SUKAN

Chelsea tetap pasukan pilihan

Chelsea tetap pasukan pilihan


POCHETTINO enggan meletakkan sebarang tekanan terhadap anak-anak buahnya pada pertemuan Totttenham menentang Chelsea dalam aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley malam ini.


LONDON – Meskipun Tottenham Hotspur dalam keadaan prestasi terbaik ketika ini, namun pengendalinya, Mauricio Pochettino mengakui Chelsea masih merupakan pasukan pilihan menjelang pertemuan kedua-dua kelab terbabit pada saingan separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley malam ini.

Lebih menarik, pertembungan tersebut juga menyaksikan Chelsea bakal berdepan dengan pencabar utamanya dalam saingan Liga Perdana England (EPL) yang kini dibezakan empat mata dengan saingan berbaki enam perlawanan.

Walaupun mencatatkan tujuh kemenangan berturut-turut, Pochettino menegaskan, skuad The Blues tidak boleh dipandang mudah walaupun mereka tewas kepada Crystal Palace dan Manchester United baru-baru ini.

“Mereka adalah pendahulu liga dan kami menghormati status tersebut memandangkan barisan pemain berpengalaman dan jurulatih berkelas dunia yang mereka miliki. Saya akui kami dalam rentak terbaik tetapi kita akan berdepan dengan salah satu pasukan terbaik di Eropah.

“Barisan pemain yang mereka miliki telah menang banyak trofi utama termasuk Piala Eropah dan Piala Dunia manakala pengendalinya, Antonio Conte merupakan pemenang Serie A bersama Juventus.

“Bagaimanapun, kami akan berusaha sebaik mungkin kerana barisan pemain muda kami dahagakan kejayaan, namun saya enggan meletakkan sebarang tekanan kerana kami juga mahu fokus pada saingan liga nanti,” kata Pochettino. – Agensi

Process time in ms: 47