HIBURAN

Ubat rindu Dayang untuk peminat

Ubat rindu Dayang untuk peminat

EKSKLUSIF - Dayang menyampaikan 10 buah lagu baharu termasuk hit terdahulu dalam sebuah persembahan eksklusif untuk peminat usai majlis pelancaran albumnya di MaTiC, Kuala Lumpur baru-baru ini.


TIADA apa yang lebih menggembirakan hati penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak, Dayang Nurfaizah selain melihat kelahiran album terbaharunya disambut hangat oleh para peminat.

Selepas enam tahun vakum tanpa album rakaman studio, ubat rindu berjudul Dayang Nurfaizah yang dipasarkan sejak 15 April lalu berjaya dijual lebih 2,000 unit dengan status trending pada tangga teratas carta muzik iTunes Malaysia.

Terharu dengan maklum balas positif yang diterima, Dayang atau nama penuhnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty menyifatkan album yang terisi dengan 10 buah lagu itu sebagai penanda aras baharu dalam karier nyanyiannya.

“Apabila membaca komen-komen positif peminat sejak album dipasarkan, saya berasa sangat lega.

“Saya berharap agar album ini juga diterima dengan baik seperti tiga single yang pernah diterbitkan sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran albumnya di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Biarpun pernah dikenali sebagai Ratu Irama R&B, Dayang yang membuat kemunculan semula menerusi tiga buah single berentak balada iaitu Di Pintu Syurga (2014), Tak Pernah Menyerah (2015) dan Lelaki Teragung (2016) membuktikan bahawa kekuatan vokalnya mampu menguasai pelbagai genre muzik dan lagu.

Single Di Pintu Syurga sebagai contoh berjaya memenangi tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29), manakala Lelaki Teragung pula dijulang sebagai Juara Lagu pada AJL31 yang berlangsung baru-baru ini.

Lebih manis, ketiga-tiga single tersebut telah meletakkan Dayang sebagai pemenang vokal terbaik dalam AJL untuk tiga tahun berturut-turut.

Melihat catatan kejayaan tersebut selain sambutan peminat yang tidak pernah jemu menyaksikan persembahannya melantunkan lagu berentak balada, tidak hairanlah jika Dayang memilih 10 trek lagu berentak sedemikian untuk dimuatkan dalam album baharunya.

“Saya pernah terfikir, mungkin agak membosankan jika kesemua lagu dalam album berentak perlahan.

“Namun, peminat gemar mendengar saya menyanyikan lagu-lagu berentak balada. Jadi sebagai hadiah, album ini dipenuhi dengan lagu-lagu yang mereka mahu dengarkan,” ujar Dayang yang turut mengambil kira kesesuaian vokal dalam pemilihan sesebuah lagu.

Tambah penyanyi yang pernah menyertai program nyanyian One In A Million itu, komposer yang terlibat dalam pembikinan albumnya turut memberikan lagu-lagu berentak balada.

“Selain permintaan peminat, saya juga menerima seleksi lagu balada daripada komposer.

“Jadi, saya mengambil keputusan untuk memberikan kelainan kepada peminat supaya album ini menjadi memori termanis buat mereka,” katanya sambil tersenyum.

Terbaik


PASUKAN - Bernaung bawah syarikat rakaman Indigital Sdn. Bhd. yang diterajui Poji Samad (dua dari kanan) dan Nana Mohd. Rom (kanan sekali), momentum karier seni Dayang semakin memuncak.


Selain laris di pasaran, album yang mendapat sentuhan daripada komposer tersohor seperti Ajai, Aubrey Suwito, Hazami dan Aizat Amdan itu turut diberikan jolokan sebagai album terbaik yang pernah dihasilkan oleh Dayang Nurfaizah.

Melalui tempoh rakaman yang agak panjang akui Dayang, satu standard perlu diletakkan agar hasil akhirnya dapat memuaskan hati semua pihak.

“Tidak dinafikan, ini merupakan album terbaik yang pernah saya hasilkan sepanjang berkarier sebagai pelantun suara.

“Dari segi seleksi lagu yang dimuatkan dalam album, saya dan pihak pengurusan sering duduk bersama dan berbincang untuk memilih karya-karya terbaik,” tegasnya.

Tambah pemenang kategori Vokal Wanita Terbaik menerusi Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM20) itu, keseimbangan antara kepuasan sendiri dan kemahuan peminat perlu memandangkan khalayak juga berhak untuk menikmati secara saksama lagu-lagu yang menjadi pilihannya.

“Menerusi perbincangan tersebut, saya pastikan lagu yang dipilih sesuai dengan cita rasa saya dan juga peminat,” katanya yang mengambil masa selama hampir tiga tahun untuk memilih material untuk album Dayang Nurfaizah.

Ditanya mengenai lagu kegemarannya dalam album tersebut, Dayang hanya mampu tertawa sebelum memberikan sepotong jawapan yang rasional.

“Sukar untuk melabelkan lagu mana yang menjadi kegemaran saya. Sebab itu saya memilih Dayang Nurfaizah sebagai tajuk album, bukan judul yang dipetik daripada 10 lagu dalam album ini,” katanya lagi.

Malar hijau

Beralih tumpuan ke arah rekaan sampul album yang hanya meletakkan padanan warna monokrom sebagai konsep, Dayang menjelaskan, rona hitam dan putih mewakili lagu-lagu yang terkandung dalam albumnya secara total.

“Saya melihat lagu-lagu balada dalam album ini sebagai material yang bersifat malar segar. Tidak dimakan waktu, lagu-lagu balada sentiasa segar di jiwa peminat.

“Mengambil inspirasi yang serupa, saya sengaja menyuntik elemen minimalis, warna hitam dan putih.

“Seperti potret hitam putih yang sentiasa menjadi pilihan jurugambar, saya berharap album ini juga akan sentiasa berada di hati peminat walaupun dalam tempoh 10 tahun akan datang,” ujar Dayang positif.

Sebelum menutup wawancara, Dayang ditebak dengan pertanyaan mengenai saingan yang bakal diterima daripada nama-nama besar yang melancarkan album dalam tempoh terdekat.

“Benar, Datuk Sheila Majid baru melancarkan album dan pada bulan hadapan, giliran Datuk Siti Nurhaliza pula.

“Saya tidak melihat perkara itu sebagai saingan, sebaliknya ia merupakan perkembangan positif yang memberi gambaran bahawa industri muzik Malaysia masih kukuh dan terus diwarnai karya berkualiti,” tutup Dayang.

Selepas majlis pelancaran album baharunya, Dayang turut mengadakan sebuah persembahan mini eksklusif untuk peminat.

Menerusi persembahan tersebut, Dayang menyanyikan kesemua lagu yang terkandung dalam album baharunya dan beberapa lagu hits seperti Seandainya Masih Ada Cinta, Pintaku Yang Terakhir, Bisikan Nurani serta Hakikat Cinta.

Rencana Utama!»

Teruja sambut Aidilfitri di Malaysia

MUHAMMAD Rasyad, (kiri), Muhammad Adam (tengah) dan Zuhaira menyambut hari raya pertama bersama mualaf lain di Hidayah Centre Foundation sebelum berlepas ke Abu Dhabi pada hari raya kedua.

Process time in ms: 46