HIBURAN

Hadiah Estranged buat peminat

Hadiah Estranged buat peminat


ESTRANGED yang terdiri daripada (dari kiri) Hanafi, Rich dan Din kekal berjuang sehingga mampu mencecah usia 10 tahun penubuhan band mereka.


Sempena meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan Estranged dalam industri muzik, kumpulan itu bakal mengadakan sebuah konsert istimewa pada 13 Mei depan.

Konsert Estranged Sepenuhnya: Setia Sedekad, Itu Kamu tersebut akan diadakan di Auditorium Bentley, Wisma Bentley, Mutiara Damansara, Damansara, Petaling Jaya. Ia disifatkan sebagai hadiah buat peminat yang setia bersama mereka selama ini.

Menurut vokalis Estranged, Richael Lawrence Limbang atau Rich, konsert ulang tahun itu juga adalah rentetan kejayaan persembahan mereka di Kilang Bateri, Johor Bahru, Februari lalu.

“Sambutan hebat yang diberikan oleh 600 orang peminat di Kilang Bateri memberi kami keyakinan untuk menjayakan konsert sulung di ibu kota pula dengan harapan ia akan membawa lebih banyak kejayaan.

“Secara jujurnya, kami agak risau dengan respons peminat di sini kerana mereka mempunyai banyak pilihan. Bagaimanapun saya tahu, peminat sejati Estranged pasti tidak akan melepaskan peluang ini,” kata Rich yang ditemui usai sidang sidang akhbar Konsert Estranged Sepenuhnya: Setia Sedekad, Itu Kamu, di Drum Asia Jamming Studio, Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Estranged yang turut dianggotai oleh Nor Hanafi Hadi atau Hanafi (gitar utama) dan Solihuddin Hormat atau Din (gitar bass) itu bakal mempersembahkan 20 buah lagu hit kumpulan tersebut dalam tempoh dua jam konsert berlangsung.

Tambah Rich, dia berharap menerusi konsert tersebut juga, peminat yang terlepas persembahan di Johor akan dapat hadir untuk sama-sama meraikan sedekad Estranged sebagai sebuah kumpulan muzik.

Rahsia

Menyentuh tentang rahsia keutuhan Estranged dalam menempuh perjalanan selama 10 tahun di dalam industri hiburan, Din berkata, ia bukan sesuatu yang mudah.

Bermula dengan tujuh orang ahli kini hanya tinggal dia bersama Rich dan Hanafi yang masih kuat berdiri demi memastikan Estranged terus kekal.

Menurut Din, bukan mereka bertiga tidak tergoda mengikut jejak langkah bekas ahli lain untuk mengalah dan membubarkan Estranged, namun sayang mereka terhadap kumpulan itu terlalu tebal.

“Banyak kali juga kami berasa penat dan mahu berhenti terutama apabila kedudukan Estranged tidak stabil dan hanya sesekali lagu kami diterima peminat.

“Namun setiap kali mahu mengalah, kami berjaya bangkit kembali kerana ikatan persahabatan yang dimiliki terlalu berharga untuk dileraikan,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, Estranged kini dalam misi untuk mencapai potensi mereka yang sebenar dan mahu memastikan setiap lagu baharu yang dikeluarkan mendapat tempat dalam hati peminat.

Pada tahun lepas lagu mereka bersama Fazura bertajuk Hancur Aku menerima reaksi positif dan mendapat perhatian meluas sehingga layak ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik. Namun begitu, penerimaan baik tersebut hanya bersifat sementara dan momentum itu tidak kekal lama.

“Ramai yang bertanya adakah kami terasa hati apabila Hancur Aku ‘panas’ seketika sahaja kemudian Estranged kembali di bawah radar, jawapannya tidak dan kami anggap itu semua rezeki.

“Tidak mengapa, masa kami akan tiba nanti, cuma kami perlu bersabar sedikit sahaja lagi,” ujarnya yakin.

Process time in ms: 47