GENK

Belajar solat dengan sempurna

Belajar solat dengan sempurna

Solat secara berjemaah antara aktiviti yang dijalankan.


kanak-kanak berpakaian baju Melayu dan bersongkok itu membaca sesuatu berpandukan kertas yang dipegangnya.

Sebaik didekati jelas kedengaran bait-bait ayat surah al-Fatihah yang dilafazkan oleh Shahirul Alif Damian Shahirul Iman, 10.

Bacaan kanak-kanak itu dipantau seorang remaja lelaki yang duduk berhampirannya.

Sesekali remaja tersebut membetulkan bacaan Shahirul Alif.

“Saya gembira menyertai program ini. Para fasilitator juga amat baik.

“Mereka akan membetulkan bacaan saya jika terdapat kesalahan dari segi sebutan,” jelas Shahirul Alif yang merupakan salah seorang peserta program Bengkel Kembara Anak Soleh.

Program yang melibatkan seramai 70 pelajar tahun tiga, empat dan lima yang menitikberatkan kepentingan solat itu diadakan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina (C) Sungai Chua, Kajang, Selangor baru-baru ini.

Ia bertujuan memberi penerapan dalam diri individu terhadap kepentingan membudaya dan mengerjakan solat di samping mengisi masa lapang sempena cuti sekolah hujung minggu.

Program tersebut anjuran bersama Kelab Sahabat Kembara Ilmu (SKIL) dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Panitia Pendidikan Islam SRJK (C) Sungai Chua.

Shahirul Alif berkata, banyak ilmu tentang solat diperoleh apabila dia menyertai bengkel tersebut.

“Kami diajar tentang rukun solat, bacaan solat, perkara membatalkan solat dan praktikal melakukan solat dengan sempurna, ujarnya.

Dalam pada itu, Shauqi Akmal Sabaruddin, 10, berkata, kaedah penyampaian oleh fasilitator program sangat mudah difahami dan berkesan.

“Program ini sangat baik kerana saya dapat tahu apa yang betul dan salah dalam solat.

Pendedahan


Fasilitator membantu peserta program mengambil wuduk.


“Saya juga mendapat ilmu mengenai rukun solat dan tidak mengabaikan solat lima waktu di samping membina semangat rajin bersolat untuk melahirkan generasi yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sementara itu, Pengarah Program, Mohd. Azirol Amran berkata, bengkel berkenaan juga bertujuan untuk memberi peluang kepada ahli-ahli SKIL berkongsi ilmu fardu ain dengan pelajar sekolah.

Menurutnya, program sedemikian membolehkan golongan mahasiswa mendekati masyarakat.

“Program ini adalah satu inisiatif untuk kami memberi pendedahan kepada kanak-kanak pada awal usia tentang solat secara teori dan praktikal.

“Di samping itu, kami juga memberi tunjuk ajar kepada mereka untuk melaksanakan ibadah dengan sempurna dan seterusnya melahirkan generasi yang celik solat sejak usia kanak-kanak lagi,” katanya.

Tambahnya, bengkel itu dijalankan untuk menambah baik mutu dan kualiti solat semua pelajar yang terlibat.

Ujarnya, ia juga memberikan satu pengalaman baharu kepada mahasiswa USIM selain membantu melahirkan masyarakat yang sentiasa menitikberatkan segala kewajipan yang dituntut oleh-Nya.

Tiang agama


Seorang fasilitator membetulkan telekung peserta.


Antara aktiviti yang dijalankan pada program tersebut termasuklah mengambil wuduk, bacaan yang betul dan sempurna.

Peserta program juga didedahkan dengan bentuk bacaan dan perbuatan di dalam solat secara betul serta lancar.

Selain itu, peserta juga didedahkan secara praktikal untuk solat dengan sempurna secara bersendirian dan berjemaah.

Mohd. Azirol berkata, solat adalah tiang agama yang memainkan peranan penting dalam era yang serba mencabar kerana ia mampu membentuk hidup berkualiti dan seimbang dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Menurut beliau, program tersebut memberi pendedahan kepada peserta tentang cara mendirikan solat yang betul dan sempurna dengan mempelajari kaedah solat sebagaimana amalan Rasulullah SAW.

“Apa yang saya dan ahli-ahli kelab SKIL harapkan dengan program ini adalah ia mampu memberi kesan kepada pelajar untuk sentiasa melaksanakan kewajipan yang dituntut dalam agama seawal usia lagi,” jelasnya yang juga merupakan pelajar tahun ketiga di USIM yang mengambil jurusan al-Quran dan Sunnah.

Sepanjang program tersebut berlangsung, seramai 33 mahasiswa USIM yang juga ahli kelab SKIL hadir menjadi fasilitator untuk membimbing pelajar-pelajar sekolah itu.

Sementara itu, seorang fasilitator, Siti Nur Aimi Abdul Jalil, 23, berkata, rata-rata pelajar ternyata gembira menyertai program tersebut.

Menurutnya, mereka memberi kerjasama yang baik dan menunjukkan kesungguhan untuk belajar mendirikan solat dengan sempurna.

“Tidak dapat dinafikan ada antara peserta yang tidak dapat membaca surah al-Fatihah dan bagaimana mereka mahu mendirikan solat dengan sempurna.

“Walaupun tidak dapat membaca surah tersebut dengan sempurna mereka menunjukkan kesungguhan untuk belajar,” jelasnya.

Process time in ms: 15