PESONA

Pesta buku pupuk budaya membaca

Pesta buku pupuk budaya membaca


PELBAGAI tawaran dan diskaun menarik menanti pengunjung PBAKL 2017.


MEMBACA adalah amalan mulia yang membantu menambah ilmu pengetahuan dan mendewasakan pemikiran.

Begitupun, ramai yang menganggap membaca satu perkara membosankan.

Jika dahulu bahan bacaan hanya terhad kepada buku, akhbar dan bahan bercetak lain, kini ia boleh diperoleh dalam talian seperti laman web, blog, forum dan e-buku.

Membaca akan mengaktifkan sel-sel dalam otak untuk berfikir.

Justeru, penggemar bahan bacaan, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ke-36 medan yang pasti sukar dilepaskan.

Tinjauan penulis baru-baru ini mendapati, pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan peringkat umur mula membanjiri PBAKL seawal pukul 9 pagi.

Meskipun keadaan cuaca tidak menentu kebelakangan ini dan jalan raya sesak, ia tidak menghalang pengunjung untuk datang bagi mendapatkan bahan bacaan yang diminati.

Seorang pengunjung, Ayra Rahmat, 20, berkata, pesta buku itu memberi peluang kepadanya mencari bahan-bahan bacaan yang digemarinya.

Pendedahan


PARA pengunjung berpeluang menemui para penulis kesukaan mereka di PBAKL 2017.


“Gerai-gerai buku di sini bukan sahaja menawarkan harga yang berpatutan, malah memberikan potongan harga istimewa.

“Tidak rugi mengunjungi pesta buku ini,” katanya.

Seorang guru dari sebuah sekolah di Kuala Lumpur, Rozaili Dolah, 44, menjelaskan, rombongan sekolahnya tidak mahu melepaskan peluang keemasan untuk melawat pesta buku berkenaan.

“Sebenarnya lawatan ke pesta buku adalah program wajib bagi sesetengah sekolah dan menjadi program tahunan mereka.

“Tujuan utama lawatan adalah untuk memberi pendedahan berterusan tentang kepentingan membaca buku kepada murid-murid,” katanya.

Acara yang berlangsung selama 10 hari bermula 28 April sehingga 7 Mei itu, disertai oleh 905 gerai pameran melibatkan syarikat swasta dan agensi kerajaan dari dalam serta luar negara.

Antara syarikat penerbitan tempatan yang terlibat ialah Dewan Bahasa dan Pustaka, Gempak Starz, Sasbadi, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia serta Perbadanan Buku Kota.

Dalam pada itu, bagi A. Hasieb Azahari, 25, beliau menyifatkan, lokasi PBAKL kali ini amat strategik kerana mempunyai kemudahan pengangkutan awam.

Katanya, orang ramai boleh menggunakan pengangkutan awam seperti Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) tanpa perlu menempuh kesesakan jalan raya.

“Saya percaya dengan adanya kemudahan pengangkutan awam, pesta buku ini pasti mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai.


KEMUNCULAN maskot Ejen Ali antara aktiviti yang mencuri perhatian pengunjung pada PBAKL 2017.


“Pengunjung juga tidaklah terlalu berasak-asak untuk berkunjung dari satu gerai ke gerai lain kerana ruang di bangunan ini luas dan selesa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bersama PBAKL 2017, Ishak Hamzah berkata, promosi potongan harga sehingga 80 peratus menjadi tarikan utama kepada pengunjung PBAKL 2017 kali ini.

Menurutnya, potongan harga ditawarkan adalah bagi menggalakkan pengunjung berbelanja dan membeli buku kegemaran mereka.

Beliau yang juga Pengerusi Dewan Industri Buku Malaysia memberitahu, terdapat juga syarikat penerbitan yang memberikan hadiah dan saguhati kepada pengunjung yang membeli buku dalam jumlah banyak.

“Tawaran harga menarik yang diberikan ini tidak terhad kepada buku-buku lama sahaja malah karya-karya baharu.

“Ini sebenarnya bukan perang harga, tetapi satu keistimewaan kepada pengunjung selain meniupkan budaya membaca,” ujarnya.

PBAKL kembali ke PWTC selepas diadakan di Taman Pameran Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor pada tahun lalu.

Selain pameran buku baharu di pasaran serta jualan buku dengan tawaran harga menarik, pelbagai aktiviti dan program turut disediakan untuk para pengunjung.

Antaranya ceramah penulisan, bengkel penerbitan buku, pelancaran buku dan sesi bertemu penulis.

Untuk maklumat lanjut dan berita terkini mengenai PBAKL 2017, layari laman web www.kualalumpurbookfair.my.

Process time in ms: 62