HORIZON

‘Layanan mesra’ ikan kelah Tasik Kenyir

‘Layanan mesra’ ikan kelah Tasik Kenyir


Kebanyakan ikan kelah yang terdapat di Pusat Santuari Kelah Sungai Petang bersaiz sederhana dan sangat jinak.


TASIK Kenyir yang terletak di kawasan Hulu Terengganu sememangnya terkenal sebagai salah satu lokasi tarikan pelancongan di negeri Terengganu.

Selain diwujudkan sebagai pusat menjana tenaga elektrik, tasik buatan itu turut menjadi tumpuan kaki pancing yang ingin merasai keseronokan menaikkan beberapa spesies ikan air tawar yang dianggap paling kerap menjadi buruan seperti toman, baung dan kelah.

Kewujudan Tasik Kenyir juga turut menjana ekonomi penduduk setempat apabila ada antara mereka yang berpeluang meraih pendapatan dengan menyediakan perkhidmatan rumah bot untuk membawa pelancong meneroka keindahan tasik berkenaan selain membuka gerai-gerai menjual makanan dan cenderamata.

Selain memancing ikan, pengunjung juga turut berpeluang beriadah di Air Terjun Lasir, Taman Herba dan meneroka Gua Bewah.

Namun, tidak lengkap percutian ke Tasik Kenyir sekiranya tidak meluangkan masa berkunjung ke Pusat Santuari Kelah Sungai Petang yang terletak kira-kira 40 minit perjalanan dengan menaiki bot laju dari Pengkalan Gawi.

Diwujudkan sejak tahun 2005 sebagai pusat santuari ikan kelah, pihak Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) diberi tanggungjawab untuk mengawal selia segala aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan spesies ikan kelah di situ.

Selepas menjalankan pelbagai kajian dan aktiviti pemuliharaan selama tiga tahun, pada tahun 2008 kawasan tersebut mula dibuka kepada orang awam.

Bagaimanapun, kunjungan ke pusat santuari itu tidak boleh dibuat sesuka hati kerana setiap pengunjung yang ingin memasuki kawasan berkenaan perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak Kenyir Travel, anak syarikat di bawah Ketengah yang bertanggungjawab melaksanakan aktiviti kunjungan ke tempat tersebut.

Peraturan


Pengunjung teruja bermain dengan ikan kelah tanpa rasa takut.


Kebenaran yang dikeluarkan pula terhad kepada 100 orang sahaja setiap hari dengan 80 daripadanya merupakan pelancong yang menaiki rumah bot manakala selebihnya akan diberikan kepada individu yang memohon secara terus daripada pejabat Kenyir Travel pada hari berkenaan.

Harus diingat bahawa pusat santuari tersebut akan ditutup bermula bulan November hingga Februari setiap tahun bagi tujuan pemuliharaan selain lokasi berkenaan tidak sesuai untuk dikunjungi disebabkan oleh musim tengkujuh.

Sebaik tiba di pintu masuk ke kawasan santuari, pengunjung akan diberikan taklimat oleh petugas Kenyir Travel di pos kawalan terlebih dulu berhubung perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang berada di kawasan tersebut.

Peraturan tersebut dilaksanakan bagi memastikan pengunjung tidak melakukan sebarang perkara yang boleh mengancam spesies ikan kelah yang dipelihara dan dipulihara di situ.

Sebaik dibawa masuk ke kawasan muara Sungai Petang, pengunjung akan dibawa ke sebuah jeti dan dari situ, pengunjung perlu berjalan meredah hutan sejauh kira-kira satu kilometer untuk tiba di lokasi santuari.

Bagi mereka yang tidak biasa dengan aktiviti meredah hutan, jangan bimbang kerana pihak Kenyir Travel telah menyediakan laluan khas bersimen di sepanjang perjalanan.

Lebih menarik, pengunjung berpeluang melihat keindahan alam sekeliling apabila melalui jambatan gantung yang dibina merentasi Sungai Petang untuk ke Lubuk Kejor, tempat yang menjadi lokasi santuari.

Terdapat beberapa pegawai dan petugas ditempatkan di lokasi berkenaan bagi memantau sebarang aktiviti di situ.


Pos Kawalan Pusat Santuari Kelah Sungai Petang di Tasik Kenyir, Terengganu.


Walaupun secara semula jadinya, ikan kelah merupakan spesies yang sangat sensitif dengan kehadiran manusia dan akan menyorok di celahan batu sekiranya berasa terancam, namun situasi di santuari berkenaan sangat berbeza.

Pengunjung bebas untuk bermain dengan ribuan ikan kelah yang boleh dianggap terlalu jinak, sehinggakan ikan-ikan berkenaan akan mengerumuni sesiapa sahaja yang masuk ke dalam air sungai tanpa rasa takut.

Bagi merasai keseronokan bermain bersama ikan kelah di situ, pengunjung dinasihatkan membawa bekalan makanan ikan yang boleh dibeli di pusat penerangan di pintu masuk santuari.

Namun, jangan terkejut atau takut sekiranya ikan-ikan berkenaan kelihatan agresif sebaik melihat anda mencelup tangan ke permukaan air kerana ia sememangnya perkara biasa disebabkan kesemuanya ingin mendapatkan makanan tersebut.

Menurut pihak Kenyir Travel, terdapat lebih daripada 5,000 ekor ikan kelah mendiami kawasan santuari tersebut dengan purata berat setiap daripadanya adalah sekitar sekilogram.

Ikan kelah yang bersaiz lebih besar pula biasanya akan meninggalkan kawasan tersebut untuk mencari habitat baharu di kawasan semula jadi.

Rencana Utama!»

Orang-Orang Drum Theatre pilihan juri

AKSI pasukan Orang-Orang Drum Theatre berjaya memukau barisan juri sehingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Stailo!»

Perlahankan bisnes sempena Ramadan

Bidang fesyen mula diceburi oleh Sharifah Shawati pada awal tahun 2016.

Varia!»

Jasa Jalan Persekutuan

JALAN PERSEKUTUAN dibina pada tahun 1880 menjadi tulang belakang sebagai jalan alternatif. sistem rangkaian jalan raya di negara ini sebelum terbinanya lebuh raya.

Process time in ms: 47