PESONA

Sagat 100kg pisang untuk tiga hari

Sagat 100kg pisang untuk tiga hari

Kerepek yang telah siap dibungkus dijual di pasar raya sekitar Melaka.


SEKITAR tujuh tahun lalu, Mariam Aman berfikir panjang, apa yang boleh dilakukannya dengan wang RM500.

Wanita yang berumur 51 tahun itu menyimpan hasrat ingin berniaga, namun dia tidak mempunyai ilmu dalam bidang tersebut.

Baginya, sebuah perniagaan memerlukan kewangan yang kukuh selain strategi pemasaran yang tepat.

Menyedari kejayaan tidak datang bergolek, Mariam nekad mengikuti bengkel anjuran beberapa badan bukan kerajaan di Melaka pada masa itu.

Bengkel itu menyasarkan orang-orang kampung agar melibatkan diri dalam industri kecil dan sederhana.

Sekitar tahun 2000, pisang dan ubi kurang laris di pasaran.

“Ketika menghadiri bengkel itu, tenaga pengajar menerangkan cara-cara mempelbagaikan produk daripada pisang dan ubi,” imbas ibu kepada 10 orang anak itu,

Itulah permulaan Mariam terbabit dalam bisnes kerepek.

Perniagaannya turut disokong oleh Program 1Azam.

Begitupun, perjalanannya tidak semudah disangka walaupun perniagaan itu dilakukan secara kecil-kecilan.

Selepas melaksanakan bisnes secara kelompok, wanita itu terpaksa mengundurkan diri lantaran tidak selesa bekerja secara berkumpulan.

Pada tahun 2010, Mariam bangkit semula dan menubuhkan sebuah syarikat memproses makanan ringan yang dinamakan MAHN Enterprise.

Kali ini, dia tidak berseorangan. Sebaliknya Mariam bergandingan dengan suaminya, Nasir Omar, 56, yang banyak membantunya menguruskan perniagaan.

Tapak perniagaan hanya didirikan bersebelahan dengan kediamannya di Jalan Penghulu Abdullah, Sungai Udang yang diubah suai dan diperbesarkan ruangnya.

Di situlah kerja-kerja menyagat, memotong, membakar dan menggoreng segala macam kerepek dilakukan.

Bercerita tentang fasa baharu perniagaan, Mariam memberitahu, dia mengeluarkan sejumlah wang simpanannya.

Pada masa sama, wanita bersemangat waja itu turut mendapat bantuan kelengkapan dapur daripada Program 1Azam.

Kini, dia mampu bersyukur apabila perniagaannya itu semakin maju.

“Kita kena percaya pada rezeki Allah. Kita berniaga bukan untuk dapat untung semata-mata. Lebih penting, pelanggan gembira dan berpuas hati dengan produk yang kita jual,” kata Mariam.

Dalam pada itu, Nasir memberitahu, dia akan mengikut isterinya berniaga jika berkelapangan serta membantu Mariam di dapur.

Menurut Nasir, mereka biasanya menggunakan pisang tanduk untuk dijadikan kerepek. Jelasnya, bekalan pisang nangka dan nipah sukar diperoleh kerana kebanyakan petani di kampungnya lebih banyak mengusahakan tanaman pisang tanduk yang mempunyai daya tahan terhadap serangan penyakit.

“Setiap hari, kami mendapat bekalan empat hingga lima tandan pisang seberat kira-kira 40 kilogram (kg) daripada pembekal.

“Dalam masa tiga hari, kami perlukan lebih kurang 100kg pisang untuk dijadikan kerepek, pengeluarannya boleh menghasilkan 30kg kerepek,” katanya yang mendapatkan bekalan daripada beberapa pembekal dari sekitar Merlimau.

Tradisional


Mariam menggunakan sedikit serbuk kunyit yang dibancuh dengan air untuk menyerlahkan warna kerepek.


Menariknya, pasangan suami itu masih mengekalkan cara tradisional dalam menyediakan kerepek pisang.

“Kami tidak pakai mesin sebaliknya, masih menggunakan penyagat pisang. Kami meletakkan sedikit serbuk kunyit yang dicairkan dengan air dan dituang ke dalam minyak untuk menyerlahkan warna kerepek.

“Paling penting, sukatan air garam kena betul. Air garam yang digaul bersama hirisan pisang perlu sekata, kalau tak, kerepek akan masin.

“Ketika menggoreng pula, kita kena jaga api dan perlu tahu tahap kegaringan dan baru boleh diangkat,” ujarnya.

MAHN Enterprise kini turut mengeluarkan pelbagai kuih tradisi lain seperti kuih ros, tiram, sepit, popia sira dan rempeyek.

Menjelang Ramadan tidak lama lagi, perniagaan pasangan tersebut pasti meningkat berkali ganda.

Berdasarkan pengalaman lalu, pelanggannya sanggup beratur di depan premis untuk membeli pelbagai jenis kuih milik mereka.

Menurut Mariam, tahun ini, dia menyasarkan antara 100kg hingga 200kg kerepek bagi memenuhi permintaan para pelanggannya.

“Kebiasaannya, saya akan mengupah beberapa penduduk kampung untuk kerja-kerja menggoreng dan membungkus kerepek.

“Pada masa sama, anak-anak juga membantu, mereka semua inilah tulang belakang kejayaan saya hari ini,” kongsinya.

Secara purata, pendapatan yang diraih oleh wanita itu juga lumayan. Dalam sebulan dia memperoleh antara RM4,000 hingga RM5,000. Pada musim perayaan pula, pendapatannya mencecah RM10,000 hingga RM12,000.

“Alhamdullilah, pendapatan saya ini juga didorong oleh jualan di beberapa pasar raya di sekitar Melaka.

“Antaranya di Bazar Wanita, Melaka Mall, AEON Mall Melaka dan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara),” kongsinya.

Tambah Mariam, dia tidak terkejut berkemungkinan pada suatu hari nanti, salah seorang daripada anaknya, bakal mengikut jejak langkahnya sebagai usahawan.

“Buat masa ini, saya hanya mahu tumpukan memberi pendidikan yang terbaik buat mereka,” katanya.

Sementara itu, Wan Mufidah Mohamed @ Jamal, 37, yang merupakan salah seorang pelanggan tetapnya memberitahu, dalam seminggu dia akan membeli kira-kira 5kg kerepek pisang untuk keluarganya.

“Suami dan anak-anak saya amat sukakan kerepek pisang ini. Ia dijadikan sebagai kudapan ketika mereka menonton televisyen di rumah.

“Memang tidak lekang tangan masing-masing menyuapkannya ke mulut,” kongsinya yang berasal dari Muar, Johor.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, keenakan rasa dan tekstur kerepek itu merupakan faktor mengapa dia selalu membeli kerepek yang dijual oleh Mariam.

“Malah, harga yang dijual juga amat berpatutan kerana sebungkus kerepek pisang iaitu 200 gram (g) bersamaan RM5 dan bagi 300g pula ia berharga RM8.

“Saya rasa pada harga sedemikian, tiada masalah untuk para pelanggan membeli produk tersebut,” ujarnya.

Rencana Utama!»

Orang-Orang Drum Theatre pilihan juri

AKSI pasukan Orang-Orang Drum Theatre berjaya memukau barisan juri sehingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Stailo!»

Perlahankan bisnes sempena Ramadan

Bidang fesyen mula diceburi oleh Sharifah Shawati pada awal tahun 2016.

Varia!»

Jasa Jalan Persekutuan

JALAN PERSEKUTUAN dibina pada tahun 1880 menjadi tulang belakang sebagai jalan alternatif. sistem rangkaian jalan raya di negara ini sebelum terbinanya lebuh raya.

Process time in ms: 15