RENCANA UTAMA

Edar lebih 7,000 barangan rekreasi

Edar lebih 7,000 barangan rekreasi

NUARA HARYANTY (kanan) mencuba beg galas jenama Deuter sambil diperhatikan Mohd. Zammil di kedai UFL cawangan Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.


PADA tahun ini, Mohd. Zammil Zuslaini, 35, telah memasang azam untuk menyempurnakan pendakian ke tujuh gunung tertinggi di negara ini yang lebih dikenali sebagai G7 dalam kalangan pendaki tempatan.

Ia merupakan cita-cita yang telah lama tersemat di dalam hatinya sejak berjinak-jinak dengan aktiviti lasak itu 17 tahun lalu.

Lebih menggembirakan apabila isterinya, Nuara Haryanty Mohamad Hatta, 35, turut berkongsi minat yang sama dan bakal bersamanya bagi menyempurnakan pendakian tersebut.

“Kami ke sini untuk mendapatkan kelengkapan mendaki bagi isteri terutamanya beg. Kedai ini sangat terkenal dengan penjualan beg jenama Deuter yang sememangnya popular dalam kalangan pendaki tempatan disebabkan oleh kualitinya yang tinggi.

“Selain tahan lasak, ia juga mampu bertahan bertahun-tahun lamanya walaupun digunakan secara optimum,” katanya ketika ditemui di kedai peralatan rekreasi UFL cawangan Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ini kerana jelasnya, barangan yang berjenama dan berkualiti sememangnya memiliki harga yang tinggi, lebih-lebih lagi ia merupakan barang yang diimport.

“Saya mengambil pendekatan alah beli, menang memakai dan ia sememangnya terbukti apabila beg kembara jenama Deuter pertama milik saya yang dibeli pada harga kira-kira RM500 pada 17 tahun lalu masih lagi boleh digunakan sehingga kini,” kata Mohd. Zammil.

Selain pasangan suami isteri itu, seorang kakitangan swasta, Kung Teong Eng, 55, turut menjadikan kedai tersebut sebagai pusat sehenti baginya bagi mendapatkan barangan keperluan sebelum memulakan pendakian ke mana-mana lokasi sejak dua tahun lalu.

Dia yang tinggal di sekitar Bangsar turut mengakui, UFL merupakan antara premis menjual peralatan rekreasi yang paling lengkap berbanding premis lain yang ada di negara ini terutamanya kelengkapan bagi aktiviti mendaki gunung.

Kedai peralatan rekreasi itu merupakan antara 12 cawangan yang dimiliki oleh syarikat pembekal peralatan rekreasi terbesar di negara ini, Universal Fitness & Leisure Sdn. Bhd. (UFL) yang beribu pejabat di Kawasan Perindustrian Kepong, Kuala Lumpur.

Jenama terkenal


Lampu suluh berkuasa MagLite antara barangan rekreasi jenama antarabangsa yang diedarkan oleh UFL.


Sejak beroperasi di negara ini bermula tahun 1986, UFL tidak pernah gagal dalam menawarkan pelbagai peralatan rekreasi kepada pengguna di negara ini terutama jenama terkenal di peringkat antarabangsa.

Pengarah Urusannya, Datuk Radha Krishnan berkata, pada tiga tahun pertama kewujudan UFL, syarikat itu lebih memberi fokus kepada penjualan peralatan aktiviti kecergasan dan sukan snuker, manakala barangan rekreasi seperti keperluan aktiviti menyelam dan kotak penyejuk hanya meliputi kira-kira 10 peratus.

Namun katanya, selepas mengambil alih operasi syarikat itu daripada Pengurus Besar sebelum itu iaitu Lyenne Phoon bermula tahun 1989, dia mula mengambil langkah proaktif dengan membawa masuk lebih banyak peralatan untuk aktiviti rekreasi dari luar negara.

“Dalam tempoh lima tahun pertama selepas saya ambil alih syarikat, UFL semakin dikenali ramai. Malah, syarikat juga semakin berkembang dengan pembukaan beberapa cawangan selain penambahan pelbagai barangan termasuk peralatan pelbagai jenis sukan.

“UFL juga mula menjadi perhatian beberapa pihak termasuk kerajaan apabila dilantik menjadi pembekal kepada beberapa peralatan sukan seperti boling padang, gimnasium dan trek balapan untuk Sukan Komanwel 1998 yang diadakan di Kuala Lumpur

Permintaan tinggi

“Malah, jelas Radha lagi, UFL juga merupakan pihak yang bertanggungjawab memperkenalkan sukan memanah di sekolah-sekolah di seluruh negara bermula tahun 1993,” katanya.

Tambahnya, permintaan yang tinggi terhadap peralatan rekreasi meyakinkan UFL untuk mengambil langkah berani dengan memberi fokus kepada pemasaran barangan tersebut dan membawa pelbagai jenama antarabangsa ke pasaran negara ini melibatkan pelaburan puluhan juta ringgit.

Ujarnya, selepas lebih 30 tahun bertapak di Malaysia, UFL telah menjadi pembekal eksklusif kepada 25 jenama antarabangsa bagi peralatan rekreasi dan jumlah itu tidak termasuk beberapa jenama lain bagi peralatan sukan dan kecergasan.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Pembangunan Produk UFL, Muhd. Syafiq Loke Abdullah, berkata, pada tahun lalu, syarikat berkenaan telah dilantik sebagai pengedar sah untuk lima jenama antarabangsa iaitu Igloo (kotak penyejuk), LifeStraw (alat penyedut air bertapis), Nite Ize (lampu suluh taktikal), Coghlan’s (peralatan aktiviti lasak) dan Cool Gear (botol penyejuk).

“Ia merupakan satu kejayaan apabila syarikat kami telah diberi kepercayaan dan dilantik sebagai pengedar sah bagi lima lagi barangan rekreasi berjenama antarabangsa pada tahun lalu.

“Ia bukan sahaja membuktikan bahawa UFL mempunyai keupayaan untuk membawa jenama antarabangsa ke pasaran Malaysia, tetapi juga sebagai platform untuk kami menambah jumlah produk untuk ditawarkan kepada peminat aktiviti rekreasi di negara ini,” katanya.

Pengedar berdaftar


Pelbagai barangan rekreasi jenama antarabangsa boleh didapati di semua rangkaian cawangan UFL di seluruh negara.


Jelas Muhd. Syafiq Loke lagi, sehingga kini, UFL telah memasarkan lebih daripada 7,000 peralatan rekreasi pelbagai jenama dengan kesemuanya dibawa masuk dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Jerman, Finland dan beberapa negara Eropah lain.

Malah katanya, syarikat itu juga mempunyai tiga buah gudang yang terletak di sekitar Lembah Klang dengan nilai barangan yang tersimpan berjumlah kira-kira RM10 juta.

Kesemua barangan tersebut katanya, bagi memastikan lebih daripada 300 pengedar yang berdaftar dengan syarikat itu memperoleh stok barangan.

Perkara itu diakui oleh Pemilik Kedai Beg Yoon Hing, Sia Sook Chan, 56, dengan memberitahu, sejak UFL beroperasi, dia telah mendapatkan stok beg kembara jenama Deuter daripada syarikat itu.

“Saya banyak mendapatkan stok beg Deuter daripada UFL kerana ia merupakan jenama yang paling digemari oleh penggemar aktiviti lasak di negara ini.

“Bukan sahaja orang tempatan, warga asing juga kerap datang ke kedai saya untuk mendapatkan beg kembara jenama Deuter kerana mereka tahu ia merupakan beg yang berkualiti dan tahah lasak,” katanya yang membuka premis perniagaannya di Kompleks Pertama, Kuala Lumpur.

Process time in ms: 31