VARIA

Konsep Warung Sempoi Baq Hang

Konsep Warung Sempoi Baq Hang


NORHAYA bersama pekerjanya, Mohd. Norhisham Md. Zain bergambar di hadapan Warung Sempoi Baq Hang di Presint 15, Putrajaya baru-baru ini.


SUASANA restoran yang terletak di Presint 15, Putrajaya itu kelihatan sedikit riuh dengan kehadiran ramai pelanggan.

Restoran yang dibuka seawal pukul 6 pagi itu mula dikerumuni orang ramai terutamanya kakitangan kerajaan untuk bersarapan.

Lokasi yang dikenali sebagai Warung Sempoi Baq Hang itu baru beroperasi selama dua bulan, namun ia menjadi buah mulut penduduk sekitar kerana harga makanan yang ditawarkan agak murah.

Antara hidangan untuk sarapan ialah nasi lemak dan mi goreng manakala pelbagai lauk dihidangkan untuk makan tengah hari.

Harga bagi masakan berasaskan ikan seketul RM3, ikan seekor (RM3 hingga RM5), ayam (RM3 seketul), daging (RM3 hingga RM5), sayur (RM1), sotong sumbat (RM3), sotong biasa (RM3.50), telur dadar atau rebus (RM1 sehingga RM1.50) dan nasi sepinggan (RM1).


Norhaya menunjukkan laksa utara, bihun sup utara dan mi rebus yang mendapat sambutan daripada warga Putrajaya.


Bagi mereka yang tidak mahu mengambil makanan yang berat, pelanggan boleh memilih untuk menikmati bihun sup, laksa dan mi rebus pada harga RM4.50 semangkuk.

Selain itu, pelanggan juga boleh memesan masakan panas antaranya nasi goreng, mi goreng, bihun goreng, tomyam, sup ayam dan pelbagai masakan mengikut selera pelanggan.

Menurut pengusaha Warung Sempoi Baq Hang, Norhaya Mat Zain, nama kedai tersebut diambil daripada loghat negeri Kedah iaitu daripada perkataan sempoi yang membawa maksud terbaik dan perkataan habaq atau beritahu sementara perkataan hang adalah kata ganti nama bagi awak.


MI rebus ini mempunyai rasa yang unik dan sedap.


Kepuasan

“Idea pemilihan nama ini dibuat kerana kami berasal dari Kedah. Justeru, kami ingin menonjolkan identiti masakan Utara yang disediakan di restoran ini,” katanya yang mempunyai pengalaman selama tiga tahun sebagai tukang masak.

Norhaya berkata, warung itu menawarkan makanan pada harga agak murah kerana mahu memberikan kepuasan kepada pelanggan dan bukan berniat untuk mengaut keuntungan berlebihan.

“Ada pelanggan yang datang ke warung saya terkejut sebab harga makanan dan minuman yang dijual lebih murah. Walaupun terletak di Putrajaya, harga dijual sama seperti di kampung saya di Kuala Nerang.

“Niat utama saya sejak mula berniaga ialah supaya pelanggan berpuas hati dan datang semula untuk makan di warung ini,” kata ibu tunggal dan mempunyai dua orang cahaya mata itu.

Process time in ms: 32