TERKINI

Festival Negeri Sembilan 2017 jadi tarikan pelancong

Festival Negeri Sembilan 2017 jadi tarikan pelancong

21/04/2017 3:54pm


Shamaruddin Saidin (empat dari kanan) bersama rakan sekerjanya menunjukkan risalah Festival Negeri Sembilan 2017 di bangunan Yayasan Negeri, Seremban hari ini.


SEREMBAN - Penganjuran Festival Negeri Sembilan 2017 bermula 8 April lalu hingga 1 Oktober ini diharap dapat menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara ke Negeri Sembilan pada tahun ini.

Pengurus Acaranya, Shamaruddin Saidin berkata, Negeri Sembilan pada tahun lalu mencatatkan bilangan pelancong seramai 7.2 juta orang dan pihaknya berharap bilangannya akan melonjak.

"Pelbagai acara menarik diatur di beberapa lokasi sepanjang Festival Negeri Sembilan 2017 berlangsung termasuk Mantin, Jelebu, Gemas dan Seremban. Kebanyakannya acara adalah di Port Dickson.

"Objektif penganjuran festival ini untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai salah sebuah destinasi pelancongan acara yang terkemuka," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Shamaruddin berkata, antara acara dalam Festival Negeri Sembilan 2017 sepanjang bulan ini adalah Triathlon Antarabangsa Port Dickson dari 22 hingga 23 April ini dan pertandingan Cabaran Drum Pantai dan Perkusi Port Dickson pada 30 April.

Menurut beliau, Cabaran Drum Pantai dan Perkusi Port Dickson yang turut disertai peserta luar negara merupakan sebuah pertandingan bermain drum dan perkusi ala filem Hollywood 'Drumline'.

Jelas beliau, hadiah utama pertandingan itu adalah wang tunai USD2,000 (RM8,700) dan ia akan berlangsung di Pantai Cahaya Port Dickson bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam.

"Pelbagai acara menarik akan berlangsung sehingga tamat festival ini. Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman web tourism.ns.gov.my," katanya. - K! ONLINE

Process time in ms: 32