STAILO

Debaran berucap secara langsung di Filipina

Debaran berucap secara langsung di Filipina



ALIRAN darah jejaka bertubuh sasa itu mengalir lebih deras berbanding biasa tatkala diminta memberi ucapan di hadapan Datuk Bandar Vigan City, Filipina, Eva Marie S. Medina kerana ia disiarkan secara langsung di kaca televisyen negara tersebut.

Perasaan gementar itu bagaimanapun hilang sedikit demi sedikit apabila Muhamad Fauzi Mohamad, 29, mula membuka bicara.

“Seawal pukul 4 pagi saya sudah bersiap sedia dan menulis nota ringkas agar maklumat mengenai kebudayaan dan pelancongan Malaysia dapat disampaikan dalam masa yang ditetapkan iaitu sekitar 10 minit.

“Begitulah rutin para peserta setiap pagi selama lima hari berturut-turut manakala pada waktu petang kami perlu beraksi di hadapan kamera untuk sesi fotografi dan malam pula mengadakan pertunjukan fesyen,” kata Muhamad Fauzi mengenang kembali peristiwa mendebarkan ketika dia mewakili negara pada pertandingan Mister Tourism World 2016 di Filipina tahun lalu.

Lebih selesa dengan nama pentasnya, Fauzi Mohamad, jejaka berketinggian 175 sentimeter itu kelihatan bersahaja dan selesa dengan bidikan lensa kamera ketika sesi fotografi dijalankan. Keupayaannya beraksi dalam pelbagai gaya menampakkan kematangan sebagai seorang model versatil.

Mister Tourism World 2016 disertai oleh 16 buah negara yang setiap satunya menghantar seorang wakil untuk bertanding.

Antaranya ialah Brazil, Sweden, Afrika, Amerika Syarikat, Thailand, Indonesia, Austria dan Filipina.

Teruja

Program itu bermatlamat untuk mempromosi kebudayaan dan pelancongan di setiap negara.

“Saya sangat teruja dan bersyukur dengan peluang ini kerana dapat belajar serta berkongsi keunikan budaya negara lain.


FAUZI MOHAMAD memenangi Best in Physique of Mister Tourism World 2016 di Filipina pada tahun lalu.


“Pada pertandingan tersebut saya menggayakan pakaian tradisional seperti baju batik, songket dan baju Melayu,” ujarnya yang berasal dari Ampang, Selangor.

Anak keempat daripada enam beradik itu turut menunjukkan kebolehannya dalam seni silat selain menonjolkan identiti warisan Melayu menerusi permainan tradisional seperti wau dan congkak.

Demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pertandingan itu, dia sanggup berhenti kerja sebagai jurulatih kecergasan dan menolak tawaran peragaan sepenuh masa.

Sebaliknya, dia memilih untuk melakukan kedua-dua tugasan itu secara sambilan sahaja.

Ternyata kerja kerasnya tidak sia-sia apabila dia dinobatkan sebagai Best In Physique of Mister Tourism World 2016. Ia merupakan kenangan paling manis buat dirinya.

Sebaik pulang ke tanah air, Fauzi Mohamad telah dilamar untuk menjadi pengacara dan pelakon. Pada masa sama, dia juga aktif dalam bidang peragaan.

Keyakinan

Setakat ini, Fauzi Mohamad telah menjayakan tiga buah drama. Kini, dia sibuk mengikuti penggambaran drama bertajuk, Semusim Rindu yang bakal ditayangkan di Astro Prima dan Melodi Cinta Sarah di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menyingkap kisah hidupnya, putera keempat pasangan Mohamad Musa, 65 dan Selamah Ibrahim, 63, ini mengakui, dia telah melalui fasa transformasi dalam hidup termasuklah fizikal.

“Beberapa tahun lalu, saya seorang yang kurang keyakinan diri malah, mempunyai berat badan 55 kilogram sahaja.

“Rasa rendah diri membuatkan saya membuang keinginan untuk beraksi di atas pentas peragaan.

“Segalanya berubah selepas saya mengikuti kelas kecergasan dan mempelajari diet, nutrisi serta penampilan diri,” katanya yang berbakat bermain gitar.


KETAMPANAN jejaka terletak kepada kehalusan tutur kata dan budi pekerti yang mulia.


Mengetahui minat Fauzi Mohamad dalam bidang peragaan, keluarga dan rakan-rakan mendorongnya agar menyertai sebuah pertandingan pencarian model pada tahun 2015.

Keputusan pertandingan juga cukup membanggakan apabila dia berada di kedudukan kelima teratas.

“Di situlah bermulanya kerjaya saya sebagai seorang model dan membuka ruang untuk terus maju ke hadapan dengan penuh keyakinan.

“Tanpa menoleh ke belakang saya menyertai Mr. Planet Malaysia 2016 dan berjaya menduduki tempat ketiga,” tuturnya yang berpegang kepada prinsip pantang mengaku kalah dan berusaha sehingga berjaya.

Sehubungan itu, beliau berpesan kepada mereka di luar sana agar berani mengejar cita-cita dan jangan sesekali berasa rendah diri kerana masing-masing dikurniakan keistimewaan tersendiri.

Fauzi Mohamad amat mengagumi semangat dan kegigihan bapanya menjalankan perniagaan pakaian secara kecil-kecilan untuk menyara mereka sekeluarga.

“Saya bukan berasal daripada keluarga berada dan sudah biasa berdikari mencari duit poket sendiri sejak di bangku sekolah di samping membantu ayah berniaga,” ceritanya yang suka meluangkan masa di gimnasium pada masa lapang.

Mewarisi minat berniaga daripada bapanya, kini dia turut menjalankan perniagaan pakaian lelaki di bawah label Fauzi Mohamad.

Berbicara mengenai definisi kacak, dia berpandangan seseorang lelaki itu hendaklah mempunyai kesempurnaan dalaman dan luaran

“Tidak cukup jika hanya berwajah tampan. Mereka juga perlu memiliki tutur kata yang baik, beradab, berbudi pekerti mulia dan tidak sombong,” katanya yang menyukai gaya ringkas serta pakaian berwarna putih polos.

Makanan

Berkongsi tip mendapatkan bentuk badan yang menarik, Fauzi Mohamad memberitahu, dia tidak mengambil makanan manis atau berminyak.

“Dalam apa jua perkara, disiplin diri amat penting. Saya sebenarnya sangat menggemari makanan manis seperti coklat dan aiskrim tetapi hanya makan dalam kuantiti yang sedikit.

“Saya juga mengikuti rutin kecergasan selama dua jam pada hari Isnin hingga Sabtu. Hari Ahad dimanfaatkan sepenuhnya untuk merehatkan badan dan otot,” jelasnya yang berpengalaman sebagai jurulatih kecergasan selama enam tahun.

Dia hanya makan dada ayam bersama beras perang untuk makan tengah hari dan lewat petang. Jika lapar pada waktu malam, dia akan minum jus buahan-buahan.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, anak muda ini memasang cita-cita untuk membina empayar perniagaan pakaian, berjaya dalam bidang peragaan dan lakonan.

Rencana Utama!»

Gedung lebih 3,000 karya seni tempatan

Bangunan BSN terletak di Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak bersebelahan Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Varia!»

Mengimbau sejarah seni bina negara

Chee Cheong berharap pameran ini dapat mengiktiraf peranan dan sumbangan golongan arkitek dalam membangunkan negara satu ketika dahulu.

Process time in ms: 47