GENK

Sumbang bakti di pedalaman Kampung Salinatan, Sabah

Sumbang bakti di pedalaman Kampung Salinatan, Sabah


PARA peserta program tidak ketinggalan memberi motivasi kepada murid-murid sekolah.


PERJALANAN memakan masa hampir seharian untuk sampai ke kampung Salinatan, mukim Pensiagan di pedalaman Negeri di Bawah Bayu tidak melunturkan semangat Mohamad Hafizi Mohamad Hairy Unggang, 21, menabur bakti di perkampungan tersebut.

Mohamad Hafizi merupakan salah seorang daripada 17 mahasiswa Universiti Malaya (UM) dari Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah (KKTB) yang tidak melepaskan peluang mengunjungi perkampungan tersebut dalam usaha mendekati masyarakat di pedalaman itu.

Kunjungan mereka bersempena program Ekspedisi Kepimpinan Baktisiswa anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Delegasi program selama empat hari tiga malam itu diketuai oleh Ketua Pengarah Jasa, Datuk Mohd. Puad Zarkashi.

Ia diadakan bagi mendekati masyarakat perkampungan tersebut dengan menghulurkan bantuan dan berkongsi pengalaman melalui aktiviti bersama penduduk setempat.

Pengembaraan


PELBAGAI aktiviti menarik diadakan ketika program Ekspedisi Kepimpinan Baktisiswa.


Mohamad Hafizi memberitahu pengembaraan mereka bermula di pekan Nabawan, Sabah.

“Kami perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke jeti Kuala Salong sebelum dibahagikan kepada kumpulan kecil untuk menaiki perahu,” katanya.

Terlebih dahulu, para peserta telah dibawa ke pekan Nabawan, yang terletak kira-kira 180 kilometer dari Kota Kinabalu, untuk bermalam menghilangkan penat sebelum meneruskan perjalanan melalui sungai pada keesokan harinya.

Dalam perjalanan ke kampung Salinatan, delegasi ekspedisi berkesempatan berkelana ke Sekolah Kebangsaan Pensiangan, untuk beramah mesra dengan warga sekolah.

Pengalaman pertama


PESERTA program bergambar bersama ketika berada di perkampungan di pedalaman Sabah.


“Biarpun, ia merupakan pengalaman pertama menjejakkan kaki ke kawasan pedalaman Sabah yang serba kekurangan dari segi kemudahan asas, saya bersama rakan-rakan lain berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut.

“Bahkan, hubungan kekeluargaan yang terjalin bersama murid-murid sekolah tidak terhenti begitu sahaja. Kami ingin melihat mereka menerima peluang pembelajaran yang sama dengan rakan seusia mereka di tempat lain,” jelasnya yang merupakan pelajar tahun kedua kejuruteraan pembuatan UM.

Kesemua mahasiswa UM terbabit berpeluang mendekati murid-murid sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Salinatan dan Sekolah Kebangsaan Sibangali dengan melakukan aktiviti berkumpulan serta motivasi.

Perasmian program pada malam terakhir ekspedisi disempurnakan Mohd. Puad dan pemimpin masyarakat tempatan. Ia diserikan dengan persembahan mahasiswa UM, pelajar sekolah dan penduduk kampung.

Para hadirin turut disajikan dengan persembahan tarian Mangunatip, tarian tradisional etnik Murut yang menggunakan batang buluh.

Sementara itu, pengetua KKTB, Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri berharap mahasiswa UM yang mengikuti ekspedisi itu akan menjadi individu berjiwa besar dan lebih peka dengan realiti kehidupan sebenar di dunia luar, terutamanya di kawasan pedalaman.

“Kunjungan ke kawasan pedalaman ini sedikit sebanyak membuka minda mereka untuk sentiasa mempunyai perasan ingin menyumbang kepada masyarakat,” ujarnya.

Process time in ms: 78