RENCANA UTAMA

Memori nostalgik pita video lama

Memori nostalgik pita video lama

Tempoh proses penukaran video analog kepada digital bergantung kepada waktu sebenar video asal beroperasi.


IBARAT menaiki mesin masa, pemain bola sepak veteran, T. Gopinath Naidu terasa bagai diterbangkan ke tengah padang Stadium Merdeka, Kuala Lumpur saat menonton video pusingan akhir Piala FA yang menayangkan aksinya pada tahun 1993.

“Detik itu, Kuala Lumpur menjulang Piala FA buat kali pertama. Tidak sangka video VHS itu masih boleh berfungsi. Kalau tidak salah, kali terakhir saya menonton pita video itu adalah pada tahun 1999,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sorakan penyokong yang saling bertingkah pada pertemuan antara pasukannya iaitu Kuala Lumpur FA ketika menentang Sabah menjemput perasaan nostalgik di hatinya. Pada masa itu Gopinath baru berusia 19 tahun.

Klip video yang dimuat naik di Facebook itu pada asalnya diekstrak daripada pita video analog miliknya dengan bantuan juruvideo bebas, Benedict Lawrence Joseph, 37, yang lebih mesra disapa sebagai Ben.

Pada pertengahan tahun lalu, bekas pemain kebangsaan itu mendapat tahu mengenai perkhidmatan menyalin kandungan daripada pita video lama kepada format digital yang ditawarkan Ben melalui carian internet.

“Saya barangkali tidak dapat mengimbau kembali babak perlawanan tersebut dengan terperinci jika tidak menonton semula pita video tersebut. Rasanya saya seperti menemui permata yang hilang,” tutur Gopinath yang aktif memuat naik koleksi video lamanya di laman sosial.

Memasuki era digital, pita video boleh dianggap sebagai teknologi antik yang kian lenyap ditelan zaman.

Mengikut sejarah, pemain atau perakam video kaset (VCR) dicipta oleh Charles Ginsburg dan Ray Dolby dari Amerika Syarikat (AS) untuk syarikat produksi Ampex Corporation pada tahun 1956. Model pertama VCR dijual oleh Sony pada tahun 1971.

Cara penyimpanan video jenis itu pula terdapat dalam pelbagai format antaranya Video Home System (VHS), VHS-C, Hi 8, U-matic dan Mini DV.

Ben ketika ditemui di studionya di Sentul, Kuala Lumpur memberitahu, biarpun pita video boleh dikatakan hampir pupus, masih ramai orang yang menyimpannya sebagai kenangan dan koleksi peribadi.

Berbekalkan pengalaman selama 10 tahun berkhidmat di sebuah studio di ibu kota, Ben menawarkan perkhidmatan menukar kandungan pita analog kepada bentuk digital menerusi syarikat Marshall AV Services yang ditubuhkannya pada tahun 2002.

Pindah data


Pita video tidak mampu bertahan lama dan mudah rosak jika disimpan di tempat lembap atau terdedah kepada cahaya matahari.


Graduan Kejuruteraan Elektrik dari Institut Persekutuan Teknologi (FDI) itu berkata, memandangkan video analog mempunyai pelbagai format, ia hanya boleh dimainkan menggunakan pemain video yang sesuai mengikut jenisnya.

“Dalam hal ini, proses memindahkan data atau memori di dalam pita video analog perlu menghubungkan model pemain video yang berpadanan dengan komputer menggunakan adapter analog-digital.

“Saya sendiri mempunyai lapan jenis pemain video untuk digunakan mengikut jenis pita video yang diberi pelanggan,” jelasnya.

Ben berkata, dengan menggunakan perisian Final Cut Pro, video itu akan disunting secara bingkai demi bingkai sebelum disalin ke dalam cakera video digital (DVD) menggunakan mesin penyalin.

Tempoh masa yang diambil untuk membuat salinan itu bergantung kepada durasi video. Biasanya ia memakan masa antara satu hingga tiga jam.

Meskipun nampak mudah, proses sebenar lebih rumit daripada yang dijangka. Tambahan pula, tidak semua pita video diterima dalam keadaan baik serta masih boleh digunakan.

Ben menerangkan, lilitan tali pita diperbuat daripada plastik fleksibel dilapisi bahan magnetik jenis feromagnetik. Elemen itulah yang berperanan penting dalam penyimpanan memori atau data yang dirakam bagi sistem pita video.

Sensitif


Menurut Ben, proses suntingan video analog yang telah ditukar kepada digital dilakukan menerusi perisian Final Cut Pro.


Lapisan tersebut sangat sensitif kerana sifat magnetiknya boleh terjejas jika ia terdedah kepada haba atau udara lembap. Pada satu peringkat, ia akan ditumbuhi kulat.

“Jika perkara tersebut berlaku, saya perlu mengeluarkan gulungan reel yang panjang berjela-jela itu dan mencucinya secara manual satu persatu. Jika durasi video tersebut lebih lama gulungannya akan menjadi lebih tebal.

“Kalau tidak bernasib baik, pita video yang telah dicuci masih tidak boleh digunakan walaupun sehari suntuk saya melakukan proses itu. Selalunya saya akan mengulang proses itu dua hingga empat kali.

“Ada ketikanya ia berhasil. Jika tidak, saya akan pulangkannya kepada pelanggan tanpa bayaran. Pernah saya tidak mendapat walau seorang pun pelanggan dalam sebulan,” katanya yang mengenakan caj antara RM50 hingga RM200 bagi video yang berjaya diproses.

Tambahnya, peralatan seperti mesin penyalin yang digunakannya adalah model lama. Jika ia mengalami kerosakan amat sukar untuk mencari alat ganti.

Sebagai inisiatif, Ben sentiasa melayari laman web barangan terpakai untuk membeli kelengkapan tersebut sebagai persediaan pada masa depan.

“Kalau ia kerosakan kecil saya boleh memperbaikinya sendiri. Tetapi jika terlalu teruk saya tidak boleh berbuat apa-apa.

“Mungkin kerana itu tidak ramai orang menceburi bidang ini. Jumlahnya boleh dikira dengan jari,” jelas Ben.

Begitupun, Ben bertekad untuk meneruskan perkhidmatan tersebut. Beliau memperoleh satu kepuasan apabila melihat keterujaan pelanggan menonton kembali video lama mereka.

“Kebanyakan video yang diproses merupakan rakaman momen keluarga seperti majlis perkahwinan, memori zaman kanak-kanak, percutian, detik kejayaan dan sebagainya.

“Kadangkala ia boleh bertukar menjadi perkara yang menyentuh perasaan terutama apabila individu yang dirakam di dalam video tersebut telah tiada lagi di dunia ini,” tuturnya.

Bersetuju dengan Ben, seorang pelanggannya, John Dogra, 37, berkata, agak sukar mencari individu yang menyediakan perkhidmatan seumpama itu pada era digital sekarang. John yang ditemui semasa menghantar pita videonya kepada Ben untuk diproses baru-baru ini teruja menantikan hasilnya.

“Sudah lama saya mencari orang yang boleh membantu ‘menyelamatkan’ dua pita video milik mendiang bapa saya, Del Dogra. Pita itu telah ditumbuhi kulat.

“Ia khazanah berharga buat saya kerana itulah himpunan iklan komersial televisyen yang pernah dihasilkan bapa saya sebelum beliau meninggal dunia pada 1986.

“Seingat saya, ada antara iklan itu dibintangi artis popular tanah air, Datuk Sheila Majid. Justeru, saya berharap ia boleh diperbaiki dan dipindahkan ke medium digital supaya dapat bertahan lama apatah lagi saya kini mengikuti jejak langkah mendiang bapa yang menceburi bidang pengiklanan,” ujarnya.

Horizon!»

Bermain salji di tapak sukan bertaraf dunia

MUSIM sejuk menjadi destinasi popular pengunjung dari seluruh dunia untuk bercuti, mendaki dan meluncur salji.

Varia!»

Pemasaran 4.0 dalam konteks ekonomi digital

Pemasaran 4.0 merupakan satu pendekatan berkaitan strategi pemasaran yang memerlukan gabungan bersepadu interaksi online dan offline antara pengeluar dengan pelanggan.

Process time in ms: 47