SUKAN

Skuad wanita sertai Jelajah Dunia

Skuad wanita sertai Jelajah Dunia


BARISAN pelumba wanita negara yang akan menggalas cabaran pada Jelajah Dunia Pulau Chongming 2017 di Shanghai, China pada Mei depan.


SKUAD berbasikal wanita negara menerima penghormatan tertinggi setelah dijemput untuk menyertai kejohanan berbasikal Jelajah Dunia Wanita Pulau Chongming 2017 di Shanghai, China pada Mei depan.

Selain Malaysia, dua negara lain yang turut dijemput untuk menyertai 15 pasukan terbaik dunia pada perlumbaan tersebut ialah Hong Kong dan Taiwan.

Menurut pengurus pasukan negara, Norazman Abu Samah, jemputan tersebut adalah atas hubungan erat antara Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dengan pihak penganjur kejohanan.

“Hanya Malaysia dari negara Asia Tenggara yang dijemput menyertai kejohanan berprestij itu. Justeru, perkara ini juga boleh dijadikan sebagai satu sejarah dalam arena sukan berbasikal negara selepas buat julung kalinya pelumba wanita kita terlibat dalam siri jelajah dunia.

“Mengikut keterangan daripada penganjur kejohanan, 15 pasukan terbaik dunia layak beraksi pada perlumbaan ini. Oleh itu, saya berharap agar barisan pelumba negara yang terpilih dapat menggunakan platform tersebut sebagai satu persiapan menghadapi Sukan SEA 2017, Ogos nanti.

“Perlumbaan ini adalah pentas terbaik untuk pelumba kita menimba pengalaman dengan pasukan kelas dunia. Peluang ini mungkin hanya datang sekali sahaja untuk seumur hidup,” kata Norazman ketika dihubungi Kos­mo! semalam.

Sebagai rekod, antara nama-nama besar yang dijangka menyertai perlumbaan tiga peringkat tersebut ialah juara dunia 2015 bagi acara Scratch, Kirsten Wild dari Belanda yang mewakili pasukan Cylance Pro Cycling dan juara La Course by Le Tour de France 2016, Chloe Hosking (Australia) yang mewakili pasukan Ale–Cipollini–Galassia.

Skuad negara di bawah kendalian Mohd. Firdaus Daud membariskan enam pelumba yang terdiri daripada Jupha Somnet, Nurul Suhada Zainal, Nurul Alissa Mohd. Azman, Syarifah Nurilyana Syed Zulkifli, Nur Aisyah Mohd. Zubir dan Grace phang Ching Zhen.

Dalam perkembangan sama, Norazman berkata, tiga hari selepas berakhir kejohanan tersebut, skuad yang sama akan terus membawa cabaran negara pada perlumbaan Jelajah Pulau Zhoushan.

Rencana Utama!»

Pembunuhan rakyat Syria beramai-ramai

ORANG awam yang disyaki terkena gas sarin di Khan Sheikhoun, Idlib, Syria bergelimpangan di atas tanah.

Varia!»

Polis Shah Alam dekati pelajar Taufiq Islami

Pelajar-pelajar Institut Taufiq Islami teruja dan seronok dapat beramah mesra dengan Shafien (kanan).

Process time in ms: 16