DUNIA

Pence puji kesederhanaan Islam di Indonesia

Pence puji kesederhanaan Islam di Indonesia


REUTERS - PENCE (kiri) bercakap dengan Jokowi ketika sidang akhbar di Istana Presiden di Jakarta semalam.


JAKARTA – Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence semalam memuji bentuk kesederhanaan Islam di Indonesia.

Beliau turut menyifatkan keadaan itu sebagai satu inspirasi dalam permulaan lawatannya ke negara majoriti Muslim itu serta percubaan pentadbirannya untuk memulihkan perpecahan dunia Islam.

Kenyataan Pence itu dikeluarkan menjelang lawatannya ke masjid terbesar di Indonesia yang mempunyai populasi penduduk Islam paling besar di dunia.

Kedatangan Pence mewakili jangkauan berprofil tinggi kepada umat Islam oleh pentadbiran Donald Trump sejak bilionair itu memasuki pejabat, mengikuti lawatan oleh bekas Presiden AS, Barack Obama dan isterinya, Michelle pada tahun 2010.

Sejak menjadi Presiden hampir 100 hari lalu, Trump telah menjadi tuan rumah untuk pemimpin-pemimpin dari negara majoriti Islam seperti Jordan, Iraq, Arab Saudi dan Mesir.

Bagaimanapun, pentadbirannya turut cuba menghalang perjalanan rakyat dari beberapa negara majoriti Islam, atas alasan bimbang tentang keganasan, satu usaha yang kini dicabar di mahkamah-mahkamah AS.

Pence tiba di Istana Presiden di Bogor, dekat Jakarta untuk bertemu dengan Presiden Joko Widodo atau mesra digelar Jokowi dan menerima sambutan warna-warni oleh beratus-ratus pelajar sekolah yang memakai pakaian kebangsaan.

Selepas mengadakan pertemuan dengan Jokowi, Pence berkata: “Tradisi kesederhanaan Islam di Indonesia benar-benar menjadi inspirasi kepada dunia dan kami memuji kalian dan bangsa kalian. Di negara anda seperti juga kami, agama me­nyatukan, tidak memecahkan.”

Ketua Majlis Ulama Indonesia, Maruf Amin turut menyambut baik kedatangan Pence dengan menyatakan harapan akan menjadi petunjuk ke arah perubahan sikap terhadap agama Islam. – AFP

Process time in ms: 47