INFINITI

Guatamela isytihar darurat di Rizab Biosfera Maya

Guatamela isytihar darurat di Rizab Biosfera Maya


Seluas 30,000 hektar kawasan hutan dijangka terjejas dalam insiden kebakaran di kawasan Rizab Biosfera Maya lebih seminggu lalu.


SINAR mentari berwarna keemasan beransur-ansur menyimbah hutan Rizab Biosfera Maya, Guatemala sekali gus menandakan permulaan hari baharu buat hutan ekologi terbesar di negara republik itu.

Kelihatan sekumpulan monyet labah-labah riuh- rendah mencari rezeki pagi. Tidak jauh dari situ, si paruh besar, burung Tukan hinggap seketika di dahan bagai meninjau keadaan sekeliling sebelum terbang menghilangkan diri.

Hutan tanah rendah merentasi Lembangan Amazon meliputi 19 peratus daripada Guatemala itu merupakan habitat bagi lebih 112 spesies mamalia seperti jaguar, harimau oselot dan tapir. Di samping itu, terdapat sebanyak 95 spesies reptilia yang menghuni hutan berkenaan.

Spesies dilindungi


SARANG ayam belanda liar hangus dijilat api dalam kebakaran di Taman Negara Laguna Del Tigre.


Ia turut menjadi rumah kepada 513 spesies burung nasional, lebih 80 jenis burung berhijrah dan turut didiami generasi terakhir subspesies induk burung macaw merah. Sejumlah 60 peratus daripada kesemua haiwan di hutan itu dikategorikan sebagai spesies dilindungi.

Bagi pengunjung, pemandangan itu dijangka tidak dapat dilihat buat masa terdekat ekoran pengisytiharan darurat oleh pemerintah Guatemela selama 30 hari bermula Selasa lalu.

Langkah tersebut dilakukan berikutan insiden kebakaran hutan secara besar-besaran yang dilapor berlaku di kawasan hutan berkeluasan 2.1 juta hektar itu baru-baru ini.

Menurut data yang diperoleh daripada satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), insiden itu tertumpu di Taman Negara Laguna Del Tigre dengan merekodkan lebih 400 siri kebakaran lebih seminggu lalu.

Kebakaran


Paparan satelit NASA mengesan lebih 400 titik panas di kawasan hutan simpan Guatemala sejak seminggu lalu.


Menurut Majlis Kawasan Perlindungan Negara, sehingga Selasa lalu terdapat sebanyak 16 kebakaran aktif. Selain Taman Negara Laguna Del Tigre yang terjejas teruk, Zon Teras Biosfera, Segitiga Candelaria dan tapak runtuhan arkeologi tinggalan kaum purba Maya turut mengalami nasib sama.

Rizab ekologi itu mula diwujudkan pada pada tahun 1989. Empat tahun kemudian, ia telah diiktiraf di bawah program Manusia dan Biosfera anjuran kerajaan negara itu.

Naib Presiden Guatemala, Jafeth Cabrera menjelaskan, penggunaan tanah adalah terhad di negara itu. Namun, pihaknya percaya kebakaran itu berpunca daripada manusia seperti aktiviti penternakan lembu secara haram, kegiatan pembalakan dan eksploitasi hasil hutan.

“Amaran merah dikeluarkan bagi membolehkan unit simpanan kerajaan seperti bomba, skuad helikopter pemantau dan pasukan bantuan dari negara jiran mengawal kebakaran itu.

“Ia merupakan situasi mencabar untuk ditangani Sistem Kebangsaan bagi Pencegahan dan Kawalan Kebakaran Hutan. Kami menjangkakan seluas 30,000 hektar tanah terjejas disebabkan insiden ini,” katanya dalam satu sidang akhbar baru-baru ini.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan negara itu telah mengeluarkan arahan kepada 200 anggota tentera untuk membantu mengawal kebakaran malah telah mendapat sokongan dari Mexico.

Perburuan haram


RUNTUHAN arkeologi tinggalan kaum purba Maya yang berada di tengah-tengah hutan Rizab Biosfera Maya turut menerima tempias kebakaran yang berlaku baru-baru ini.


Di sebalik kisah kejayaan Rizab Biosfera Maya selaku konsesi hutan yang dipelihara komuniti setempat dan penduduk asal, mungkin ramai tidak mengetahui ia turut dijadikan sarang sindiket dadah selain berdepan cabaran aktiviti perburuan haram.

“Pengedar dadah disyaki mengambil kesempatan daripada kebakaran hutan untuk menutup perbuatan jenayah mereka.

“Apa yang boleh dirumuskan, 98 peratus daripada faktor kejadian berpunca akibat perubahan aktiviti dalam penggunaan tanah oleh manusia,” ujar Setiausaha Kerja Negara, Elder Figueroa.

Pengarah pertubuhan alam sekitar dikenali sebagai Fundac Naturaleza O. N. Por La Vida, Abimael Reynoso berkata, impak yang diterima rentetan tragedi itu adalah serius dan sangat dikesali.

“Begitupun, kita bernasib baik sembilan kawasan konsesi penduduk tidak terjejas. Ia melibatkan kira-kira 476,000 hektar kawasan hutan.

“Dapat dilihat usaha yang dijalankan mereka seperti melakukan kawasan keselamatan, rondaan, meletakkan benteng dan menyusun strategi bagi menjaga hutan sedikit sebanyak membantu mengelakkan kemusnahan lebih besar,” tuturnya.

Rencana Utama!»

Gedung lebih 3,000 karya seni tempatan

Bangunan BSN terletak di Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak bersebelahan Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Varia!»

Mengimbau sejarah seni bina negara

Chee Cheong berharap pameran ini dapat mengiktiraf peranan dan sumbangan golongan arkitek dalam membangunkan negara satu ketika dahulu.

Process time in ms: 63