TERKINI

Johor tidak bercadang rombak, lantik Exco baharu susulan peletakan jawatan Abd. Latif

Johor tidak bercadang rombak, lantik Exco baharu susulan peletakan jawatan Abd. Latif

21/04/2017 6:46pm


Abd. Latif dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru kelmarin. Dia dibebaskan semalam selepas membayar wang jaminan RM2 juta.


JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor tidak bercadang merombak atau melantik Anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu berikutan peletakan jawatan Datuk Abd. Latif Bandi sebagai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan terus digalas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Md. Jais Sarday seperti yang diumum ketika penyusunan semula Anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri awal Mac lepas.

"Jawatan dan portfolio lain akan kekal sampai pilihan raya umum. Tiada cadangan untuk melakukan apa-apa rombakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kedai Harga Patut Muafakat Johor Cawangan Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, di sini hari ini.

Mohamed Khaled menegaskan, beliau sebagai ketua kerajaan negeri menerima peletakan jawatan Abd. Latif kerana tidak mahu tumpuan Abd. Latif yang juga ADUN Endau terhadap tugasnya dalam kerajaan negeri terganggu ekoran pertuduhan dan perbicaraan kes yang dihadapi.

Berkuat kuasa 12 Mac lepas, Md. Jais dilantik memangku jawatan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggantikan Abd Latif bagi memastikan keberkesanan urusan kerajaan negeri. - Bernama

Process time in ms: 47