SUKAN

N. Sembilan kembali menyengat

N. Sembilan kembali menyengat

PEMAIN Negeri Sembilan, Bruno Junichi Suzuki Castanheira (jersi kuning) diasak pemain Sabah, Rawilson Batuil pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi yang berkesudahan seri tanpa jaringan.


NEGERI Sembilan kembali mewarnai kemeriahan Piala FA selepas mengesahkan tempat ke pusingan separuh akhir apabila mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Sabah pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Keputusan tersebut sudah memadai buat juara Piala FA 2010 itu untuk meneruskan kemaraan dengan kelebihan agregat 1-0 hasil kemenangan pada suku akhir pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu, 1 April lalu.

Begitupun, skuad Negeri Sembilan tidak diberi laluan mudah kerana mereka telah berdepan tentangan sengit daripada pasukan pelawat yang ternyata ghairah untuk mencari gol pembukaan.

Begitupun, skuad Hoben Jang Hoben itu kental bertahan sehingga tamat perlawanan.

Turut mengiringi Negeri Sembilan ke separuh akhir ialah Kedah yang mara dengan agregat 6-2.

Pada aksi suku akhir kedua di Stadium Perak, Ipoh malam tadi, Kedah tewas 0-1 kepada pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC menerusi jaringan Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi pada minit ke-10.

Kekalahan tersebut tidak menjejaskan kedudukan Kedah untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan bergaya 6-1 pada suku akhir pertama di Alor Setar, 1 April lalu.

Di Kuching, pasukan tuan rumah, Sarawak terpaksa berputih mata apabila hajat mereka dimusnahkan oleh Terengganu.

Kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 2-2 selepas perlawanan suku akhir kedua itu berakhir dengan keputusan 1-1.

Pada aksi suku akhir pertama di Kuala Terengganu, 1 April lalu mereka juga mencatat keputusan seri 1-1.

Keputusan tersebut memaksa perlawanan diheret sehingga ke masa tambahan, namun tiada jaringan dihasilkan.

Pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti yang dipergunakan sepenuhnya oleh Terengganu untuk mencatat kemenangan 4-1.

Satu lagi pasukan yang memburu tempat ke separuh akhir akan ditentukan malam esok apabila juara bertahan, Johor Darul Ta’zim bakal berhadapan dengan Pahang di Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunus, Larkin.

Rencana Utama!»

Koleksi berjenama, vintaj resipi kejayaan Buntil

kedai Buntil yang diusahakan oleh Sting dan Adnan ini terletak di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Varia!»

Yoga gaya hidup baharu di Myanmar

THU ZAR sanggup meninggalkan kerjaya sebagai peguam demi kecintaannya terhadap senaman yoga.

Process time in ms: 47