INFINITI

Tempah, makan, diskaun guna Eatigo

Tempah, makan, diskaun guna Eatigo

Portal Eatigo menawarkan pelbagai diskaun menarik kepada pengguna.


SITUASI sukar membuat pilihan restoran dan makanan sudah menjadi lumrah masyarakat di negara ini. Begitupun, ia bukanlah satu penghalang terutama penggemar kulinari untuk menikmati hidangan menyelerakan bersama keluarga dan sahabat-sahabat.

Apatah lagi, dunia digital yang memberi kemudahan portal serta aplikasi sebagai panduan kepada pengguna menjelajah kulinari menarik di sesuatu lokasi.

Terbaharu, portal Eatigo yang cukup popular di rantau Asia Tenggara menawarkan perkhidmatan tempahan restoran secara online dengan diskaun menarik.

Diskaun


Dari kanan, Pengurus Pemasaran Eatigo Malaysia, Eda Tan, Pegawai Pengurusan Eatigo Malaysia, Impy Kapoor dan Pegawai Akaun dan Pentadbiran Eatigo, Noor Farhana Basiron menunjukkan aplikasi Eatigo.


Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Eatigo International Pte. Ltd., Michael Cluzel, berkata sejak memulakan operasi di negara ini dua minggu lalu terdapat lebih 110 pengusaha restoran termasuk hotel-hotel menggunakan khidmat Eatigo.

“Keistimewaan Eatigo ialah setiap hari pengguna boleh menikmati diskaun menarik dari 10 hingga 50 peratus yang ditawarkan restoran-restoran.

“Bagaimanapun, diskaun yang ditawarkan adalah berbeza mengikut waktu. Sekiranya pengguna menempah pada waktu puncak, diskaun yang ditawarkan restoran tersebut mungkin berbeza berbanding waktu bukan puncak,” katanya pada sidang akhbar pengenalan portal Eatigo di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau menambah, platform terbaharu itu memberi kelebihan kepada para pengguna dan pengusaha.

Selain mesra pengguna, katanya, orang ramai boleh menikmati hidangan kegemaran dengan harga lebih rendah melalui diskaun-diskaun menarik.

“Bahkan, boleh memilih waktu yang bersesuaian dengan kelapangan mereka untuk mengelak daripada tidak memperoleh meja apabila berkunjung ke restoran pilihan.

“Bagi pengusaha-pengusaha pula, Eatigo dapat membantu dalam menambah pelanggan terutama pada waktu bukan puncak apabila kebanyakan meja kosong. Portal ini akan membantu mengisi meja-meja kosong berkenaan sekali gus meningkatkan jualan mereka,” katanya.

Cluzel memberitahu, beliau optimis perkhidmatan Eatigo mampu menarik perhatian pengguna dengan trend budaya masyarakat negara ini yang gemar menikmati hidangan di luar.

Variasi kulinari


Bangkok House antara restoran yang menggunakan khidmat Eatigo.


Beliau berkata, Eatigo telah mencatat kejayaan besar di Thailand dan Singapura sehingga mencatat lebih empat juta pelanggan.

“Kita berharap dapat menembusi pasaran di negara ini dengan menyediakan perkhidmatan tempahan restoran online yang menawarkan pelbagai variasi kulinari kepada pengguna.

“Mereka boleh memilih pelbagai variasi kulinari daripada restoran-restoran ternama di Lembah Klang. Ia termasuk masakan tempatan, Barat, Jepun, Itali, India dan banyak lagi.

“Antara restoran yang menggunakan perkhidmatan Eatigo ialah Spice Garden, TGI Fridays, Italiannies, Sushi Q, Bangkok House, Chicken Shack, Hadramot House, Bangkok House dan restoran Adam Lai,” ujarnya yang menyasarkan menambah sehingga mencecah 300 pengusaha restoran pada penghujung tahun ini.

Menyentuh mengenai kaedah tempahan, Cluzel menjelaskan, berbeza berbanding platform tempahan restoran lain, Eatigo tidak memerlukan pengguna membayar wang pendahuluan untuk menikmati hidangan di restoran-restoran pilihan mereka.

“Pengguna hanya perlu memilih waktu, bilangan orang, diskaun yang ingin dinikmati dan memasukkan butiran peribadi. Apabila tempahan telah dilakukan, pengguna akan menerima pengesahan tempahan melalui e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Ia sangat mudah,” katanya.

Pembatalan tempahan


PENGGUNA boleh meninggalkan komen terhadap perkhidmatan ditawarkan restoran-restoran dalam senarai Eatigo.


Dalam pada itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Eatigo Thailand, Pumin Yuvacharuskul menjelaskan, pengguna boleh membatalkan tempahan yang telah dilakukan mereka.

“Pengguna boleh membatalkan tempahan sebelum waktu tempahan dilakukan dengan menggunakan dua kaedah iaitu dengan klik edit/cancel reservation apabila menerima e-mel pengesahan tempahan atau my reservations pada aplikasi sistem operasi telefon pintar.

“Kita menasihatkan pengguna agar membatalkan tempahan yang dilakukan jika tidak dapat memenuhi tempahan tersebut. Ia bagi memudahkan pengusaha-pengusaha bagi melancarkan operasi mereka,”ujarnya.

Bagaimanapun, Pumin memberitahu, akaun pengguna akan digantung jika pengguna tidak muncul sebanyak tiga kali apabila telah melakukan tempahan.

Sementara itu, Pengurus Besar Canopy Rooftop Bar & Lounge, Timothy Clark berkata, portal terbaharu Eatigo boleh menjadi platform dalam membantu mempromosi dalam memberi pendedahan kepada pengguna tentang restoran-restoran yang terdapat di Lembah Klang ini.

“Secara peribadi, saya merasakan kerjasama ini sesuatu yang baik bukan sahaja kepada pengusaha-pengusaha tetapi para pengguna yang inginkan kelainan.

“Pengguna boleh memilih restoran-restoran pilihan mereka malah mendapat diskaun menarik daripada pengusaha-pengusaha ini. Ia merupakan situasi menang-menang bagi kedua belah pihak,” ujarnya.

Rencana Utama!»

Gedung lebih 3,000 karya seni tempatan

Bangunan BSN terletak di Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak bersebelahan Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Varia!»

Mengimbau sejarah seni bina negara

Chee Cheong berharap pameran ini dapat mengiktiraf peranan dan sumbangan golongan arkitek dalam membangunkan negara satu ketika dahulu.

Process time in ms: 47