GENK

Mahasiswa kongsi ilmu, pelajari budaya masyarakat Bengkalis

Mahasiswa kongsi ilmu, pelajari budaya masyarakat Bengkalis

PESERTA program turut diajar cara menyembelih dan menguruskan daging lembu sebelum memasaknya secara rewang.


SUASANA rewang pada pagi itu agak asing bagi Nurul Najwa Azmi, 22. Namun begitu, gadis manis itu tidak betah duduk diam. Dia dan beberapa rakan lain meringankan tulang membantu tugas-tugas memasak seperti memotong timun, nanas dan cili yang merupakan antara bahan untuk membuat acar.

Suasana di bawah khemah itu sekelip mata berubah menjadi riuh-rendah. Walaupun keletihan, mereka berasa puas apabila makanan tersebut mampu disiapkan sementelah rasanya enak. Dalam kehangatan api daripada kayu getah, sekumpulan mahasiswa lelaki pula berpeluh-peluh mengacau daging lembu yang dimasak dalam kuali besar.

“Program rewang atau kenduri sekampung ini bagi meraikan perkahwinan semula penduduk Orang Asli yang menganut agama Islam di kampung ini. Kami berkumpul seawal pukul 8 pagi dan bergotong-royong menyediakan makanan dan minuman. Sebelum itu, kami dan beberapa penduduk tempatan diajar cara-cara menyembelih lembu di kawasan kebun getah berhampiran.

“Walaupun berlainan budaya, kemesraan penduduk setempat membuatkan kami berasa seronok membantu dan menabur bakti di sini,” kata mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.

Nurul Najwa merupakan salah seorang mahasiswa Malaysia yang terlibat dalam Program Libatsama [email protected] 2017 (Muallaf’17) di Desa Kampung Jangkang, Kecamatan Bantan, Kabupaten Bengkalis, Riau, Indonesia baru-baru ini.

Program anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang bermula dari 2 hingga 7 April lalu itu melibatkan 65 orang peserta dan 10 pegawai pengiring. Ia turut disertai mahasiswa UPSI, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Politeknik Negeri Bengkalis (Polbeng).


AKTIVITI memasak memberi kesempatan kepada para peserta bergaul dengan masyarakat tempatan.


Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program tersebut. Antaranya, perkhidmatan khatan percuma, program anak angkat, pemeriksaan kesihatan percuma dan membaiki rumah. Selain itu, turut diadakan aktiviti sukaneka, bengkel tanaman fertigasi, sumbangan kepada golongan mualaf, ceramah agama dan kem pendidikan.

Kesemua program itu amat dekat dengan penduduk tempatan seperti bengkel tanaman fertigasi yang diadakan di SMA Negeri 1 Bantan. Selain melibatkan pelajar sekolah berkenaan, beberapa orang penduduk tempatan tidak melepaskan peluang mempelajari teknik tanaman terbaharu itu.

Ternyata mereka amat dahagakan perkongsian ilmu itu kerana pertanian merupakan sektor utama di Bengkalis, malah para pelajar di sekolah berkenaan tidak melepaskan peluang menanam sayuran seperti terung, cili dan kacang menggunakan kaedah fertigasi.

Pengarah Muallaf’17, Indrawijaya Saiful, 23, berkata, program berkenaan memberi pengalaman baharu kepada semua peserta dan penduduk tempatan.

“Program ini ternyata mencapai matlamatnya termasuk memupuk hubungan antara peserta dan penduduk tempatan selain mahasiswa dapat mengenali budaya serta adat resam masyarakat tempatan.

Rumah baharu


Kelas mengaji turut diadakan bagi membimbing masyarakat Orang Asli tempatan yang telah memeluk Islam.


“Ia juga memberi peluang kepada mahasiswa Malaysia bertukar-tukar pandangan dan pengalaman dengan mahasiswa Polbeng. Menerusi program anak angkat misalnya, sebanyak 23 keluarga terlibat dan mereka mendapat seorang anak angkat daripada UTM, UPSI dan Polbeng.

“Kami juga turun padang membaiki dan membina rumah baharu milik Orang Asli di sini. Selain itu, kami mengunjungi beberapa keluarga mualaf bagi menyerahkan sumbangan seperti terjemahan al-Quran, kain pelekat dan telekung,” kata siswa UTM itu.

Tambahnya, pelaksanaan program Muallaf’17 turut mencabar dirinya dan ahli jawatankuasa lain terutama dalam mendapatkan sumbangan dana.

Selain itu, pengurusan peserta yang mempunyai latar belakang dan negara berbeza juga merupakan tugas sukar terutamanya ketika jadual program berubah.

“Sekiranya program seumpama ini dilakukan di negara sendiri, tidak banyak perubahan aktiviti dilakukan. Namun, dalam program ini perubahan berlaku dari semasa ke semasa dan ia tidak dapat dielakkan. Perubahan itu juga berlaku atas permintaan pihak pemerintah di sini agar aktiviti yang dijalankan memberi impak besar kepada masyarakat setempat.

“Bagaimanapun, apabila program ini berakhir, ia merupakan satu pengalaman manis kerana kami dapat mengatasi masalah perbezaan adat dan budaya.

“Malah, pada akhir program, ia telah mengeratkan ukhuwah antara dua negara berjiran yang mempunyai banyak kesamaan dari segi agama, bahasa, makanan dan cara hidup,” kata Indrawijaya yang juga pernah menjadi pengarah untuk program mahasiswa di Bukit Tinggi pada tahun 2014 dan London (2015).

Dalam pada itu, mahasiswa Polbeng, Nasha Adlisha, 18, begitu teruja menyertai program Muallaf’17 yang bertaraf antarabangsa. Walaupun berpengalaman menyertai program khidmat masyarakat, program yang melibatkan mahasiswa luar negara merupakan kali pertama disertainya.

Gadis jurusan Pentadbiran Perniagaan Antarabangsa yang agak pemalu itu mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan peserta dari Malaysia.

Keluarga besar


Para pelajar turut didedahkan dengan aktiviti tanaman fertigasi.


“Sebagai pelajar, saya perlu pandai menyesuaikan diri dan bergaul dengan pihak lain. Program ini membuka mata saya tentang budaya dan kehidupan mahasiswa di Malaysia. Kami turut bekerjasama menjayakan beberapa aktiviti seperti sukaneka dan berkhatan. Saya berasa seronok kerana dapat menambahkan kenalan dan diharapkan hubungan ini dapat dikekalkan.

“Kami juga bertukar-tukar pandangan, ilmu dan bahasa dan akhirnya kami mampu menjadi sebuah keluarga besar. Ia merapatkan ukhuwah antara dua negara serumpun. Saya berharap program seumpama ini diteruskan pada masa hadapan,” katanya.

Ia turut diakui rakannya, Rara Usman, 19, yang menyifatkan program tersebut satu pendedahan yang amat baik kepada mahasiswa dari kedua-dua buah negara. Dalam tempoh seminggu mereka dapat mengenali ramai rakan baharu dan bekerjasama bagi menjayakan aktiviti yang dirancang.

Dia yang pada mulanya sukar berbual dengan peserta lain dapat mengatasi masalah tersebut dan sekali gus program Muallaf’17 memberi kenangan terindah buat dirinya.

“Program seumpama ini dapat meningkatkan keyakinan diri saya untuk berkomunikasi dengan pihak lain terutamanya mereka yang berbeza cara hidup dan budaya. Walaupun penat, saya sangat gembira kerana ia memberi pengalaman yang berharga,” ujarnya yang sebelum ini tidak pernah mengecat dan membaiki rumah.

Process time in ms: 31