PESONA

Hari keluarga Mahmud, Rokiah himpun lima generasi

Hari keluarga Mahmud, Rokiah himpun lima generasi


SEBAHAGIAN ahli keluarga bergambar selepas majlis makan malam pada program Ikatan Kasih Keluarga Mahmud dan Rokiah di PNB Ilham Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.


MENGHIMPUNKAN berpuluh-puluh keluarga dalam satu majlis bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan. Apatah lagi jika masing-masing menetap berjauhan.

Tanpa sebarang majlis formal seperti kenduri perkahwinan atau berlakunya kematian, sukar untuk seluruh ahli keluarga daripada beberapa generasi berkumpul di bawah satu bumbung.

Namun, atas dasar untuk mengeratkan silaturahim sesama keluarga, pertemuan yang dirancang sejak sekian lama akhirnya dapat direalisasikan dengan izin Yang Maha Esa.

Bertempat di PNB Ilham Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan, program Majlis Ikatan Kasih Keluarga Allahyarham Mahmud Yassin dan Allahyarhamah Rokiah Ahmad telah berlangsung dengan jayanya pada 18 dan 19 Mac lalu.

Hampir 200 ahli keluarga daripada lima generasi berkumpul untuk saling kenal-mengenali dan merapatkan hubungan selain mengimbau semula perwatakan dan keperibadian pasangan yang berasal dari Kampung Penajis, Rembau, Negeri Sembilan itu.

Hasil perkongsian hidup, Mahmud dan Rokiah dikurniakan lapan orang cahaya mata iaitu Nordin, Saadiah, Hamidah, Mohamad Nor, Zainab, Fatimah, Othman dan Asiah.

Tiga daripada mereka iaitu Nordin, Saadiah dan Asiah telah meninggal dunia. Daripada lapan orang anak, keluarga mereka semakin berkembang dengan memiliki 61 cucu, 182 cicit dan 34 piut.

Perancangan


CICIT Mahmud dan Rokiah yang merupakan hafiz al-Quran pada usia 16 tahun mengimamkan solat jemaah.


Pengerusi program majlis berkenaan, Saadon Aris, 59, berkata, perancangan untuk mengadakan hari keluarga tersebut sudah dimulakan sejak dua tahun lalu.

“Maklumlah, terdapat berpuluh-puluh keluarga untuk dihimpunkan dalam satu-satu masa, maka sudah pasti terdapat kekangan yang terpaksa dihadapi. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana majlis ini dapat juga dilaksanakan dalam suasana yang meriah dan harmoni.

“Walaupun ada wakil keluarga yang tidak dapat hadir kerana sebab-sebab tertentu, namun perjalanan setiap aktiviti yang diatur berlangsung dengan baik,” katanya.

Antara aktiviti yang diadakan ialah solat berjemaah diikuti majlis tahlil, doa selamat dan tazkirah, sesi taaruf daripada setiap wakil keluarga, acara makan malam dan sukaneka untuk semua peringkat usia daripada kanak-kanak, remaja, dewasa hinggalah warga emas.

Salah seorang cucu pasangan ini, Datuk Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin dalam tazkirahnya memberitahu, majlis hari keluarga seumpama ini hakikatnya mempunyai terlalu banyak kelebihan untuk diungkapkan.

Ini kerana terdapat banyak hadis berkaitan galakan dan gesaan Nabi Muhammad SAW berhubung perkara mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Pelajarilah salasilah nasab kalian agar kalian mengenali pertalian darah kalian, sebab menyambung pertalian darah dapat menambah kasih sayang dalam keluarga, menambah harta dan dapat menambah usia.”

Tambah beliau yang merupakan Pengerusi Akidah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, setiap individu perlu mengenali nasab dan keturunan sama ada yang di bawah mahupun di atas seperti suruhan Nabi SAW semata-mata untuk menghubungkan silaturahim antara ahli keluarga.

“Pada masa kini, lantaran tidak mengenali nasab dan keturunan menyebabkan apabila kita bertembung di luar sana, kita langsung tidak mengenali bahawa itu adalah sepupu, anak buah atau bapa saudara kita,” tegasnya.

Dalam pada itu, hasil daripada majlis ini, Muhammad Fuad telah mencadangkan penubuhan Yayasan Mahmudiah yang bertujuan menjaga kebajikan waris dan keturunan Mahmud dan Rokiah termasuk mengumpul dana untuk membiayai pendidikan pelajar tahfiz yang dipersetujui semua ahli keluarga.

Pahala


BEBERAPA pasangan menyertai acara baling belon air.


Menurutnya, matlamat utama penubuhan yayasan itu adalah untuk menginfakkan pahala hasil daripada melahirkan pelajar hafiz dan hafizah al-Quran kepada ahli keluarga yang telah terlebih dahulu dijemput Ilahi.

“Kita mahu agar program ini tidak berakhir dengan sia-sia, sebaliknya mendapat pahala yang besar di sisi Allah kerana penganjurannya berlandaskan jalan yang diredai-Nya,” tutur beliau.

Sementara itu, anak ketujuh pasangan Mahmud dan Rokiah, Othman, 68, berkata, program menghimpunkan kesemua waris keturunan ibu dan ayahnya perlu diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan hubungan darah yang terbina tidak putus.

“Sebagai orang tua, saya gembira apabila dapat bersua muka dengan adik-beradik, anak-anak buah dan cucu cicit yang jarang ditemui melainkan jika tiba musim perayaan atau majlis keraian. Justeru, program seperti ini perlu dijadikan sekurang-kurangnya sebagai acara tahunan dalam kalendar keluarga,” ungkap Othman yang merupakan seorang pesara kerajaan.

Process time in ms: 47