PESONA

Bahaya sakit tulang belakang

Bahaya sakit tulang belakang


GEJALA penyakit AS adalah sakit belakang yang tidak beransur pulih walaupun sudah berehat dan melakukan aktiviti regangan. – Gambar hiasan


KESAKITAN pada tulang belakang tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh mengganggu tugas harian.

Pesakit akan merasai seperti dicucuk objek tajam pada belakang badan, payah menggerakkan kepala ke kiri dan kanan ketika memandu, sukar menggenggam objek kerana otot keras serta kaku.

Penyakit yang dinamakan spondilitis kejur atau ankylosing spondylitis (AS) adalah sejenis artritis yang menjejaskan tulang belakang. Penyakit itu bersifat progresif dan menyakitkan. Ia menyebabkan radang pada sendi tulang belakang.

Radang tulang belakang boleh mengakibatkan kerosakan pada struktur tulang yang tidak boleh dipulih lalu mengurangkan pergerakan dan kualiti hidup pesakit dengan ketara.

Nawfal Johnson, 52, mengaku penyakit yang menyerang secara senyap itu telah membuatkan emosinya terganggu sehingga tidak mampu menjalani hidup dengan sempurna.

“Saya mengalami penyakit itu ketika berusia 17 tahun lagi namun, ketika itu doktor hanya menganggap ia sakit belakang biasa akibat kecederaan bersukan. Mungkin pada ketika itu penyakit AS tidak begitu popular dan dipandang serius.

“Ketika melanjutkan pelajaran ke universiti, gejala itu semakin serius sehingga menyebabkan saya sukar berjalan dan bernafas.

“Lebih teruk, kesan tersebut membuatkan saya mudah tertekan dan cepat marah,” katanya yang turut disahkan menghidap osteoporosis dan radang mata (iritis) kanan beberapa tahun selepas itu.

Penderitaan lelaki yang berasal dari Amerika Syarikat itu tidak terhenti di situ sahaja, sebaliknya pada tahun lalu dia disahkan menghidap penyakit Meniere yang jarang berlaku.

Perbezaan

Penyakit itu adalah penyakit yang membuatkan jumlah cecair di dalam telinga tidak normal. Akibat daripada penyakit Meneire, Nawfal mudah pening kepala, tidak dapat mendengar bunyi pada frekuensi rendah, kurang kepekaan mendengar dan tekanan dalam telinga.

Akibat penyakit AS dan gabungan penyakit lain membuatkan Nawfal tidak mampu memandu kereta dan berjalan jauh.

Sementara itu, Pakar Perunding Reumatologi merangkap Presiden Yayasan Artritis Malaysia, Prof. Madya Dr. Sargunan Sockalingam berkata, AS adalah penyakit serius yang kurang diketahui oleh kebanyakan masyarakat.

“Ramai pesakit saya mengalami gejala pertama mereka pada usia muda. Ada yang baru sahaja menamatkan pengajian di universiti dan memulakan kerjaya.

“Keadaan ini menyebabkan mereka sukar untuk menjalankan aktiviti harian kerana kerap menguruskan penyakit yang menyeksakan itu,” ujarnya.

Tambah beliau, penting untuk pesakit mengesan tanda-tanda awal AS dan menerima rawatan mencegah kerosakan tulang belakang kekal. Pesakit yang mengalami gejalanya dinasihatkan mendapat bantuan pakar dengan segera.

“Antara tanda AS yang ketara ialah sakit pada bahagian pinggang dan tulang belakang. Sakit itu akan bertambah sakit jika berehat atau melakukan aktiviti berlebihan. Sesetengah pesakit akan diikuti demam, hilang selera makan dan mata kemerahan,” tuturnya.

Process time in ms: 31