RENCANA UTAMA

Kekejaman Zionis seksa rakyat Palestin

Kekejaman Zionis seksa rakyat Palestin

Peserta demonstrasi melontarkan batu ke arah pasukan keselamatan Israel dalam satu pertembungan di bandar Tebing Barat Isnin lalu.


“17 April membuatkan saya gementar. Itu adalah hari kita, masyarakat Palestin dan sekutu kami cuba menunjukkan solidariti terhadap mereka yang terkurung di sebalik jeriji besi rejim Zionis,” luah bekas tahanan politik, Ziad Abbas.

Tarikh itu diperingati sebagai Hari Tahanan Palestin yang telah memasuki ulang tahun ke-50 sejak Israel menduduki wilayah Tebing Barat termasuk Baitulmuqaddis dan Genting Gaza.

Pernah beberapa kali keluar masuk penjara sejak zaman kanak-kanak, Ziad, 53, mengakui berasa malu kerana ketika dia bebas, ribuan banduan masih di sana menghadapi segala jenis penganiayaan tanpa mampu membela diri.

Membesar di Dheisa iaitu salah satu daripada lebih 59 kem pelarian Palestin di Bethlehem, Tebing Barat, Ziad bercerita, tidur malamnya masih dihantui mimpi ngeri. Dia diseksa tentera penceroboh bersama beberapa remaja dan kanak-kanak lain sejak umurnya 14 tahun.

“Ketika itu, seorang rakan berkata, dia melihat bintang di waktu tengah hari. Hakikatnya, apabila seseorang dipukul dengan kuat di bahagian kepala mereka seolah-olah ternampak kilatan cahaya.

“Tangan kami diikat di belakang. Dalam keadaan mata terikat saya mendengar jeritan. Saya juga menjerit. Kami dibelasah bertalu-talu. Apabila saya jatuh, mereka membuatkan saya berdiri sebelum melayangkan satu tamparan keras di pipi saya.

“Kemuncaknya, saya dihumban ke lantai jip. Tubuh saya dihujani tendangan but tentera. Saya terasa darah mengalir tetapi tidak tahu di bahagian mana. Terasa sakit di seluruh tubuh,” ujar Pengurus Projek, Perikatan Kanak-Kanak Asia Barat yang berpangkalan di Berkeley itu.

Ziad yang juga bertugas sebagai wartawan antarabangsa berkata, generasi muda Palestin berdepan dengan polisi itu sejak tahun 1948. Mereka ditahan pada usia belasan tahun dan hanya dibebaskan selepas berusia 30-an.

“Tentera Israel menyeksa orang-orang kami sehingga mereka mati secara perlahan-lahan. Ia adalah sesuatu yang tidak dapat diterima akal.

“Bayangkan remaja berumur 13 atau 14 tahun disoal siasat dan mengalami tekanan untuk menyatakan sesuatu yang mungkin dia tidak pernah ketahui. Pada akhirnya mereka meringkuk di dalam penjara dalam tempoh yang panjang,” jelasnya.

Menurut pertubuhan yang memperjuangkan hak-hak banduan berpangkalan di Baitulmuqaddis, Addameer, sehingga kini, dianggarkan kira-kira 6,500 banduan menghuni 17 penjara Israel atas pelbagai sabitan jenayah.

Selain lelaki dewasa, 62 orang daripadanya adalah wanita, 236 remaja dan kanak-kanak termasuk 39 orang berusia antara 12 hingga 15 tahun.

Lebih 500 individu diletakkan di bawah tahanan pentadbiran tanpa sebarang pendakwaan atau perbicaraan di samping 13 anggota Parlimen Palestin menerima nasib yang sama.

Pilihan raya


PEGAWAI bersenjata Israel menunggu isyarat melepaskan tahanan Palestin dari penjara Hashron dalam perjanjian pertukaran seorang tentera Israel, Gilad Shalit pada 2011.


Sekurang-kurangnya, 1,500 banduan Palestin dari enam buah penjara melancarkan mogok lapar sejak Isnin lalu sempena Hari Tahanan Palestin susulan seruan berbuat demikian oleh pemimpin Fatah yang juga tahanan tentera, Marwan Barghouti.

Marwan yang popular dalam kalangan penduduk tempatan dengan tinjauan membayangkan dia mempunyai peluang cerah memenangi pilihan raya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana didakwa membunuh ketika gelombang Intifada 2000 hingga 2005.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Israel berikrar tidak akan berunding dengan penunjuk perasaan yang melancarkan mogok lapar tersebut. Menteri ketenteraman awam, Gilad Erdan pada Selasa lalu menyelar banduan terbabit sebagai ‘pengganas’ dan ‘pembunuh yang dipenjarakan’. “Marwan sudah dipindahkan ke penjara lain dan dikurung bersendirian kerana melancarkan mogok lapar melanggar peraturan penjara,” katanya.

Peraturan ketat


seorang wanita mendaftar untuk melawat saudaranya yang ditahan di penjara yang terletak di kota Tel Mond, Israel.


Beberapa tahun kebelakangan ini turut menyaksikan gerakan protes dibawa ke jalanan di sekitar bandar Ramallah, Hebron dan Nablus melibatkan penyertaan besar-besaran rakyat segenap lapisan dan aktivis kemasyarakatan.

Tahanan mendesak supaya dipindahkan ke wilayah yang diduduki seperti termaktub dalam Konvensyen Keempat Geneva 1949 bagi memudahkan ahli keluarga melawat mereka di samping memansuhkan peraturan ketat di pusat pemeriksaan tentera.

Mereka turut menuntut akses rawatan perubatan, melonggarkan sekatan terhadap kemasukan buku, pakaian, makanan, hadiah, pendidikan selain menyediakan telefon. Menurut Pusat Kajian Tahanan di Hebron, ramai banduan terabai dari aspek penjagaan kesihatan dan terpaksa membayar rawatan perubatan sendiri. Banduan sakit turut ditolak pemberian air secukupnya.

“Ia kecuaian yang disengajakan. Ada orang menunggu empat tahun untuk mendapatkan pembedahan,”ujar jurucakapnya, Amina al-Taweel.

Amina turut menyifatkan proses logistik tahanan dari penjara ke penjara sebagai menyeksakan. Menggunakan kenderaan dipanggil Bosta, ruang dalamnya dibahagikan kepada sel-sel logam yang ketat.

“Kaki dan tangan tahanan dirantai dan mereka ditempatkan di ruang terkurung untuk jangka masa yang lama dalam suasana gelap,” jelasnya.

Kumpulan Hak Asasi Antarabangsa Amnesty (AI), mendedahkan, keluarga dinafikan hak melawat banduan selama berbulan-bulan dan kadangkala berlarutan bertahun-tahun dengan permit lawatan khas diperlukan untuk menyeberangi pusat pemeriksaan.

Timbalan Pengarah Serantau AI, Magdalena Mughrabi berkata, tahanan Gaza yang dipenjarakan di Israel paling terjejas oleh sekatan itu. Ahli keluarga dibenarkan melawat sekali setiap dua bulan. Ia tidak selalunya berjalan lancar dengan pelbagai kerenah birokrasi.

“Tempoh lawatan sekitar 45 minit dengan pelawat dan tahanan akan dipisahkan dengan dinding bercermin. Hubungan fizikal dilarang dengan komunikasi dilakukan menerusi telefon dan lubang kaca.

“Tawanan Hamas contohnya dibenarkan sekali lawatan setiap bulan tanpa mengira di mana mereka datang,” tambah Magdalena.

Menurut Persatuan Tahanan Palestin (PPS), ada sesetengah kes, banduan tidak dibenarkan menerima pelawat selama berbelas-belas tahun seperti yang berlaku kepada Jamal Abu al-Haija, 57. Jamal kini menjalani hukuman 20 tahun penjara.

Bapa kepada lima cahaya mata itu ditahan bersama isterinya di bawah tahanan pentadbiran pada tahun 2002. Sejak itu, keluarganya yang tinggal di kem pelarian Jenin hanya berpeluang menjenguknya sekali.

Dia kini mengalami pelbagai masalah kesihatan akibat luka tembakan lama yang dilakukan tentera Israel sehingga menyebabkan tangan kirinya terpaksa dipotong.

Perpaduan


PETUGAS bersenjata berkawal di pekarangan penjara Ketziot yang terletak 72 kilometer dari selatan Beersheba, Israel.


“Proses permohonan untuk mendapatkan permit mengambil masa antara satu hingga tiga bulan dan dokumen itu mempunyai tempoh sah setahun.

“Ia perlu dikemukakan kepada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah sebelum dimajukan kepada pihak berkuasa Israel,” kata jurucakap PPS seperti dilapor agensi berita Palestin, Wafa.

Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah, mengajak rakyatnya menunjukkan perpaduan supaya menyampaikan mesej kekejaman penjajahan kepada seluruh dunia.

“Pada hari ini, kita diingatkan kesakitan pemenjaraan, kekejaman penjajahan dan kezaliman terkurung dalam sel penjara. Ini detik kritikal. Kami berbangga dengan kesabaran dan pengorbanan anda,” kata Rami menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Twitternya.

Stailo!»

Angkat seni fesyen di rantau Asean

Khampee LAKSANOSURANG (dua dari kanan) dari Thailand ketengahkan rekaan pakaian menggunakan elemen batik selatan Thailand.

Process time in ms: 47