RENCANA UTAMA

Medan membaca Kampung Parit Serong

Medan membaca Kampung Parit Serong


Sebahagian kakitangan Starbucks hadir menceriakan penduduk pada majlis pelancaran Perpustakaan Komuniti Starbucks di Kampung Parit Serong baru-baru ini.


Keadaan balai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Serong, Tanjung Karang, Selangor sudah berubah. Daripada sekadar sebuah balai kosong yang hanya digunakan sekali-sekala untuk mesyuarat ahli-ahlinya, kini ia menjadi kutub khanah yang dipenuhi pelbagai bahan bacaan.

Suara kanak-kanak dan dewasa warga kampung itu yang bercampur-baur memenuhi ruang balai itu. Gerak keterujaan dapat disaksikan apabila mereka mengambil dan membelek variasi buku di rak-rak.

Begitulah suasana apabila perpustakaan komuniti dilancarkan di kampung tersebut baru-baru ini. Diwujudkan oleh syarikat rangkaian minuman berasaskan kopi terkenal Starbucks, penduduk kampung itu kini memiliki perpustakaan di kampung mereka.

Kampung kecil yang memiliki kira-kira 300 keluarga itu memperoleh perpustakaan hasil inisiatif daripada program Starbucks’s Global Month Service 2017 yang melaksanakan khidmat sosial kepada masyarakat pada setiap bulan April.

Sebanyak 1,500 buah buku terdapat dalam perpustakaan itu yang sesuai dimanfaatkan oleh penduduk pelbagai peringkat usia. Ada buku bacaan am, pelancongan, keagamaan, masakan, novel, buku kanak-kanak, komik dan lain-lain.

Ia merupakan sumbangan pelanggan-pelanggan Starbucks, para kakitangannya dan syarikat-syarikat penerbitan.

Amalan membaca

Tok Sidang atau Ketua Kampung Parit Serong, Azahari Mardzuki gembira apabila membayangkan amalan membaca akan menyubur dalam kalangan penduduknya.

“Sebelum ini, tempat ini kosong, digunakan cuma dua kali sebulan untuk bermesyuarat. Kita pun fikir bagaimana hendak memanfaatkannya dengan lebih baik. Apabila Starbucks menyatakan mahu bekerjasama mewujudkan perpustakaan di sini, syukur Alhamdulillah,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Azahari berkata, pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk penjagaan perpustakaan itu. Buat masa ini katanya, perpustakaan itu dijangka dibuka pada Sabtu dan Ahad.


Perpustakaan komuniti di Kampung Parit Serong, Tanjung Karang, Selangor ini antara program khidmat sosial Starbucks.


Sebenarnya, bukan Kampung Parit Serong sahaja yang memperoleh perpustakaan komuniti yang dinamakan Perpustakaan Komuniti Starbucks itu. Pada hari yang sama, turut dilancarkan perpustakaan di dua komuniti lain iaitu di Felda Chini Timur 1, Pekan, Pahang dan Pusat Rukun Tetangga 4S, Kampung Semeba, Kuching, Sarawak.

Bukan itu sahaja, tiga komuniti lain juga bakal diwujudkan perpustakaan pada bulan depan iaitu di Perak, Johor dan Sabah yang lokasinya belum ditentukan.

Orang tengah

Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Strategi Digital Starbucks Malaysia dan Brunei, Salleharon Ahmad berkata, Starbucks telah berjaya mengumpulkan kira-kira 10,000 bahan bacaan untuk program tersebut.

“Bayangkan dalam tempoh 15 hari sahaja, kami dapat mengumpulkan hampir 10,000 buku dan bahan bacaan yang disumbangkan terutamanya oleh para pelanggan kami. Itu menunjukkan betapa terujanya mereka untuk menyertai program ini.

“Buku-buku itu diagih-agihkan di perpustakaan-perpustakaan komuniti yang jumlahnya bergantung kepada bilangan penduduk. Kelengkapan di dalam perpustakaan seperti meja, kerusi dan rak pula disumbangkan oleh rakan-rakan niaga kami,” katanya.

Salleharon berkata, menjadi prinsip Starbucks dalam khidmat sosial syarikat itu adalah dengan berperanan sebagai orang tengah antara pelanggan dan komuniti.

“Kita mengajar kakitangan-kakitangan kami tentang cara untuk menyatukan pelanggan dengan komuniti. Bukan kami yang menghulurkan bantuan, tetapi pelanggan. Kami cuma menggunakan peranan sebagai syarikat yang memiliki lebih 200 kafe di seluruh Malaysia untuk bawa pelanggan kepada komuniti.

Seorang penduduk Kampung Parit Serong, Sharifah Shukran, 50, gembira kerana kampungnya kini sudah mempunyai perpustakaan sendiri.

“Seronok sebab selama ini tidak ada perpustakaan, sekarang sudah ada. Saya melihat banyak buku termasuk buku-buku berbahasa Inggeris. Anak saudara saya minat buku-buku bahasa Inggeris.

“Saya pula tidak sabar untuk membaca buku-buku resipi,” ujarnya.

Rencana Utama!»

Kaedah dorsal slit selamat, cepat sembuh

Di negara ini, kebiasaannya kanak-kanak lelaki dikhatankan ketika berumur antara tujuh hingga 12 tahun. – Gambar hiasan

Varia!»

Khidmat pertapa popular di internet

TOON (kiri) mengikat tali pelindung di anggota badan pelanggannya.

Process time in ms: 47