GENK

Port Lepak pupuk minat mahasiswa jadi usahawan

Port Lepak pupuk minat mahasiswa jadi usahawan


Kadar sewa tapak yang berpatutan memberi ruang dan peluang kepada golongan mahasiswa menimba ilmu berniaga.


“PENGANJURAN program ini memberi ruang dan peluang untuk kami mahasiswa berniaga.

“Selain belajar berniaga, kami dapat beramal dengan menyumbangkan sedikit keuntungan kepada mereka yang memerlukan,” jelas Siti Ain Zubaidah Zulkefli, 23.

Pelajar semester ketiga dalam jurusan perniagaan di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) kampus Puncak Alam itu antara sebahagian mahasiswa yang mengambil peluang berniaga sempena program Port Lepak di universiti tersebut baru-baru ini.

Program Port Lepak itu bertujuan untuk menjana dana bagi menjayakan program Misi Keinsafan Di Bumi Kemboja yang akan diadakan di Kemboja pada Julai nanti.

Siti Ain mengambil peluang itu bagi mengisi masa lapang dengan berniaga barangan wanita seperti tudung dan pakaian.

“Saya ada menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan program ini amat membantu kami sebagai mahasiswa yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.

“Kadar sewa tapak yang dikenakan juga amat berpatutan,” jelasnya.

Santai

Dalam pada itu, seorang lagi mahasiswa, Noor Alia Nahilah, 22, mengambil peluang tersebut untuk berniaga barangan terpakai yang dijual pada harga rendah.

“Sempena program ini, sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang diperoleh saya akan sumbang untuk dana yang dikumpul oleh pihak penganjur,” katanya.


PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang membeli barangan yang dijual sempena program tersebut.


Tambahnya, program yang diadakan secara santai itu diharapkan dapat diteruskan pada tahun depan.

Program berkenaan juga disertai oleh pengusaha trak makanan.

Sementara itu, pengarah program itu, Meor Haikal Meor Ya’accob berkata, Port Lepak merupakan sebuah program yang dilaksanakan oleh pelajar semester empat yang mengambil jurusan pemasaran.

Menurutnya, objektif utama penganjuran program tersebut adalah untuk mengumpul dana bagi misi di Kemboja pada Julai nanti.

“Kami berfikir untuk melaksanakan misi keinsafan di Kemboja yang memerlukan dana yang besar.

“Jadi, kami berbincang pada peringkat awal untuk menganjurkan satu program yang boleh mencari dan mengumpul dana untuk menjayakan misi berkenaan,” katanya.

Tambahnya, selain mengumpul dana, program Port Lepak juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk berniaga dengan pihaknya menyediakan tapak untuk disewa pada kadar yang berpatutan.

Hasil daripada sewaan tapak itu akan menjadi dana untuk menjayakan misi keinsafan di Kemboja.

Meor Haikal berkata, dana yang dikumpul itu akan digunakan bagi membantu masyarakat Islam di Kemboja, terutamanya golongan pelajar.

“Ketiadaan kelengkapan yang cukup untuk pelajar di sana mendorong kami bukan sahaja sebagai mahasiswa tetapi saudara sesama Islam untuk membantu mereka,” jelasnya.

Process time in ms: 47