VARIA

Obses kecantikan boleh memakan diri

Obses kecantikan boleh memakan diri

Terdapat segelintir wanita yang mengambil masa lama untuk bersolek agar kelihatan cantik. Gambar hiasan


MUTAKHIR ini, kita seringkali membaca berita mengenai anak gadis yang jelita berubah rupa menjadi menakutkan.

Ia gara-gara menggunakan produk kecantikan tiruan atau yang telah dicampurkan dengan bahan kimia tertentu.

Kita juga sering mendengar ada anak gadis, malah wanita matang yang obses dengan kecantikan.

Bahkan, ada yang mengambil masa lama untuk menyiapkan diri agar kelihatan cantik walaupun hanya ke kedai runcit untuk membeli sekilo gula.

Benar, mereka yang cantik atau mempunyai perwatakan menarik akan lebih disukai.

Ini bukan sahaja berdasarkan pengalaman hidup kita seharian, malah kajian psikologi juga menunjukkan hal sama.

Individu yang menarik cenderung dilihat bijak, bermoral dan mempunyai prestasi lebih baik daripada orang lain.

Malah, kajian juga menunjukkan bahawa mereka yang mempunyai perwatakan menarik akan dinilai lebih baik berbanding dengan yang tidak.

Penilaian itu bukan sahaja oleh orang yang tidak dikenali tetapi mereka yang rapat. Bagaimanapun, obses keterlaluan adakalanya memudaratkan.

Dalam istilah psikologi, simptom seperti ini biasanya dikenali sebagai body dysmorphic disorder atau yang selalu disingkatkan sebagai BDD.

Mereka yang mempunyai masalah BDD ini cenderung berasa gelisah sekiranya ada rambut luruh atau ada bahagian tertentu pada anggota badan yang mengalami kekurangan.

Masalah

Orang yang mempunyai BDD ini juga lebih kerap untuk berada di hadapan cermin bagi memastikan mereka kekal cantik dan menawan.

Mereka akan berasa malu dan ragu-ragu jika berasakan ada kekurangan tertentu pada diri.

Malah, dikatakan bahawa mereka yang mempunyai masalah BDD akan cuba membandingkan antara keadaan diri sebenar dengan ciri sepatutnya.

Keadaan yang sepatutnya itulah yang akan mencetuskan banyak masalah kerana setiap manusia dilahirkan dengan keadaan diri sebenar.

Ketika berdiri di hadapan cermin, sekiranya melihat kita seorang yang kurus ataupun berhidung pesek, hakikatnya ia bukan satu masalah.

Itulah diri kita sama ada suka atau membencinya, kita tidak boleh menjadi orang lain.

Artis ternama atau mereka yang kaya-raya mungkin mampu melakukan pembedahan plastik agar dilihat sesuai seperti yang diinginkan.

Trend seperti ini telah berlaku di beberapa negara, khususnya di Korea Selatan tetapi pada akhirnya kita patut bertanya kepada diri sendiri.

Apakah hidup manusia ini hanya sekadar sebuah patung yang boleh diubah di sana sini? Manusia bukanlah sekadar jasad fizikal tetapi hakikatnya berada pada jiwa kita.

Ciri yang diperagakan dalam watak fizikal sama ada hitam atau putih, gemuk atau kurus, hanyalah objek yang menggerakkan diri kita.

Oleh sebab itu, pada akhirnya sama ada kita suka atau tidak, bukan pada rupa paras yang menarik. Kita disukai kerana jiwa.

Kita akan disukai jika mempunyai keperibadian baik atau mampu memberikan manfaat kepada orang lain. Rupa paras yang menarik hanya menjadikan orang lain tertarik dengan diri kita untuk seketika.

Selebihnya, mereka akan menilai diri kita yang sebenarnya. Kewujudan pelbagai syarikat yang menjual produk kecantikan menyebabkan ramai orang terpedaya.

Orang terpesona dengan model kecantikan berwajah ayu yang menjadi duta produk. Mereka terlupa bahawa duta kecantikan tadi sebenarnya seseorang yang memang semula jadi cantik.

Kecantikan mereka belum tentu ada kena mengena dengan produk tadi.

Jika kita berjalan di pusat beli-belah atau bertemu dengan rakan-rakan di tempat kerja, cuba perhatikan berapa ramai orang yang benar-benar cantik?

Jika kita bertanya, apakah pula yang dikatakan sebagai cantik? Kita akan menemui pelbagai jawapan.

Subjektif

Pada akhirnya, kecantikan adalah sesuatu yang sangat subjektif. Malah, mereka yang menjadi juara ratu cantik pun belum tentu dikatakan sebagai cantik oleh semua orang.

Lantaran itu, kita tidak perlu terlalu obses untuk menjadi cantik dan menawan. Jadilah diri kita sendiri. Jika hendak berhias sekalipun, cukuplah biasa-biasa sahaja.

Sampai masanya, kita semua akan dimakan masa dan menjadi tua. Kita tidak mampu menjadi cantik buat selama-lamanya.

Guru agama selalu berpesan. Bayangkan jika semua kulit kita ditarik keluar daripada badan. Hanya tinggal tulang belulang.

Itulah diri kita yang sebenarnya. Jadi berfikir secara rasional dan kembalilah menjadi diri kita. Pasti yang akan dinilai pada kemudian hari ialah jiwa atau roh kita dan bukannya rupa paras menawan itu.

Process time in ms: 16