RUANG

Hias SOHO dengan konsep moden Inggeris

Hias SOHO dengan konsep moden Inggeris

UNIT SOHO ini tampak seperti suit hotel mewah bertaraf lima bintang.


IBARAT berada dalam suit hotel mewah di Eropah. Itulah gambaran pertama kru Jurnal ketika melangkah masuk ke kediaman milik Mell Amelia Mohd. Shafer, 39, yang terletak di Shah Alam, Selangor ini.

Biarpun kediaman jenis SOHO (Small Office Home Office) yang dihuninya sejak setahun lalu hanya disewa daripada seorang kenalan, namun perkara tersebut tidak menghalang wanita yang mempunyai tiga orang cahaya mata itu daripada menghias indah ruang kecil tersebut.

Menurut wanita yang mesra dipanggil Mell, kediaman diumpamakan sebagai syurga dunia yang perlu dihias indah bagi mewujudkan keselesaan maksimum kepada penghuninya.

Disebabkan itu, tidak hairanlah jika dilihat Mell sanggup menghabiskan lebih RM25,000 untuk menghias unit SOHO tersebut.

“Selalunya apabila sesebuah kediaman merupakan rumah sewa, ramai yang memandang ringan soal dekorasi dan hiasan dalaman.

“Jika ia dihias sekalipun, pasti akan ada individu-individu yang mempertikaikan tindakan tersebut. Ini kerana, mereka merasakan satu kerugian untuk menghias kediaman yang disewa.

“Bagaimanapun, bagi saya, kediaman merupakan nadi kehidupan seseorang dan ia perlu dihias bagi membangkitkan keselesaan dan keharmonian seisi keluarga,” jelasnya.

Menurut Mell, kediaman berkeluasan 39 meter persegi itu mengetengahkan konsep moden Inggeris.

Cetusan idea untuk menghias kediaman tersebut diambil daripada bahan bacaan di internet dan juga pengalamannya sebagai seorang kontraktor yang mempunyai syarikat menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian serta dekorasi kediaman.


SEJAMBAK bunga yang diletakkan pada bahagian tengah meja bangkitkan seri kediaman.


Kediaman mewah

Ternyata, saiz kecil ruang yang dihuni tidak menghalang Mell daripada menghias kediamannya mengikut cita rasa sendiri.

Walaupun menggunakan warna-warna gelap seperti biru, emas dan hitam, namun unit SOHO milik Mell tampak luas dan sangat eksklusif.

Malah, Mell berjaya meletakkan kediaman tersebut pada kelasnya yang tersendiri.

“Sebenarnya, ini merupakan kali ketiga saya mengubah cat dinding unit SOHO ini.

“Ini kerana, sebelum keseluruhan dinding ini diserikan dengan rona biru dan hitam keemasan, saya pernah menggunakan rona magenta serta biru firus pada keseluruhan kediaman.

“Bagaimanapun sekitar awal tahun lalu, saya mengambil keputusan untuk menukar cat dinding kepada warna biru,” jelasnya.

Menurut Mell, dia sering menukar rona cat pada dinding kediaman bagi membangkitkan mood ceria dan tenang setiap kali berada di dalam rumah.

Lazimnya, warna-warna kegemaran dan yang bersesuaian dengan umurnya dipilih untuk menyerikan kediaman tersebut.

Bagi membangkitkan lagi seri kediaman tersebut, Mell menggunakan wainscotting dengan calitan rona putih pada bahagian bawah dinding unit SOHO tersebut.

Ternyata, pemasangan wainscotting pada keseluruhan ruang berjaya menonjolkan lagi nilai eksklusif kediaman itu.


MELL mengibaratkan kediamannya sebagai syurga dunia.


Perabot tempah

Disebabkan itu, tidak hairanlah jika dilihat unit SOHO yang didiami Mell kelihatan tidak ubah seperti sebuah suit hotel mewah bertaraf lima bintang.

Walaupun memilih rona gelap pada bahagian dinding dan langsir, namun Mell bijak menyeimbangkan padanan warna tersebut dengan meletakkan sebuah cermin besar pada bilik tidur bagi menonjolkan kesan luas.

“Susun atur perabot dan pemilihan warna yang digunakan pada segenap ruang memainkan peranan penting untuk sesebuah kediaman.

“Seperti unit SOHO ini, saya memilih perabot yang bersaiz sederhana besar bagi mengelakkan ruang terlalu sarat,” jelasnya.

Ternyata, Mell merupakan seorang yang sangat teliti dalam memilih perabot. Ini kerana, sebahagian daripada perabot yang terletak di dalam kediaman tersebut ditempah khas daripada gedung perhiasan SSF.

Bagaimanapun, bagi mengelakkan ruang tampak terlalu membosankan atau padat, Mell menyesuaikannya dengan penggunaan aksesori di penjuru ruang.

Sebagai contoh, Mell menggunakan lampu, ban­tal-­bantal aksesori yang diletak­kan pada sofa di ruang utama dan bunga-bunga segar pada meja sebagai penyeri ruang.

Horizon!»

Bermain salji di tapak sukan bertaraf dunia

MUSIM sejuk menjadi destinasi popular pengunjung dari seluruh dunia untuk bercuti, mendaki dan meluncur salji.

Varia!»

Pemasaran 4.0 dalam konteks ekonomi digital

Pemasaran 4.0 merupakan satu pendekatan berkaitan strategi pemasaran yang memerlukan gabungan bersepadu interaksi online dan offline antara pengeluar dengan pelanggan.

Process time in ms: 47