STAILO

Pesona fusion kimono dan kebaya

Pesona fusion kimono dan kebaya



MENGGAYAKAN kebaya sebagai pakaian harian ketika di tempat kerja membuatkan pekerja syarikat swasta, Mastura Uthman, 29, semakin jemu.

Pada asalnya, dia yang lebih gemar memakai baju kurung moden, bagaimanapun menukar imejnya dengan memakai kebaya setiap minggu.

Mastura merasakan imej tersebut lebih sesuai dengan gayanya kerana penampilannya lebih feminin.

Lama-kelamaan dia semakin bosan dengan imejnya sendiri.

“Saya rasa seperti kurang bersemangat untuk pergi bekerja kerana tidak yakin dengan penampilan diri yang sama setiap hari.

“Memang benar mengenakan busana kebaya nyata menonjolkan feminin seseorang, tetapi saya rasa sudah tiba masanya saya mencari busana dengan konsep rekaan baharu.

“Alangkah baiknya jika busana kebaya mendapat sentuhan pereka moden yang mengetengahkan konsep baharu seperti fusion,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mastura akhirnya diperkenalkan dengan koleksi busana KimBaya menerusi laman sosial oleh rakan sepejabat.

Justeru, Mastura tidak melepaskan peluang untuk singgah ke pertunjukan fesyen Malaysia International Islamic Lifestyle (MILE 2017) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Melihat satu per satu busana KimBaya diperagakan di atas pentas membuatkan Mastura begitu teruja.

“Sudah pasti saya akan dapatkan sepersalinan busana KimBaya ini dan menjadikannya pakaian harian saya untuk ke tempat kerja,” ujarnya.

KimBaya merupakan koleksi label Adamaya yang mendapat sentuhan magis personaliti televisyen, Datin Sharifah Shawati.


Koleksi KimBaya dihasilkan daripada gabungan rekaan kebaya dengan kimono.


Nama KimBaya diambil daripada kombinasi dua perkataan iaitu kimono dan kebaya.

Ia merupakan pakaian tradisional bagi masyarakat Asia yang terkenal di Jepun manakala kebaya pula begitu sinonim kepada rakyat Malaysia.

Biarpun kedua-dua pakaian tersebut berbeza dari segi perinciannya, fungsi hakiki pakaian tradisional tersebut tetap sama iaitu menyerlahkan personaliti si pemakai.

Budaya

Menurut perekanya, Sharifah Shawati, koleksi tersebut merupakan hasil eksplorasi dan gabungan rekaan yang mempertaruhkan pelbagai jenis penggayaan.

Eksperimentasi segar menerusi kombinasi keunikan kedua-dua pakaian tradisional itu kemudiannya menambah rencah dalam industri fesyen tanah air.

“Budaya masyarakat negara Jepun dan Malaysia tidak banyak bezanya.

“Masing-masing memandang tinggi aspek kesopanan, elegan, unsur tradisional dan pada masa yang sama mengekalkan nilai sofistikated.

“Justeru, KimBaya mengangkat nilai-nilai itu dengan meletakkan unsur modenisasi supaya ia relevan untuk digayakan oleh generasi muda masa kini,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! pada pertunjukan fesyen MILE 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebagai seorang perunding imej, Sharifah Shawati merasakan ia menjadi sebahagian daripada tanggungjawabnya mendidik masyarakat untuk lebih kreatif dalam aspek penampilan diri.

Kebaya panjang klasik

Menurutnya, kreativiti dalam menggayakan sepersalinan pakaian mampu menonjolkan personaliti individu.

Pada masa sama, ia mampu menyerlahkan lagi keyakinan diri si pemakai. Sebagai mendukung usaha itu, koleksi KimBaya boleh digayakan dengan cara yang pelbagai.

“Ia boleh disarungkan sebagai yukata dengan lilitan obi (tali pinggang).

“Bahkan, jika ditambah dengan aksesori seperti kerongsang vintaj, penampilan KimBaya tidak ubah seperti kebaya panjang klasik.

“Hanya kreativiti yang membataskan pengayaan busana ini,” ujarnya.


Ragam sebahagian pereka ketika pertunjukan fesyen Malaysia International Islamic Lifestyle 2017 di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Tambah Sharifah Shawati, KimBaya juga boleh digayakan sebagai kardigan atau kot luar sesuai bagi penampilan imej individu berkerjaya.

Koleksi berkenaan sesuai untuk semua pelbagai lapisan masyarakat. Bahkan, ia relevan digayakan bukan sahaja pada majlis formal seperti hari keraian atau majlis-majlis tertentu bahkan sebagai pakaian harian.

Biarpun busana tersebut digayakan secara kasual, nilai eksklusif busana KimBaya masih terserlah.

Misalnya, KimBaya tampak anggun dengan memakai legging. Bahkan para Muslimah juga tidak perlu risau untuk mengenakan busana tersebut kerana ia masih tampak manis dan sesuai walaupun digayakan dengan seluar panjang.

Koleksi tersebut didatangkan dengan fabrik berkualiti tinggi iaitu kain kapas yang diimport dari Jepun.

Selain itu, setiap butir perincian seperti jahitan, pleat dan tenunan menambahkan eksklusif KimBaya.

Versatiliti KimBaya menjadikannya sepersalinan busana yang pastinya mampu menjadi fenomena dalam industri fesyen tanah air.

Ia bagaikan satu koleksi wajib ada bagi golongan fashionista.

Menurut Sharifah Shawati, setiap busana KimBaya berbeza dan tidak sama dari segi warna, corak, motif dan juga rekaan menjadikannya busana edisi terhad.

Seorang usahawan, Zuriani Mokhtar, 31, berkata, dia sangat berpuas hati dengan rekaan KimBaya selepas menggayakannya pada sebuah acara formal.

Busana tersebut bukan sahaja menyerlahkan keperibadiannya tetapi pada masa yang sama memelihara kebudayaan negara Asia.

“Busana ini sangat selesa untuk dipakai pada acara formal.

“Rekaannya mampu menjadi daya penarik sehingga pandangan orang akan tertumpu pada anda.

“Pada masa sama, ia mampu mempromosi pakaian tradisional serta kebudayaan negara kita,” jelasnya.

Rencana Utama!»

Gedung lebih 3,000 karya seni tempatan

Bangunan BSN terletak di Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak bersebelahan Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Varia!»

Mengimbau sejarah seni bina negara

Chee Cheong berharap pameran ini dapat mengiktiraf peranan dan sumbangan golongan arkitek dalam membangunkan negara satu ketika dahulu.

Process time in ms: 31