HORIZON

Gudang Makang, Dapo Pata tarikan baharu di Kuala Terengganu

Gudang Makang, Dapo Pata tarikan baharu di Kuala Terengganu



SELEPAS mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan kelahiran negeri Terengganu kira-kira sedekad lalu, Muhd. Rushdi Samsudin, 35, mengambil keputusan untuk terus menetap di negeri itu.

Anak kelahiran Perak itu mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan cara kehidupan di Pantai Timur terutama dari segi loghat dan makanan yang berbeza.

“Pada mulanya, memang saya berasa agak kekok untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di sini terutama dari segi makanan kerana ia agak berbeza dengan Perak.

“Namun, lama-kelamaan sudah mampu mengadaptasi. Saya juga dapati banyak kedai makan dan kafe unik di sini yang menawarkan pelbagai hidangan sama ada dari negeri lain atau makanan Barat.

“Malah, terdapat juga kafe di Kuala Terengganu yang dibuka berkonsepkan hispter seperti di Kuala Lumpur. Ia juga menjadi tumpuan penduduk setempat yang ingin mencari kelainan,” katanya.

Dia yang kini menetap di Kuala Terengganu berkata, antara kafe hipster yang kerap dikunjunginya bersama keluarga ialah Gudang Makang yang terletak di Manir, tidak jauh dari bandar Kuala Terengganu.

Jelasnya, kafe itu bukan sahaja menyediakan persekitaran yang selesa tetapi turut menawarkan pelbagai makanan yang disediakan oleh peniaga-peniaga.

Bercerita lanjut mengenai Gudang Makang, pemiliknya, Muhammad Anwar Haladin, 34, berkata, kafe tersebut dibuka sejak 3 Februari lalu di atas tanah milik keluarganya.

“Saya mendapat idea untuk membuka kafe hipster ini selepas ia banyak dibuka di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Ia juga mendapat sambutan baik daripada pengunjung.

Gudang kosong


Keunikan Dapo Pata terletak pada rekaan setiap gerai yang berbeza dan dibina menggunakan bahan terpakai.


“Memandangkan keluarga saya di Kuala Terengganu memiliki sebuah bangunan gudang kosong yang tidak digunakan, jadi saya mengambil keputusan untuk mengubahnya menjadi medan selesa dengan konsep hipster yang dinamakan Gudang Makang,” katanya yang pernah bekerja di Kuala Lumpur sebelum ini.

Muhammad Anwar memberitahu, perkataan makang merupakan istilah loghat Terengganu yang bermaksud makan dan penggunaan nama Gudang Makang itu merujuk kepada bangunan gudang yang dijadikan gerai makan.

Ceritanya lagi, dia mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk melakukan pengubahsuaian terhadap bangunan gudang milik keluarganya itu termasuk menyediakan kelengkapan seperti kerusi dan meja makan selain kios untuk peniaga.

Sehingga kini katanya, terdapat 14 peniaga yang beroperasi di kafe tersebut yang terdiri daripada penduduk sekitar Kuala Terengganu yang menawarkan pelbagai jenis menu untuk dinikmati oleh para pelanggan.


AFFANDI (tengah) bersama Nur Hafiza (kiri) dan peniaga, Rowandi Halim menunjukkan sebahagian daripada menu yang ditawarkan di Dapo Pata.


“Di sini, pengunjung boleh memilih sama ada untuk menikmati makanan di meja yang disediakan di dalam gudang ataupun di ruang terbuka.

“Mereka bebas untuk duduk di meja yang dirasakan sesuai dan selesa serta memesan makanan daripada mana-mana peniaga di sini,” katanya dengan memberitahu, operasi Gudang Makang bermula pada pukul 5 petang hingga 12 tengah malam setiap hari.

Selain menyediakan hampir 40 jenis menu, Gudang Makang turut mempunyai kawasan parkir yang luas untuk keselesaan pelanggan dan boleh memuatkan sehingga 60 buah kereta pada satu-satu masa.

Walaupun baru beroperasi kira-kira tiga bulan, namun Gudang Makang sudah menerima kunjungan sekitar 1,000 pengunjung sehari pada hari biasa, manakala jumlah tersebut boleh meningkat kepada 1,500 orang pada hujung minggu dan cuti umum.

Beriadah


GUDANG MAKANG menyediakan pentas khas bagi membolehkan kumpulan penyanyi tempatan beraksi bagi menghiburkan pengunjungnya.


Selain Gudang Makang, sebuah lagi kafe hipster yang turut menjadi tumpuan penduduk dan pelancong di Kuala Terengganu ialah Dapo Pata yang terletak di Kuala Nerus.

Didirikan di atas sebidang tanah di kawasan pantai, Dapo Pata yang diusahakan oleh seorang anak jati Kuala Terengganu sememangnya memiliki keunikannya yang tersendiri.

“Pada asalnya, tanah terbiar milik keluarga saya yang terletak di kawasan pantai ini hanya menjadi lokasi penduduk sekitar beriadah.

“Kemudian, saya mula terfikir, mengapa tidak dibangunkan kawasan tanah ini menjadi kawasan tarikan baharu kepada pengunjung,” kata pemilik Dapo Pata, Affandi Hamzah.

Kata Affandi, selepas berbincang dengan ahli keluarga, dia mula mendapatkan modal untuk membeli beberapa buah kontena terpakai untuk dijadikan sebuah kafe bercirikan hipster untuk disesuaikan dengan minat golongan muda pada masa kini.

Bermula dengan 14 buah kontena terpakai yang dijadikan bangunan asas, setiap peniaga di Dapo Pata diberi peluang untuk mengubah suai ruang niaga mereka mengikut cita rasa sendiri.

“Saya ingin menjadikan Dapo Pata sebuah kafe yang unik dan lain daripada lain.

“Sebab itulah saya wajibkan semua peniaga untuk mengubah suai ruang niaga masing-masing menggunakan bahan-bahan terpakai agar nampak berbeza antara satu sama lain,” katanya dengan menjelaskan, nama Dapo Pata merupakan bahasa dalam loghat Terengganu yang bermaksud dapur pantai.

Persembahan percuma

Antara menu menarik yang disediakan di Gudang Makang.


Bagi menambah kemeriahan operasi Dapo Pata, Affandi turut menyediakan sebuah pentas yang akan digunakan oleh beberapa kumpulan muzik tempatan untuk membuat persembahan untuk menghiburkan para pengunjung secara percuma.

Jelasnya, sejak beroperasi pada 12 Februari tahun lalu itu, Dapo Pata semakin dikenali dalam kalangan penduduk sekitar Terengganu dan pelancong luar.

Perkara itu diakui sendiri oleh salah seorang peniaga, Nur Amira Hafiza Rahim, 30, dengan memberitahu, ramai golongan muda di sekitar Kuala Terengganu mula menjadikan Dapo Pata sebagai tempat untuk berkumpul dengan rakan-rakan sambil menikmati hidangan dalam suasana yang santai.

Malah katanya, tempat itu juga kerap dikunjungi golongan berkeluarga selain mereka yang datang secara berkumpulan seperti kelab-kelab kenderaan.

“Mungkin sebab suasana di Dapo Pata ini yang unik menjadikan ramai pengunjung memilih untuk bersantai di sini bersama rakan-rakan dan ahli keluarga,” tambahnya.

Rencana Utama!»

Orang-Orang Drum Theatre pilihan juri

AKSI pasukan Orang-Orang Drum Theatre berjaya memukau barisan juri sehingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Stailo!»

Perlahankan bisnes sempena Ramadan

Bidang fesyen mula diceburi oleh Sharifah Shawati pada awal tahun 2016.

Varia!»

Jasa Jalan Persekutuan

JALAN PERSEKUTUAN dibina pada tahun 1880 menjadi tulang belakang sebagai jalan alternatif. sistem rangkaian jalan raya di negara ini sebelum terbinanya lebuh raya.

Process time in ms: 31