VARIA

Kaedah betul kitar semula jerami padi

Kaedah betul kitar semula jerami padi

Bahan-bahan mentah seperti jerami, dedak dan mikrob digaul rata dalam proses penguraian jerami.


JERAMI merupakan hasil sampingan bahan pertanian yang berbentuk batang, daun dan tangkai tanaman setelah biji-bijian dipisahkan.

Sebelum zaman perindustrian, jerami kering digunakan secara meluas oleh petani untuk dijadikan bahan api, alas lantai atau katil, penyapu, makanan ternakan, kompos dan bahan binaan ringan seperti bumbung rumah.

Menurut kajian di Indonesia, berat jerami adalah lebih kurang 1.4 kali daripada hasil tuaian biji padi. Maka, daripada lima tan per hektar hasil tuaian, sebanyak 7.5 tan jerami dihasilkan.

Kandungan unsur yang terdapat dalam jerami adalah 0.5-0.8 peratus nitrogen (N), 0.07-0.12 peratus fosforus (P), 1.2-1.7 peratus kalium (K), 0.05-0.10 peratus sulfur (S) dan 4-7 peratus silika (Si).

Ini bermaksud, dalam 7.5 tan jerami mengandungi 37.5-60 kilogram (kg) N, 5.25-9kg P, 90-127.5kg K, 3.75-7.5kg S dan 300-525kg Si.

Di Malaysia, antara kaedah pengurusan jerami padi adalah melalui pembakaran bagi menghapuskan jerami dengan cepat. Pada masa yang sama, ia dapat membunuh patogen tanah dan merencatkan percambahan benih rumpai serta padi angin.

Namun, pembakaran terbuka menyebabkan pencemaran alam sekitar kerana hasil pembakaran mengandungi unsur K yang tinggi iaitu sebanyak 8.2 peratus dan ini akan menjejaskan kadar percambahan benih padi.

Kaedah lain adalah secara mengumpul dan mengeluarkan jerami untuk dijadikan makanan ternakan atau kompos.

Kaedah ini dapat menghapuskan jerami dengan cepat tetapi akan menyebabkan kehilangan unsur-unsur penting seperti N, P, K, S, Si, Ca dan Mg.

Jerami juga ada yang dibiarkan mereput di dalam sawah yang boleh menimbulkan masalah pereputan jerami dalam tanah dan membebaskan gas berasid atau beracun yang akan merosakkan tanah serta akar pokok padi.

Selain itu, penguraian yang tidak lengkap akan meninggalkan sisa dan ini boleh menyebabkan struktur tanah menjadi lemah serta lama-kelamaan tidak dapat menyokong berat mesin dan jentera.

Nisbah karbon (C) ke atas nitrogen (N) jerami padi ialah 48 manakala sekam padi sebanyak 171. Nisbah C/N yang sesuai untuk tanaman adalah antara 2530.

Manfaat

Bagi tanaman padi, nisbah C/N yang lebih rendah iaitu lapan hingga 10 diperlukan kerana sawah terendam pada tempoh yang agak lama.

Maka, jerami padi tidak sepatutnya dibakar, dibawa keluar atau dibiar mereput di dalam sawah tetapi perlu diurus dengan baik melalui proses kitar semula dan seterusnya diguna balik untuk manfaat tanaman padi.

Kaedah yang diamalkan di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian, Perak adalah kaedah kitar semula jerami padi dengan bahan-bahan mentah iaitu jerami, dedak, mikrob penguraian (nisbah 1,000:40:0.2) digaul rata sambil disembur dengan lautan mikrob aktif.

Campuran bahan-bahan kemudian dilonggokkan pada ketinggian sekurang-kurangnya 1.5 hingga dua meter. Longgokan dialih dua kali dengan selang tujuh hari sekali.

Proses alihan diperlukan untuk membekal oksigen kepada mikrob di samping menggaul rata bahan-bahan mentah untuk memudahkan penguraian.

Proses penguraian jerami padi dikawal pada kelembapan 55 hingga 65 peratus dengan suhu di antara 65 hingga 75 darjah Celsius dalam tempoh 21 hari.

Bahan-bahan mentah ini boleh diubah suai mengikut kedapatan sisa organik tempatan bagi mengurangkan kos.

Hasil penguraian jerami padi akan menghasilkan kompos dan diguna pada kadar dua tan per hektar untuk mengembalikan sebahagian nutrien yang penting pada tanaman padi seperti N,P K, Ca, Mg, S dan Si.

Hasil penggunaan kompos itu dapat mengatasi masalah padi angin iaitu kandungan mikrob dalam hasil penguraian mampu merangsang percambahan biji benih rumpai dan padi angin yang terdapat dalam tanah.

Oleh itu, rumpai dan padi angin yang bercambah seterusnya dibuang melalui pembajakan atau meracun sebelum proses penanaman dimulakan.

Melalui pemerhatian jabatan, kaedah ini dapat mengurangkan rumpai dan padi angin sehingga 80 peratus sekiranya digunakan berterusan dalam tiga hingga empat musim di samping ia dapat membekal nutrien penting kepada pokok padi.

Kitar semula jerami padi kini telah menjadi tumpuan kajian negara pengeluar padi utama dunia. Ini kerana ia dapat membekalkan nutrien pada tanaman padi dalam konteks penjimatan kos baja dan menyelesaikan masalah yang disebabkan pereputan jerami dalam kawasan padi.

Maka, aktiviti ini adalah sangat penting dalam pengurusan kelestarian tanaman padi.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan kitar semula jerami padi, orang ramai boleh menghubungi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Kerian, Jalan Matang Buluh, 34300 Bagan Serai, Perak Darul Ridzuan di talian 05-721 5260 atau e-mel [email protected]

Process time in ms: 47