera dengan resolusi 12 megapiksel (MP) pada bahagian belakang dan lapan MP pada bahagian hadapan.

“Menariknya, teknologi yang digunakan membolehkan pengguna merakam imej yang terang dan jelas walaupun tanpa kehadiran cahaya yang mencukupi.

“Bagi peminat fotografi pula, mereka boleh menggunakan aplikasi filter yang terbina dalam telefon ini bagi meningkatkan kualiti gambar,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, sistem keselamatan kedua-dua model itu juga telah dipertingkatkan menerusi teknologi pengimbasan retina selain teknologi pengimbasan wajah, cap jari, nombor pin, kata laluan dan corak.

“Ini dapat memastikan privasi pengguna terpelihara dan menghalang sebarang pencerobohan yang tidak diingini.

“Selain itu, telefon ini bersifat kalis air dan habuk serta mempunyai pembantu peribadi pintar dikenali sebagai Bixby yang membantu memudahkan urusan harian pengguna,” katanya.

Rencana Utama!»

Agenda berbuka, bertarawih di masjid

ORANG ramai boleh merasai pengalaman berbuka puasa bersama pelancong di Masjid Putra, Putrajaya.

Varia!»

CJ Wow Shop penuhi keperluan pengguna

Yang HYUN (tiga dari kanan) bersama barisan penaja menunjukkan hadiah utama selepas melancarkan kempen jualan Serikan Ramadan dan Raya Bersama Wow di Seputeh, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Process time in ms: 31