RENCANA UTAMA

Sikap pemurah Jokowi disenangi rakyat jelata

Sikap pemurah Jokowi disenangi rakyat jelata


Presiden Indonesia menghadiahkan basikal yang dibelinya menggunakan wang sendiri.


“Siapa yang hafal Pancasila (Rukun Negara Indonesia) sila angkat tangan,” kata Presiden Indonesia, Joko Widodo di hadapan ratusan penduduk Mempawah, Wilayah Kalimantan Barat baru-baru ini.

Tanpa ragu-ragu, lebih 40 penduduk mengangkat tangan bagi menjawab pertanyaan Presiden Indonesia itu yang lebih gemar dipanggil Jokowi.

Mereka yang mengangkat tangan terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah, malah ibu-ibu yang mengendong bayi serta lelaki dewasa yang segak berpakaian turut tidak ketinggalan.

Jokowi berkata, mereka yang berada di barisan belakang memang berani mengangkat tangan tetapi kumpulan yang berada di hadapan perhimpunan itu kelihatan sangat pemalu.

Jokowi kemudian menuding jarinya ke arah beberapa penduduk yang berada di barisan hadapan sambil tertawa kecil.

Lantas lima orang yang berada di barisan hadapan menjawab pertanyaan tersebut dan berjaya melafazkan Pancasila secara lengkap serta mengikut turutan.

Menariknya, siapa yang berjaya menjawab soalan Jokowi bakal membawa pulang basikal sebagai hadiah.

Jokowi memang terkenal dengan sikap suka memberikan hadiah kepada penduduk ketika mengadakan lawatan ke pelbagai daerah di republik tersebut.

Kebiasaannya, pemberian hadiah berupa basikal dilakukan ketika program tertentu diadakan seperti program Indonesia pintar, makanan tambahan, keluarga harapan dan Indonesia sihat.

Kebiasaannya, soalan-soalan yang sering ditanya oleh Presiden Indonesia itu meliputi prinsip Pancasila, nama daerah, nama suku bangsa, nama sungai, nama makanan khas dan juga nama ikan.

Pun begitu, bukan hanya masyarakat di daerah yang dilawati Jokowi berjaya menerima hadiah daripada Presiden Indonesia itu, malah artis-artis terkenal seperti Choky dan Raisa juga antara individu yang pernah mendapat habuan daripadanya.

Jokowi juga sering membawa lima hingga 10 buah basikal pelbagai jenis mengikut saiz termasuk untuk kanak-kanak ketika menyertai sesuatu lawatan.

Bahagia


Orang ramai pasti tidak mahu melepaskan peluang bergambar bersama pemimpin nombor satu Indonesia.


Menurut Pegawai Komunikasi Presiden Indonesia, Johan Budi SP, kesemua basikal berkenaan telah dibeli menggunakan duit Jokowi sendiri.

“Harga basikal ini sebenarnya tidak terlalu mahal jika hendak dibandingkan dengan senyuman gembira yang diukir oleh penduduk selepas menerima hadiah istimewa daripada Jokowi,” katanya.

Semasa berkunjung ke daerah-daerah di luar Jakarta, Jokowi kelihatan selesa untuk beramah mesra dengan penduduk setempat seperti ketika berada di pusat beli-belah dan juga pasar-pasar awam.

Contohnya, ketika dalam rangka kunjungan rasmi ke Singkawang, Kalimantan Barat baru-baru ini, Jokowi mengunjungi pusat beli-belah Grand Singkawang selepas menghadiri Majlis Perasmian Pos Lintas Batas Negara Aruk di daerah Sambas, Kalbar.

Sepanjang berada di situ, Jokowi sentiasa melayani permintaan pengunjung yang berpusu-pusu meminta untuk bergambar dengan beliau.

Walaupun sudah menghampiri restoran D’Cendol yang terletak di dalam bangunan berkenaan untuk menikmati minuman, Jokowi juga dilihat masih melayan permintaan orang ramai yang ingin merakamkan gambar bersamanya.

Dalam lawatan rasmi ke Singkawang, Jokowi dan juga rombongan yang lain turut meluangkan masa melawat Pasar Hong Kong yang menjual segala keperluan masyarakat.

Orang ramai yang berada di pasar berkenaan ketika itu dilihat begitu teruja menyambut kedatangan rombongan beliau.

Jokowi turut berkunjung ke tiga gerai sayur-sayuran dan membeli timun, sawi serta cili.

Selain berinteraksi bersama penduduk tempatan, Jokowi turut mengedarkan beberapa barangan seperti buku, selipar dan payung.

Sebagai contoh, ketika dalam perjalanan dari Singkawang ke Mempawah dan seterusnya ke Pontianak, rombongan yang mengiringi lawatan Presiden Indonesia hanya memandu dengan kelajuan antara 60 hingga 80 kilometer sejam bagi membolehkan Jokowi menyapa penduduk tempatan yang berada di tepi jalan.

Kereta rasmi


Jokowi sering memberi hadiah kepada penduduk dalam lawatannya ke daerah tertentu.


Jokowi turut menghentikan kereta jenis Mercedes-Benz S-600 Pullman Guard yang dinaikinya sewaktu melalui kawasan persekolahan apabila pelajar-pelajar di situ menyapa rombongannya.

Beliau turut mengedarkan barangan yang dibawa seperti payung, selipar dan juga buku kepada mereka.

Situasi ini menyebabkan pegawai-pegawai keselamatan yang mengiringi lawatan Jokowi perlu memastikan tahap keselamatan sentiasa terjamin.

Penduduk setempat yang berdiri di sepanjang jalan turut menerima hadiah apabila beliau memperlahankan kenderaannya.

Mereka yang berjaya menangkap barangan yang dilempar oleh Jokowi daripada kenderaannya dilihat begitu gembira dan melompat keriangan.

Rombongan kemudian menghentikan kenderaan bagi mengisi semula barangan yang dibawa Jokowi selepas habis diedarkan kepada penduduk setempat.

Selain itu, rombongan juga terpaksa memberhentikan kenderaan mereka berikutan kereta rasmi yang dinaiki oleh Jokowi turut rosak ketika dalam perjalanan menuju ke Pontianak.

Menurut Ketua Biro Perhubungan Awam, Media dan Informasi Presiden, Bey Machmudin, kereta dinaiki Jokowi mengalami kerosakan selepas memulakan perjalanan kira-kira 30 minit.

Disebabkan masalah itu, Jokowi bersama isteri, Iriana terpaksa menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard yang disediakan oleh pihak kerajaan tempatan.

Sebelum Jokowi menaiki kenderaan gantian itu, proses pemeriksaan keselamatan dilakukan kira-kira lima minit.

Kenderaan rasmi yang digunakan oleh Jokowi dibeli pada tahun 2008 dan sejak itu, kereta Mercedes-Benz S-600 Pullman Guard itu telah mengalami kerosakan sebanyak empat kali.

Kereta itu telah rosak sebanyak dua kali di Jawa Tengah dan diikuti di Magetan Jawa Timur dan terkini di Kalbar sewaktu menuju ke Lapangan Terbang Supadio, Pontianak.

Bagaimanapun, Jokowi masih belum menunjukkan keinginan untuk membeli kenderaan rasmi yang baharu.

Varia!»

Bongkar sejarah Perang Naning

SHA HANIM menunjukkan buku keempat yang dihasilkannya berjudul Cincin di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Process time in ms: 47