NEGARA

Datuk Seri kepala gengster didakwa

Datuk Seri kepala gengster didakwa

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Ng Chian Sia, 55, dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini semalam atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng 24 Pulau Pinang dua tahun lalu.

Ia kali kedua tertuduh didakwa di mahkamah selepas kali pertama dia menghadapi tuduhan menjadi ahli kumpulan itu sejak dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen di George Town, Pulau Pinang pada 20 Februari lepas.

Selain Chian Sia, turut menghadapi tuduhan sama ialah Teh Swee Chin, 31; Bee Hooi Siang, 44; Eee Ching Hock, 47; Jeremy Cheng Yee Fun, 34; Mah Chee Seng, 46; Yeoh Kah Man, 26; Goh Chun Shien, 36; Ng Ah Boey, 37; Yeoh Choon Hin, 37 dan Teng Kok Haw, 26.

11 tertuduh yang lain ialah Lim Leong Huat, 27; Chee Chia Heng, 32; Song Wai Hon, 33; Teoh Jong Yow, 36; Yeoh Choon Hong, 45; Lee Chew Hong, 40; Tan Soo Ching, 36; Teh Hang Beng, 38; Tang Soon Poh, 24; Teoh Chin Yeow, 24 dan Teng Kok Loon, 29.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan dalam bahasa Mandarin di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab. Karim Ab. Rahman.

Mengikut pertuduhan, ke­semua tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng 24 Pulau Pinang di dalam daerah Timur Laut, Pulau Pinang antara 1 Januari 2015 dan 29 Januari 2017.

Masing-masing didakwa mengikut Subseksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah subseksyen sama dengan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabitkan kesalahan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Process time in ms: 32