VARIA

Perang fitnah media siber

Perang fitnah media siber


Pengamal media perlu bertanggungjawab dengan karya mereka supaya ia tidak menjadi fitnah. – Gambar hiasan


PILIHAN raya umum ke-14 (PRU14) dijangka akan berlangsung tidak lama lagi. Ada yang menjangka pada bulan Jun atau September ini. Malah ada juga yang meramalkan pada bulan Mei ini, walaupun belum pernah berlaku dalam sejarah dan dianggap tidak munasabah.

Apa pun, bukanlah tarikh PRU14 yang menjadi mauduk muzakarah minggu ini, tetapi perihal perang fitnah dan mendedah keaiban yang wajar diberikan perhatian.

Jika pada zaman sebelum akhir 1990-an dahulu, media tradisional seperti akhbar, radio dan televisyen menjadi alat utama kempen, kini media siber lebih ke depan dan agresif dalam perang propaganda ini.

Parti-parti yang bertanding juga mempunyai ‘tentera siber’ yang melancar serangan secara terancang sepanjang masa. Apabila pilihan raya semakin hampir, semakin sengitlah pertempuran di alam siber.

Ada orang berpendapat, kenapa tidak parti-parti politik berkempen hanya menceritakan kebaikan yang telah mereka buat dan apa yang akan dibuat. Bagaimanapun, itu hanyalah satu omongan yang tidak mungkin terjadi. Realitinya, semua pihak percaya taktik mencari kelemahan dan keaiban lawan adalah lebih berkesan.

Keaiban

Maka mendedahkan kelemahan dan keaiban lawan menjadi strategi lazim dalam pilihan raya di semua negara demokrasi. Menelanjangkan keaiban orang lain adalah satu larangan dalam Islam, tetapi kerap dilihat ahli-ahli politik yang menunaikan solat lima waktu pun seolah-olah langsung tidak mempedulikan perintah Allah dalam Quran.

Surah al-Hujurat yang mengandungi 18 ayat sarat dengan pantang larang yang wajib difahami dan dipatuhi oleh ahli-ahli politik dan pengamal media politik yang beragama Islam.

Pengamal media meliputi wartawan media cetak dan elektronik, penulis media siber sama ada bebas, makan gaji atau menerima upahan daripada parti politik.

Kita lihat beberapa ayat dalam surah al-Hujurat dan cerminkan kandungannya dengan keadaan sebenar di Malaysia.

Al-Hujurat dalam ayat 11 menjelaskan: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”


Perang propaganda politik lebih dahsyat dengan kemunculan media siber. – Gambar hiasan


Sementara itu dalam surah sama, ayat 12 ada menyatakan: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

Saman malu

Dalam kalangan media tradisional, sebahagian daripada pantang larang yang digariskan dalam dua ayat surah al-Hujurat ini sangat dipatuhi.

Namun patuh para wartawan yang beragama Islam bukanlah sangat kerana beriman, tetapi lebih disebabkan takut kena saman malu yang sekarang boleh mencecah angka juta ringgit.

Perang propaganda politik lebih dahsyat dengan kemunculan media siber di Malaysia pada akhir 1990-an.

Ia bagaikan zaman koboi kerana alam siber belum dikawal ketat. Lalu kesempatan ini dieksploitasi oleh para karyawan yang tidak diasuh dengan disiplin kewartawanan untuk melakarkan apa jua yang terlintas di kepala mengikut nafsu mereka. Walaupun memfitnah hukumnya berdosa besar, bagi wartawan siber, ia hanyalah satu permainan yang menyeronokkan. Barangkali upah yang diterima berbaloi.

Kerajaan yang menyedari kepincangan ini telah mengambil langkah-langkah kawalan dan pemantauan, namun penyalahgunaan masih berlaku.

Apatah lagi pilihan raya semakin hampir. Persaingan sengit dalam suasana perebutan kuasa yang tidak menentu pasti melorongkan perang siber yang kotor.

Maka, sebagai pemerhati yang kini boleh mengakses pelbagai maklumat melalui telefon pintar juga perlu menghayati peringatan dalam surah al-Hujurat ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Horizon!»

Pengalaman indah belai, manjakan gajah

Dua ekor anak gajah ini melakonkan semula kejadian sebenar ibunya mati sebelum kedua-duanya ditangkap oleh Perhilitan dan ditempatkan di KECV.

Varia!»

Terminal Pukal Lekir beroperasi selama 24 jam

Kesibukan sering berlaku di pintu masuk LBT yang membekalkan arang batu ke Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Manjung, Perak.

Process time in ms: 47