HORIZON

Jejak perkembangan sejarah Islam

Jejak perkembangan sejarah Islam

Seramai 38 peserta terlibat dalam program Jom Ziarah Masjid di sekitar Selangor baru-baru ini.


SEAWAL pukul 7 pagi, lelaki berusia 24 tahun itu sudah terpacak di depan pejabat Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) di Presint 15, Putrajaya.

‘Ditemani’ motosikal jenis Yamaha FZ150i dan sebuah beg galas berisi pakaian, Mohd. Khafizi Amat Noh sudah tidak sabar menyertai program Jom Ziarah Masjid (JZM).

Sebelum menunggu para peserta lain tiba, dia mengambil kesempatan memeriksa motosikal seperti brek, tayar dan minyak.

Ia bertujuan memastikan motosikalnya berada dalam keadaan terbaik sebelum menempuh perjalanan jauh ke beberapa destinasi persinggahan menuju ke Sungai Besar, Selangor.

“Saya dan seorang lagi rakan sampai ke sini sejam lebih awal berbanding peserta-peserta lain kerana teruja untuk menyertai program ini.

“Ini kali pertama saya mengikuti program kembara bermotosikal secara berkumpulan,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Program yang dianjurkan oleh Ikram dan kelab TM Bikers itu akan membawa peserta mengenal sejarah perkembangan Islam di Selangor melalui aktiviti ziarah masjid.

Dalam program JZM kali ini, para peserta menjelajah dua buah masjid bersejarah iaitu Masjid Sungai Chinchin, Gombak dan Masjid Panchang Bedena, Sungai Besar, Selangor.

Menurut Mohd. Khafizi, dia menyertai program tersebut kerana berasa terpanggil untuk mengetahui dengan lebih mendalam sejarah kedatangan Islam di negeri kelahirannya.

Jelas pemuda yang menetap di Cyberjaya, Selangor itu, program tersebut bukan sekadar menziarahi masjid, malah pengisiannya juga sangat bermanfaat.

“Program ini sangat bermanfaat kerana di samping mengembara, saya dapat mendekatkan diri dengan rumah-rumah Allah SWT sekali gus mencetuskan keinsafan dalam diri.

“Paling memberi kesan kepada saya adalah ketika melawat Masjid Sungai Chinchin. Di situ, saya berpeluang melihat liang lahad yang dibina oleh Syeikh Muhammad Nor al-Kholidi bagi menghadirkan keinsafan,” katanya.

Program selama dua hari satu malam itu disertai seramai 38 orang yang terdiri daripada ahli Ikram dan kelab TM Bikers.

Pengarah Program Jom Ziarah Masjid, Mohd. Kamal Ariffin Bunyamin, 41, berkata, program tersebut dianjurkan bertujuan mendekatkan para peserta dengan masjid sambil beriadah.

Jelasnya, program tersebut ternyata berbeza sama sekali dengan aktiviti-aktiviti lain yang sering dianjurkan oleh Ikram dan TM Bikers.

“Kami sengaja menggabungkan antara ahli Ikram dan TM Bikers kerana kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kepakaran masing-masing.

Iktibar


MASJID Panchang Bedena di Sungai Besar merupakan salah sebuah masjid yang dilawati para peserta.


“Ikram berpengalaman luas dalam penganjuran program berbentuk kerohanian. TM Bikers pula aktif dalam aktiviti mengembara secara berkumpulan,” katanya.

Sepanjang pengembaraan, ahli Ikram berkonvoi menuju ke destinasi menggunakan kereta manakala ahli TM Bikers menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Menurut Mohd. Kamal, pelbagai aktiviti berbentuk kerohanian dirancang khas buat para peserta sepanjang program berlangsung.

Katanya, aktiviti yang dirancang meliputi aspek kerohanian dan ilmu dengan menziarahi dua buah masjid berusia ratusan tahun itu.

“Para peserta dibawa melawat dan diberi taklimat ringkas mengenai sejarah pembinaan masjid iaitu Sungai Chinchin dan Panchang Bedena yang berusia seratus tahun.

“Hasil daripada aktiviti ziarah ini, kami berharap peserta dapat mengambil iktibar daripada kesusahan orang dahulu membina masjid dan menyebarkan Islam.

“Kami juga berharap peserta dapat menjadikan masjid sebagai rumah pertama mereka selepas program ini,” terangnya yang juga ahli Ikram.

Para peserta juga mengumpul wang tunai untuk disumbangkan kepada pihak masjid bagi menjayakan aktiviti-aktiviti di situ.

Mengulas mengenai idea penganjuran program tersebut, Mohd. Kamal memaklumkan ia diperoleh hasil daripada pengalamannya mengembara bersama isteri dengan motosikal.

Dia memberitahu, sewaktu mengembara ke Thailand dan Laos pada tahun lalu, peranan masjid sangat besar sebagai tempat pertemuan saudara sesama Islam.

“Semasa berada di tempat orang, saya berasa amat risau kalau tidak jumpa masjid. Ketika itu, baru saya sedar betapa bertuahnya rakyat Malaysia kerana masjid senang ditemui.

“Sekembali ke tanah air, saya terus tekad untuk mengambil pengajaran dan berusaha menelusuri sejarah masjid-masjid di Malaysia,” jelasnya.

Selain menjelajah masjid, aktiviti lain yang diselitkan dalam program berkenaan ialah menggagau ikan dalam sawah, memancing ikan dan meninjau keindahan persekitaran.

“Kami memilih menetap di inap desa Villa Gemilang yang terletak di tengah-tengah kawasan sawah padi menghijau.

“Di sini, pelbagai aktiviti berkumpulan dapat dilakukan seperti menggagau ikan di dalam sawah sekali gus dapat mengeratkan silaturahim antara peserta,” katanya.

Salah seorang peserta, Khalida Adibah Sahar, 27, berkata, dia berasa sangat bertuah kerana berpeluang melakukan aktiviti menggagau ikan.

Seronok


Sebahagian peserta menunjukkan ikan keli yang ditangkap ketika aktiviti menggagau ikan di dalam sawah.


Jelas gadis berasal dari Johor Bahru, Johor itu aktiviti tersebut memberi peluang kepadanya mengenal erti kesusahan orang dahulu menangkap ikan di dalam sawah padi.

“Ini kali pertama saya melakukan aktiviti menangkap ikan keli di dalam sawah padi. Ia sangat menyeronokkan, namun menguji kesabaran.

“Walaupun gagal menangkap ikan, namun sekurang-kurangnya saya dapat pengalaman melakukan aktiviti menggagau ikan,” katanya.

Khalida Adibah yang juga ahli Ikram memuji pihak penganjur JZM kerana memilih tempat menginap yang terbaik buat para peserta.

Jelas pekerja swasta di ibu negara itu, inap desa Villa Gemilang bukan sahaja selesa, malah menawarkan pemandangan sawah padi yang luas dan menghijau.

“Pemandangan di sini sangat indah kerana sawah padinya baru sahaja ditanam semula. Udaranya juga nyaman.

“Situasi ini sedikit sebanyak membantu saya melupakan sejenak kesibukan hidup di ibu kota,” katanya.

Rencana Utama!»

Orang-Orang Drum Theatre pilihan juri

AKSI pasukan Orang-Orang Drum Theatre berjaya memukau barisan juri sehingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Stailo!»

Perlahankan bisnes sempena Ramadan

Bidang fesyen mula diceburi oleh Sharifah Shawati pada awal tahun 2016.

Varia!»

Jasa Jalan Persekutuan

JALAN PERSEKUTUAN dibina pada tahun 1880 menjadi tulang belakang sebagai jalan alternatif. sistem rangkaian jalan raya di negara ini sebelum terbinanya lebuh raya.

Process time in ms: 16