PESONA

Galak anak-anak makan sayuran

Galak anak-anak makan sayuran

Ibu bapa perlu kreatif dalam mempelbagaikan makanan agar kanak-kanak dapat menikmati makanan berkhasiat. – Gambar hiasan


MENDIDIK kanak-kanak untuk mengambil makanan berkhasiat terutamanya sayur-sayuran agak sukar terutamanya jika mereka sudah pandai memilih.

Walaupun makanan itu dimasak sendiri oleh ibu, mereka tetap tidak mahu mengambilnya kerana makanan berkhasiat lazimnya tidak mempunyai rasa atau kurang menyelerakan.

Ibu bapa perlu mencari alternatif dengan mempelbagaikan cara masakan agar anak-anak dapat menikmati makanan berkhasiat dalam diet mereka.

Menurut Pakar Keibubapaan dan Perkembangan Kanak-kanak, Ruth Liew, membesarkan anak-anak menjadi semakin mencabar pada hari ini terutamanya dalam aspek pemakanan.

“Kanak-kanak sering mengadu makanan mereka hambar dan tiada rasa terutamanya jika menu berkenaan ialah sayur-sayuran. Sebenarnya, menggalakkan mereka makan makanan sihat perlu bermula dengan cara pemikiran yang betul.

“Satu panduan yang baik untuk membuatkan kanak-kanak teruja dengan makanan adalah dengan melibatkan mereka semasa proses memasak dan menyediakan hidangan,” katanya ketika ditemui pada majlis Sajian Sihat, Keluarga Bahagia anjuran Potatoes USA di Secret of Louisiana, Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini.

Luang masa


Indra sentiasa kreatif dalam menyediakan masakan buat anaknya.


Tambah Ruth, tidak ada gunanya ibu bapa bergaduh dengan anak-anak sehingga akhirnya satu makanan pun tidak masuk ke perut mereka. Lebih membimbangkan, jika perkara ini kerap berlaku, ibu bapa akan dilabel seperti suka marah, kerap memaksa dan menjengkelkan oleh anak sendiri.

Jelasnya lagi, meluangkan masa bersama anak-anak pada usia muda sememangnya penting kerana ia membentuk karakter dan tabiat mereka kelak.

“Ibu bapa seharusnya menyemai pemikiran mereka mengenai pemakanan dan tingkah laku yang baik pada usia ini untuk membentuk acuan ke arah pemakanan sihat kerana dengan pendedahan dan didikan lebih awal, anak-anak akan melihatnya sebagai satu keperluan penting,” tuturnya.

Pada majlis itu, Ruth yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata, berkongsi cara memasak dan menyediakan makanan sihat khusus untuk kanak-kanak.

“Hidangan yang disediakan pada hari ini dipanggil Wajah Gembira Kentang AS. Bahan-bahan yang digunakan adalah kentang russet, isi tuna, kiub ayam dan sos masam manis. Rebuskan kentang terlebih dahulu sebelum dilenyek dan digaul bersama bahan lain.

“Ambil kentang yang telah dikeluarkan isinya dan masukkan bahan yang telah digaul tadi. Kemudian hias bahagian luar kentang itu dengan menggunakan cendawan shitake untuk membentuk mata, hirisan benggala merah untuk mulut, telur puyuh rebus untuk hidung, rumpai laut panggang untuk rambut dan jagung manis untuk gigi,” katanya sambil menunjukkan demonstrasi berkenaan.

Aktiviti menyediakan makanan ini memang menyeronokkan, semuanya boleh dilakukan serentak. Sambil memasak, ibu bapa boleh berbual dengan anak-anak dan boleh juga berkongsi pengetahuan tentang kebaikan sayur-sayuran dalam pemakanan.

Di negara maju seperti Britain, Jepun dan Amerika Syarikat, masyarakatnya menjadikan sayur-sayuran dan buah-buahan sebagai makanan rutin harian kerana mereka telah mengenal pasti dengan mengamalkan makanan tersebut, ia dapat meningkatkan kualiti hidup.

Kajian juga menunjukkan melalui sayur-sayuran yang kaya dengan nutrien dan serat penting, ia mampu menyelamatkan berjuta nyawa dan mengurangkan risiko penyakit berbahaya. Antara sayuran hijau yang bagus untuk kesihatan ialah bayam, brokoli, sawi, kangkung, timun dan kacang panjang.

Sementara itu, seorang lagi ibu dan pakar pemakanan terkenal, Indra Balaratnam mengakui dia sering meluangkan masa bersama anak perempuannya, Skyler, 11, untuk membantunya di dapur.

Khasiat


BAHAN-BAHAN yang digunakan untuk menyediakan masakan kreatif untuk anak-anak.


“Anak perempuan saya suka menolong saya memasak, dia seperti pembantu cef saya. Kami selalu membuat resipi ringkas bersama-sama.

“Kadangkala dia akan membawa bekal ke sekolah, apabila rakan-rakan lain melihat makanannya, mereka akan menyuruh ibu bapa masing-masing untuk turut sama menyediakan bekal bagi mereka. Bukankah itu perkara yang elok?,” ujarnya yang menunjukkan resipi membuat bergedel kentang AS bersama keju mozzarella, resipi yang dicipta sendiri.

Kata Indra, untuk memastikan anak-anak mendapat pelbagai khasiat makanan, ibu bapa boleh menambah hirisan sayur ke dalam bergedel berkenaan. Ia resipi yang bagus kerana, apabila bahan-bahan seperti kentang, ayam atau daging dan keju digaul bersama hirisan sayur, kanak-kanak tidak akan nampak sayur yang dicampurkan tadi.

Malah, jika sebelum ibu bapa akan menggoreng bergedel dalam minyak penuh, apa kata pada masa akan datang, masak makanan itu dengan teknik membakar dalam ketuhar pula.

“Menu itu amat sesuai untuk kanak-kanak yang cerewet dan memilih makanan. Malah terdapat banyak khasiat dalam bergedel itu tadi seperti kentang saiz sederhana membekalkan 30 peratus vitamin C dan lebih potasium berbanding pisang.

“Potasium baik untuk keseimbangan cecair dan meneutralkan kesan sodium yang tinggi bagi membantu kawalan tekanan darah,” ujarnya.

Menurut Pentadbiran Pemakanan dan Ubat-ubatan AS, makanan seperti kentang merupakan sumber potasium yang baik dan rendah sodium, ia juga membantu meredakan risiko tekanan darah tinggi dan strok.

Seorang lagi ibu yang berkongsi pengalaman sama dalam menyediakan makanan berkhasiat untuk anak-anak ialah selebriti, Azawate Zenol Abidin.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkongsi makanan kegemarannya bersama anak-anak dengan menyediakan telur dadar bersama cendawan dan kentang AS.

Azawate memberitahu, dia seorang yang tidak makan sayur-sayuran namun, dia tidak mahu anak-anak mengikuti jejak langkahnya. Oleh demikian, dia sering mempelbagaikan teknik menyediakan masakan untuk membuatkan anak-anaknya berasa teruja.

Dalam pada itu, untuk menyediakan telur dadar bersama cendawan dan kentang AS, dia sering menyediakan juadah itu apabila kesuntukan masa.

“Bergelar selebriti yang mempunyai waktu kerja tidak menentu membuatkan saya sering memasak makanan yang mudah dan cepat disediakan. Tambahan pula, telur dadar bersama cendawan dan kentang ini amat disukai suami dan anak-anak.

“Mereka boleh makan dengan nasi kosong dan kicap sahaja,” ujarnya sambil mengimbau kenangan menggembirakan ketika memasak sajian itu dengan anak-anaknya.

Process time in ms: 15