AURA JUITA

Bersenam melalui tarian zapin dengan Zapinworks

Bersenam melalui tarian zapin dengan Zapinworks


ZAPIN merupakan salah satu jenis tarian tradisional yang terkenal dalam kalangan kaum Melayu.


Rata-rata rutin sukan tidaklah semudah yang disangka. Apatah lagi apabila melibatkan rutin yang memerlukan penggunaan tenaga yang banyak seperti bermain bola sepak, mengangkat berat mahupun bermain badminton.

Selain memerlukan alatan sukan yang menelan belanja ratusan ringgit, aktiviti sukan seperti itu sememangnya tidak sesuai bagi semua lapisan usia.

Namun, tidak semua jenis sukan memerlukan alatan yang mahal mahupun kekuatan tenaga jitu kerana berbalik kepada tujuan utama bersukan adalah untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan.

Sebagai alternatif lain, orang ramai boleh mencuba rutin senaman yang menyeronokkan di Zapinworks bertempat di Bees Studio, Denai Alam, Shah Alam, Selangor.

Pengasas Zapinworks, Rozaini Ibrahim, 50, berkata, rutin senaman berasaskan tarian zapin itu adalah sangat menarik dan memperlihatkan sisi unik tarian tradisional kaum Melayu.

"Di Zapinworks, saya akan mengajar peserta untuk mempelajari teknik-teknik asas tarian zapin dan pelbagai lagi tarian tradisional lain kerana ramai yang tidak tahu sebenarnya zapin lebih banyak menggunakan otot-otot pada badan.


YURAN bulanan kelas senaman Zapinworks hanyalah RM80 sebulan bagi dewasa dan RM40 untuk kanak-kanak.


"Oleh itu, peserta dapat menggunakan lebih banyak pergerakan otot di dalam kelas Zapinworks, tambahan ia tidak membosankan seperti rutin senaman yang lain," katanya kepada Aura Juita baru-baru ini.

Menurut Rozaini atau lebih mesra disapa sebagai Miss Roz, kelas asas zapin diadakan pada setiap hari Jumaat bermula pada pukul 6 hingga 7 petang.

"Selama satu jam itu, peserta akan menyertai sesi memanaskan badan terlebih dahulu dan kemudiannya belajar mengenai lenggok zapin yang sangat mudah untuk dipelajari.

"Lebih dikenali sebagai senaman Fullbody, peserta kemudiannya perlu melakukan regangan badan selepas kesemuanya selesai agar tidak mengalami rasa sengal pada badan di kemudian hari," ujarnya.

Katanya, peserta juga dinasihatkan untuk mengisi perut terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang sesi bersama Zapinworks kerana ia sedikit sebanyak dapat memberikan tenaga yang diperlukan dalam setiap rutin.

Mempunyai pengalaman selama 10 tahun dalam bidang kesihatan, kecergasan dan kesejahteraan tubuh badan, Rozaini percaya bahawa rutin senaman berasaskan tarian zapin itu dapat mencergaskan tubuh badan peserta di bawah pengelolaannya.

Difahamkan, rutin senaman tersebut diletakkan pada harga mampu milik iaitu sekitar RM80 bagi dewasa dan RM40 untuk kanak-kanak.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai kelas senaman berasaskan tarian zapin ini boleh terus menghubungi Zapinworks menerusi talian 012-355 0529 ataupun mengunjungi pusat senaman itu di laman Instagram @zapinworks selain di ruang Facebook, Zapinworks.

Process time in ms: 31