SUKAN

Pahang akui belum selamat

Pahang akui belum selamat


SKUAD Pahang yang dilatih Dollah (tengah) gigih menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi JDT di Larkin malam esok.


SKUAD Pahang mengakui kedudukan masih belum selamat walaupun memiliki kelebihan 3-1 ke atas pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan suku akhir kempen Piala FA musim ini.

Kelebihan 3-1 itu diperoleh menerusi kemenangan pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan, 1 April lalu.

Kedua-dua pasukan akan kembali membuat perhitungan pada suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunos, Larkin malam esok.

Dalam usaha untuk mengukuhkan peluang mereka melangkah ke pusingan separuh akhir, misi Pahang pada perlawanan kedua itu nanti adalah untuk memburu gol awal.

Jika berjaya merealisasikannya, peluang untuk menyekat kemaraan JDT adalah cerah.

Pengurus pasukan Pahang, Datuk Che Nasir Salleh berkata, jaringan awal itu sangat penting buat skuad Tok Gajah kerana ia bakal membuka ruang kepada mereka untuk menguasai permainan.

Dalam masa yang sama, Che Nasir tetap mengingatkan barisan pemain Pahang agar tidak terlalu ghairah memburu jaringan awal kerana ia boleh memakan diri sendiri.

Menurutnya, JDT bukan calang-calang pasukan dan atas hakikat tersebut, para pemain Pahang harus sentiasa fokus.

“Saya sentiasa mengingatkan kepada semua pemain bahawa bekalan agregat 3-1 yang dibawa ke Larkin masih belum meletakkan Pahang dalam keadaan selamat. Oleh itu, semua pemain perlu menggandakan usaha untuk menyekat kemaraan JDT,” kata Che Nasir di Kuantan semalam.

Ditanya mengenai persiapan pasukan bagi menghadapi JDT di Larkin malam esok, Che Nasir menegaskan, para pemain Pahang tidak harus berasa gentar, sebaliknya tampil memberi saingan walaupun beraksi di gelanggang keramat pasukan Harimau Selatan itu.

“Saya yakin, JDT akan mempergunakan sepenuhnya kelebihan yang ada pada mereka dalam misi untuk meraih kemenangan pada aksi suku akhir kedua itu nanti. Para pemain Pahang harus memberi tumpuan sepenuhnya kepada permainan tanpa ada perasaan gentar.

“Semua pemain berada pada tahap terbaik dan saya yakin jurulatih, Dollah Salleh juga sudah mempunyai perancangan tersendiri bagi menghadapi JDT di Larkin,” tambahnya.

Pada perlawanan itu nanti, JDT perlu menang 2-0 untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir atas kelebihan jaringan di tempat lawan.

Process time in ms: 32