GENK

Bendung budaya gengsterisme dalam kalangan pelajar

Bendung budaya gengsterisme dalam kalangan pelajar


Pengisian ilmu ukhrawi dalam diri pelajar dapat menjauhkan mereka daripada melakukan perbuatan sia-sia. – Gambar hiasan


MASYARAKAT Timur khususnya rakyat Malaysia yang berbilang bangsa kaya dengan adat sopan santun. Bagi orang Melayu, adab yang bersendikan syariat Islam menjadi pegangan seperti memberi salam sebelum masuk ke rumah orang lain.

Mungkin terdapat segelintir individu yang terus memasuki rumah seseorang tanpa memberi salam kerana tuan rumah itu kenalan lama atau saudara- mara.

Begitupun, sikap bersahaja tanpa memikirkan perasaan orang lain seperti budaya tidak memberi salam sebelum memasuki rumah akan menimbulkan pelbagai tanggapan negatif yang akhirnya mencemarkan reputasi diri.

Kadangkala ungkapan ‘masuk rumah tak beri salam’ ini bukan sahaja digunakan untuk merujuk kepada etika sosial seorang Muslim tetapi dijadikan sebagai ayat berlapik sekiranya berlaku kejadian kurang elok pada pandangan masyarakat.

Antaranya, menceroboh tanah orang lain untuk melakukan sesuatu aktiviti sehingga mengundang rasa tidak puas hati tuan tanah berkenaan.

Dalam situasi lain, perbuatan membuat kacau di tempat awam sehingga menimbulkan keadaan yang tidak tenteram juga boleh dianggap sebagai menceroboh.

Viral

Semenjak video viral perlakuan sekumpulan pelajar yang dikaitkan dengan sebuah pertubuhan haram atau gengster membuat onar di hadapan sebuah sekolah di Lembah Klang, banyak pihak menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan membabitkan golongan anak muda itu.

Pada masa sama, sekalung tahniah diucapkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor kerana kecekapan dan kepantasan anggota pasukan beruniform terbabit yang berjaya memberkas suspek dalam kejadian video itu.

Gengsterisme atau budaya samseng bukanlah aktiviti antisosial yang baru muncul dalam masyarakat kita. Sebelum timbulnya gajet dan sosial media, gengsterisme telah pun wujud.

Generasi hari ini mungkin tidak menyedari bahawa ketika era kegemilangan produksi Jalan Ampas, Singapura telah menerbitkan sebuah filem bertajuk Samseng bagi memaparkan senario budaya kekerasan dan peras ugut yang menular dalam kehidupan masyarakat pada penghujung tahun 1950-an.

Gengsterisme merupakan perilaku antisosial kerana ia bertentangan dengan tatacara pergaulan manusia normal yang sepatutnya dibina atas rasa kasih sayang dan sifat perikemanusiaan.

Sikap samseng individu yang terlibat dengan kumpulan gengster ini terbentuk kerana keinginan untuk menarik perhatian orang sekeliling serta pengaruh rakan sebaya.

Dalam pada itu, dua faktor berkenaan ditambah keadaan keluarga yang berdepan pergolakan seperti konflik bersama ibu bapa dan adik- beradik menjadi faktor yang menarik segelintir golongan remaja menyertai kumpulan gengster.

Budaya samseng yang lazimnya mula bertunas sejak di bangku sekolah menimbulkan rasa gerun dalam kalangan anggota masyarakat. Sekolah atau mana-mana institusi pendidikan seharusnya bersih daripada anasir tidak sihat ini.

Bentuk jenayah gengsterisme berlaku dalam pelbagai bentuk, antaranya termasuk peras ugut wang dengan alasan sebagai upah perlindungan. Tidak dapat dinafikan kemungkinan terdapat sesetengah pelajar enggan hadir ke sekolah kerana takut ancaman peras ugut senior atau ahli kumpulan gengster.

Sekolah selamat

Sasaran untuk mewujudkan suasana persekitaran sekolah selamat masih panjang. Pada masa ini, terdapat pelbagai mekanisme sedia ada pada peringkat sekolah untuk memupuk jati diri dan peribadi pelajar merangkumi aktiviti kurikulum.

Bagaimanapun, ia merupakan sebahagian daripada pendekatan dalam proses pendidikan.

Meletakkan beban pendidikan anak-anak ke atas bahu guru dan pentadbir sekolah semata-mata bukanlah sikap yang bertanggungjawab. Hal ini kerana sebelum dan selepas waktu sekolah, pelajar adalah di bawah penjagaan ibu bapa.

Kita terpaksa menerima hakikat bahawa kesibukan mencari rezeki antara punca kurangnya masa bersama anak-anak.

Inilah cabaran yang sedang dihadapi oleh kebanyakan ibu bapa di negara ini.

Mungkin sudah tiba masanya satu dasar khusus kekeluargaan dirangka dengan penglibatan golongan majikan agar pekerja yang mempunyai keluarga diberi ruang masa kualiti bersama anak-anak.

Process time in ms: 46