KESIHATAN

Kanak-kanak miliki kulit seperti cicak

Kanak-kanak miliki kulit seperti cicak


KANAK-KANAK ini digelar hantu dan jelmaan cicak hanya kerana penyakit misteri yang dihidapinya.


MALANG bagi seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun apabila terpaksa hidup dengan kulit menggerutu di seluruh tubuhnya.

Kanak-kanak dari New Delhi, India yang dikenali sebagai Shama itu dikatakan menghidap penyakit Lamela Ichthyosis, sejenis penyakit kulit yang hanya dihidapi oleh satu dalam setiap 600,000 individu di dunia.

Akibat penyakit misteri yang dihidapi­nya itu, permukaan kulit Shama mudah tertanggal sehingga menyebabkan dia se­ring terdedah kepada jangkitan kuman.

Selain terdedah kepada jangkitan kuman, penyakit tersebut juga menyebabkan Shama mengalami masalah penglihatan, keguguran rambut dan kesukaran untuk menggerakkan anggota badan.

Menurut ibunya, Roshni Banu, 22, pe­nyakit tersebut dihidapi oleh anaknya sejak dia dilahirkan.

“Saya begitu terkejut ketika kali pertama melihat Shama kerana pada waktu itu kulitnya di­­se­laputi lapisan berwarna putih yang tebal.

“Disebabkan terlalu terkejut dengan fizikalnya, saya takut untuk memegang Shama sehinggalah dipujuk oleh suami,” jelasnya.

Cerita Roshni, keadaan permukaan kulit yang keras dan bersisik itu bukan sahaja terjadi pada kulit, malah keadaan tersebut juga melibatkan bahagian mata, hidung dan bibir.

Tahap kesihatan Shama menjadi lebih teruk beberapa minggu selepas dilahirkan.

Kanak-kanak cicak

Kanak-kanak tersebut langsung tidak boleh disentuh kerana kulitnya akan tertanggal dengan sendirinya.

“Pada waktu itu saya menjadi begitu tertekan. Sudahlah anak menghidap pe­nyakit misteri, jiran tetangga pula sering menghina Shama dengan memanggilnya hantu dan jelmaan cicak.

“Mereka juga akan mengelak bertembung dengan kami sekeluarga kerana bimbang penyakit tersebut akan berjangkit.

“Disebabkan tidak tahan dengan penghinaan tersebut, kami terpaksa mengurung Shama di dalam rumah,” jelasnya.

Ujar Roshni, hatinya luluh setiap kali mendengar penghinaan daripada jiran.

“Takdir telah menentukan Shama dilahirkan dalam keadaan tersebut dan saya tidak mampu menghalangnya melainkan menerima keadaan itu dengan sabar.

“Bagaimanapun, beberapa individu turut menyalahkan saya atas kelahiran Shama.

“Mereka mendakwa, penyakit tersebut berlaku disebabkan oleh ketagihan saya mengunyah tembakau ketika mengan­dungkan Shama,” jelasnya.

Dalam pada itu menurut bapanya, Sabir Ali, 25, penderitaan tersebut menyebabkan anaknya sukar untuk bergerak dan sering merengek kesakitan.

“Saya tidak boleh berbuat apa-apa kera­na doktor sendiri mengatakan bahawa penyakit ini tidak mempunyai penawar.

“Disebabkan itu, saya terpaksa mencari penawar sendiri. Setakat ini, kami me­nyapu losen dan minyak kelapa di seluruh tubuhnya setiap satu jam bagi mengurangkan rekahan pada kulit,” jelasnya.


ROSHI akan menyapu losen pada tubuh Shama setiap satu jam sekali bagi mengelakkan rekahan.


Genetik

Bagaimanapun, menurut Sabir, kaedah tersebut belum cukup untuk menghilangkan kesakitan anaknya itu.

Keadaan Shama akan menjadi bertambah teruk pada musim panas kerana pada waktu tersebut, kulitnya akan mengering dan menggerutu sehingga menyebabkan dia mengalami kegatalan melampau.

Sehingga ke satu tahap, badannya akan berdarah akibat digaru.

Dalam pada itu, pakar dermatologi Hospital DY Patil yang terletak di Pune, India, Dr. Aayush Gupta memberitahu, keadaan tersebut lazimnya berlaku disebabkan oleh masalah genetik.

“Keadaan ini berpunca daripada ketidak­normalan genetik yang memberi kesan kepada struktur kulit.

“Ia berlaku apabila kedua-dua ibu bapa atau salah seorang daripadanya membawa genetik yang tidak normal,” jelasnya.

Tambah Dr. Aayush lagi, keadaan tersebut akan bertambah teruk pada waktu panas kerana struktur kulit yang keras dan menggerutu akan menghalang liang pori untuk mengeluarkan peluh.

“Sehingga ke hari ini, tiada penawar yang dapat menyembuhkan penyakit ini.

“Bagaimanapun, kesakitan tersebut dapat dikurangkan dengan menggunakan losen khas yang membantu mengatasi masalah kekeringan kulit.

“Bukan itu sahaja, pesakit juga memerlukan gizi pemakanan seimbang dan pengambilan makanan yang kaya dengan vitamin D, penggunaan retinoid pada dos rendah juga boleh mengurangkan kesakitan tersebut,” jelasnya.

Rencana Utama!»

Barang terbuang jadi sumber pendapatan

Uncle Chang’s Dive Lodge merupakan resort pertama melaksanakan inisiatif hijau di Pulau Mabul, Semporna, Sabah.

Process time in ms: 47