SUKAN

Zlatan mungkin berehat panjang

Zlatan mungkin berehat panjang


IBRAHIMOVIC mengerang kesakitan selepas mengalami kecederaan pada perlawanan antara Manchester United menentang Anderlecht dalam aksi suku akhir kedua Liga Europa di Old Trafford awal pagi semalam.


MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Jose Mourinho memberi bayangan dua pemain tonggak, Zlatan Ibrahimovic dan Marcos Rojo mungkin berehat panjang selepas terpalit dengan kecederaan pada perlawanan suku akhir kedua, Liga Europa awal pagi semalam.

Pada perlawanan tersebut, skuad The Red Devils berjaya menempah tiket ke pusingan separuh akhir dengan kemenangan agregat 3-2 selepas menumpaskan Anderlecht 2-1 di Old Trafford.

“Saya tidak rasa kecederaan yang mereka alami itu ringan. Bagaimanapun, saya lebih suka untuk menunggu laporan perubatan terlebih dahulu sebelum membuat komen lebih lanjut.

“Sekarang ini saya berasa bimbang kerana dapat menjangkakan kedua-dua pemain tonggak itu akan berdepan dengan kecederaan yang lebih panjang,” jelasnya.

Pada perlawanan tersebut, United terlebih dahulu meledakkan gol pembukaan menerusi rembatan kencang yang disempurnakan oleh pemain tengah, Henrik Mkhitaryan seawal minit ke-10.

Bagaimanapun, Anderlecht berjaya menyamakan kedudukan menerusi percubaan pemain tengah, Sofiane Hanni pada minit ke-32 sebelum penyerang remaja, Marcus Rashford meledakkan gol kemenangan United ketika perlawanan memasuki waktu tambahan.

Sebagai rekod, selain United, tiga lagi pasukan yang berjaya menempah tiket ke pusingan separuh akhir ialah Celta Vigo, Olympique Lyonnais dan Ajax. – Agensi.

Process time in ms: 31