GENK

Pupuk sikap anak Orang Asli rajin membaca

Pupuk sikap anak Orang Asli rajin membaca


kanak-kanak Orang Asli tekun memahami jalan cerita yang disampaikan oleh sukarelawan.


Memupuk sifat suka membaca dalam kalangan murid sekolah rendah perlu melibatkan pelbagai pihak.

Tidak dilupakan masyarakat Orang Asli bagi menangani masalah keciciran, perbezaan budaya dan persekitaran.

Sehubungan itu, sekumpulan 20 orang sukarelawan dari Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur telah menganjurkan sebuah program yang dinamakan Book Hero bertujuan menyemai semangat cintakan buku dan memberi galakan membaca kepada 60 orang anak-anak Orang Asli yang berumur di bawah 12 tahun.

Salah seorang sukarelawan UM yang mengikuti program tersebut, Farisha Rachmy Aulina Jumril Yunas, 21, memberitahu, dia dan rakan-rakan lain sangat teruja untuk berkongsi keseronokan membaca dengan para peserta.

“Cabaran yang kami hadapi bukanlah kerana mereka tidak lancar membaca, namun lebih bersifat pemahaman. Ini kerana sebahagian cerita dalam buku berkenaan memaparkan gaya hidup dan budaya masyarakat luar yang asing buat mereka.

“Contoh mudah ialah pengangkutan awam moden seperti penggunaan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan kapal terbang yang mungkin mereka tidak pernah temui,” ujar pelajar tahun kedua Fakulti Sains itu.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah berlangsung di Perpustakaan Jakoa, Gombak baru-baru ini.

Menariknya, program berkenaan bukan sahaja menumpukan kepada aktiviti membaca, namun turut membawa kepelbagaian dalam proses menjadikan aktiviti membaca itu sesuatu yang menyeronokkan.

Seorang lagi sukarelawan Muhammad Yushaizan Rosli, 20, berkata, pada awalnya dia membayangkan pasti sukar untuk mendekati murid-murid Orang Asli, apatah lagi membina kemesraan.

“Jangkaan tersebut ternyata meleset kerana sambutan yang mereka beri sangat memberangsangkan.

Minat


Hadiah diberikan kepada peserta yang berjaya menyelesaikan teka silang kata dan pertandingan mewarna.


“Mereka menunjukkan minat mendalam untuk memahami setiap topik yang diceritakan. Malah, ada peserta yang menunjukkan tahap imaginasi tinggi dengan membuat aksi-aksi menarik sewaktu program berlangsung,” jelasnya teruja.

Selain sesi bercerita, program itu turut diselitkan dengan sketsa ringkas yang mencuit hati.

Program itu turut mengambil peluang memberi sumbangan buku kepada pihak perpustakaan di kawasan tersebut.

Lebih menarik, program tersebut juga diserikan dengan kehadiran wakil syarikat animasi tempatan, Didi and Friends.

Selain membawa barangan sumbangan, mereka turut mengadakan sesi mendengar dan menari bersama lagu-lagu Didi and Friends yang sentiasa menggalakkan pendengarnya agar berkelakuan baik dan menghormati orang lain.

“Saya sentiasa menggalakkan mahasiswa universiti untuk mendekati segmen masyarakat untuk berkongsi apa jua kelebihan yang mereka miliki.

“Dalam program ini, pelajar telah memilih sikap minat membaca dalam diri mereka untuk dikongsi bersama anak-anak Orang Asli agar menjadi individu cemerlang pada suatu hari nanti melalui pembinaan minda dan jiwa mereka,” kata Pengetua Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah merangkap penasihat program, Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri, 42.

Process time in ms: 16