DUNIA

Mahkamah arah Nawaz disiasat

Mahkamah arah Nawaz disiasat

AP - KAWALAN ketat oleh anggota keselamatan sebelum keputusan dibuat terhadap Nawaz di luar Mahkamah Agung di Islamabad, Pakistan semalam.


ISLAMABAD – Mahkamah Pakistan semalam mengarahkan supaya Perdana Menteri, Nawaz Sharif disiasat berhubung penyalahgunaan kuasa ekoran pendedahan Kertas Panama tahun lalu.

Mahkamah Agung itu bagaimanapun mengekalkan beliau untuk memegang jawatan Perdana Menteri kerana dakwaan berkenaan tidak mempunyai bukti mencukupi.

Mahkamah membuat keputusan tersebut berikutan petisyen yang meminta penyingkiran Nawaz selepas timbul dakwaan keluarga ahli politik itu terlibat dalam pelaburan wang haram.

Pemimpin politik daripada pihak pembangkang termasuk bekas bintang kriket, Imran Khan cuba menjatuhkan Nawaz selepas pendedahan Kertas Panama bahawa anaknya telah membeli hartanah di London melalui syarikat-syarikat dorman luar pesisir.

“Satu siasatan secara menyeluruh perlu dilakukan,” kata Hakim Asif Saeed Khosa semasa mengumumkan keputusan mahkamah tersebut.

Pembangkang sebelum ini menuduh Nawaz mela­kukan pelaburan wang haram semasa dalam perkhidmatan sebelum memegang tampuk kuasa pada tahun 1990 hingga 1993.

Nawaz dan anak-anaknya sebelum ini menafikan melakukan perkara yang melanggar undang-undang.

Keputusan itu diumumkan selepas perbicaraan tegang selama beberapa bulan oleh tribunal lima orang hakim di ibu negara Islamabad dengan kedua-dua mereka, Nawaz dan Imran diwakili peguam mereka.

Selepas ini, jika Nawaz dibuktikan bersalah, beliau tidak akan berpeluang meneruskan pemerintahan untuk penggal keempat sebagai Perdana Menteri dalam pilihan raya yang dijadualkan pada tahun depan, menurut perlembagaan Pakistan.

Nawaz masih boleh memimpin parti politiknya walaupun dia didapati bersalah dan dipenjarakan, menurut peguamnya, Rizwan Khan.

“Beliau sepatutnya meletakkan jawatan,” kata Imran. – dpa/AFP

Process time in ms: 31