HORIZON

Perkampungan Hobbit bak berada di dunia orang kerdil

Perkampungan Hobbit bak berada di dunia orang kerdil


Pemandangan perkampungan Hobbit di The Hobbitton Movie Set di Matamata.


NEW ZEALAND atau Aotearoa yang bermaksud tanah awan putih yang panjang dalam bahasa Moari merupakan sebuah negara yang mempunyai jumlah kaum Polynesia teramai di dunia.

Negara yang terkenal dengan landskap dan keindahan alam semula jadi yang sangat mempesonakan ini telah menarik minat kami untuk mengembara ke sana.

Dengan menaiki pesawat AirAsia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, kami menuju ke Lapangan Terbang Auckland bagi memulakan pengembaraan di bumi Kiwi itu.

Auckland yang dikenali sebagai City of Sails merupakan kota terbesar di New Zealand dan mempunyai populasi penduduk teramai. Sinonim dengan gelarannya, banyak aktiviti air boleh dilakukan seperti menaiki kapal layar, berenang dan memancing.

Sepanjang perjalanan ke hotel, kami disajikan dengan pemandangan yang indah. Saya amat kagum melihat keupayaan penduduk tempatan yang masih mengekalkan senibina rumah tradisional berkonsepkan Inggeris.

Rumah kayu mempunyai beranda, pagar kayu, pergola yang dihiasi pohon menjalar dan bunga-bungaan seperti dodofil, ros dan bungaan renek pelbagai warna.

Kami daftar masuk di Pangsapuri Waldorf Celestion yang terletak di kawasan berhampiran Queens Street Mall, pelabuhan dan University of Auckland.

Disebabkan tempat penginapan kami terletak cuma 500 meter daripada University of Auckland, kami mengambil keputusan untuk berkunjung ke universiti berkenaan untuk bergambar.

Dalam keadaan hujan renyai, kami terus meneroka Auckland dengan menyusuri deretan kedai selain singgah di Sky Tower.

Kami turut meluangkan masa berjalan-jalan di sekitar dermaga sambil menyaksikan pemandangan kapal-kapal mewah, feri selain camar laut.

Perkampungan Hobbit


Penulis (depan kanan sekali) bergambar bersama kumpulan yang menyertai lawatan di New Zealand baru-baru ini.


Selepas puas meneroka Auckland, kami menuju pula ke Matamata, sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira dua setengah jam perjalanan dengan menaiki kenderaan.

Sepanjang perjalanan, kami dihidangkan dengan landskap hamparan padang rumput yang dipenuhi lembu dan biri-biri selain bukit-bukau yang menghijau.

Kami diberitahu, suatu masa dahulu pekan Matamata amat sunyi tetapi kini, ia menjadi lokasi tumpuan pelancong yang menunggu bas khas ke lokasi The Hobbitton Movie Set.

Kami tidak melepaskan peluang untuk turut berkunjung ke lokasi tersebut. Sepanjang berada di dalam bas, kami ditayangkan dengan dokumentari pembinaan set filem The Lord of The Rings dan The Hobbitton/The Shire.

Difahamkan, lokasi penggambaran yang terletak di Ladang Alexander ini dipilih kerana keindahan landskap muka buminya yang berlatarbelakangkan bukit-bukau beralun dan tasik biru.

Bagaikan dibawa ke dunia orang kerdil, kami menghayati suasana persekitaran di perkampungan ini. Kelihatan rumah kayu berwarna-warni yang sangat comel dan berpintu bulat, lengkap dengan ketuhar tradisional, kayu api, perigi, ampaian kain, ikan masin dan kebun sayur-sayuran.

Paling menarik ialah labu kuning yang sangat besar, sementara pokok buah-buah seperti epal, pear, lai, limau dan anggur pula sedang berbuah lebat sekali gus menjadikan penjelajahan kami terasa hebat.

Pada akhir pengembaraan di Matamata, kami singgah di Green Dragon Inn dan dijamu pula dengan air halia yang sangat sedap.

Dari Matamata, kami berkunjung pula ke Rotorua, sebuah bandar yang dikatakan dibina di atas tapak gunung berapi yang tidak lagi aktif. Perkara itu ada benarnya kerana sebaik tiba di sana, kami dapat menghidu bau belerang yang memenuhi ruang udara.

Selesai mendaftar masuk ke Pohutu Lodge Motel, kami bersiar-siar di sekitarnya untuk mengenali budaya dan cara hidup penduduk tempatan.

Kaum Moari


SEBUAH rumah tradisional kaum Moari di perkampungan Whakarewarewa Thermal.


Kami meneruskan pengembaraan ke Perkampungan Whakarewarewa Thermal. Di sana, kami melihat pemandangan rumah tradisional yang kesemuanya mempunyai arca gerbang yang berukir.

Difahamkan, kaum Moari membina pintu dan tingkap rumah yang rendah bertujuan melindungi keluarga daripada penceroboh ketika mereka keluar berburu atau berjuang.

Selain seni bina rumah, kami juga mengagumi tradisi memasak kaum Maori yang sangat unik. Makanan seperti sayur-sayuran, jagung, kentang, daging dan ayam diletakkan di dalam keranjang yang dibalut dengan kain atau guni basah.

Kami turut berpeluang menyaksikan persembahan budaya kaum Moari yang dimulakan dengan upacara menyambut tetamu diikuti tarian whakarerewa yang diiringi lagu dan muzik tradisional. Tarian ini bertujuan untuk menaikkan semangat para pahlawan sebelum keluar berjuang.

Satu lagi pengalaman berharga semasa di New Zeland ialah melihat burung kiwi yang hampir pupus di dalam bilik gelap. Walaupun tidak boleh terbang, burung kiwi yang saiznya sebesar seekor ayam itu boleh berlari selaju 35 kilometer sejam.

Ketika berada di Rotorua, kami turut mengambil kesempatan berkunjung ke pohutu geyser Te Puia iaitu mata air semula jadi yang mendidih. Ia dikatakan boleh menyembur sehingga mencapai ketinggian 30 meter dan meletus sehingga 20 kali sehari.

Kolam lumpur yang menggelegak di dalam kawah itu dikatakan bagus untuk kecantikan kulit.

Walaupun berlumpur, kami terpegun melihat keindahan warna tasik air panas yang menghijau kebiru-biruan. Di sinilah dikatakan tempat pahlawan-pahlawan Moari berendam dan menyuci diri sebelum pergi berjuang suatu masa dahulu.

Dari Rototua, kami meneruskan perjalanan ke Taupo. Bagi yang ingin lari daripada hiruk-pikuk bandar dan mencari ketenangan sambil menikmati keindahan tasik dan matahari terbenam, di sinilah tempatnya.

Hari pertama berada di Taopu, kami dibawa belayar dengan menaiki kapal. Kami terpegun melihat pemandangan tasik yang luas berlatarbelakangkan Gunung Ruapehu yang diliputi salji di bahagian puncaknya.

Difahamkan, limpahan salji dari Gunung Ruapehu yang bertakung itulah yang membentuk Tasik Taupo, seterusnya mengalir ke Sungai Waikato.

Aroma mufin yang dibakar di dalam cruise turut mencuri tumpuan.

Ukiran tebing batu


POHUTU GEYSER TE PUIA ini merupakan mata air semula jadi yang mendidih dan boleh menyembur sehingga mencapai ketinggian 30 meter.


Di kemuncak pelayaran, kami dibawa melihat batu berukit atau Moari Rock Carvings yang terletak di Mine Bay.

Ukiran tebing batu dengan ketinggian 10 meter ini dibuat oleh pengukir berketurunan Moari iaitu Matahi Whakataka-Brightwell bersama empat orang sepupunya bagi memenuhi impian neneknya yang ingin mengabadikan warisan seni ukiran kaum Moari untuk tatapan generasi seterusnya.

Aliran Sungai Waikato yang berpunca dari Tasik Taupo mengalir deras melalui tebing batu, membentuk Huka Falls yang berketinggian 11 meter dengan isipadu air yang mengalir pula dianggarkan kira-kira 220,000 liter sesaat.

Kesimpulannya, keunikan New Zealand Utara yang mempamerkan kelainan budaya dan keindahan alam semula jadi merupakan pengalaman manis yang sangat berharga untuk dikenang. Harapan kami semoga dapat kembali semula ke sini untuk meneroka keindahan New Zealand di kawasan selatan pula.

Rencana Utama!»

Peluang miliki tanah, rumah sukar ditolak

DARI KIRI: Mat, Heng Bung dan Appachi melihat gambar-gambar lama peneroka asal di Muzium Felda Lurah Bilut.

Horizon!»

Smurfs ubah kehidupan penduduk Juzcar

Salah satu patung watak animasi Smurfs yang menghiasi kampung Juzcar, Sepanyol.

Varia!»

Penjajahan secara kawalan jauh

KEHARMONIAN dan keamanan negara perlu dijaga dengan baik demi masa depan generasi akan datang. – Gambar hiasan

Process time in ms: 62