PESONA

Warga emas dambakan belaian kasih sayang

Warga emas dambakan belaian kasih sayang

Pelbagai aktiviti dan pengisian yang bersesuaian disediakan untuk penghuni rumah ZACC.


SEAWAL pukul 4 pagi, penghuni rumah Zara Aisyah Care Centre (ZACC) di Shah Alam, Selangor itu sudah dikejutkan untuk makan ubat, membersihkan diri, solat berjemaah dan membaca al-Quran.

Tidak terkecuali dengan salah seorang bekas pegawai polis, Datuk Abdul Wahid Samsudin, 79, yang turut mengikuti rutin harian itu di pusat berkenaan.

Dia yang menghadapi dementia sejak tiga tahun lalu sebenarnya mengambil keputusan sendiri untuk tinggal di pusat tersebut.

Katanya, dia lebih gembira untuk tinggal di pusat itu berbanding di rumah sendiri meskipun masih mempunyai isteri dan empat orang anak.

“Saya selesa untuk tinggal di sini. Di pusat ini saya mendapat penjagaan rapi dan perhatian yang lebih daripada jururawat,” kongsinya ketika di temui Kosmo! di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Oleh kerana kebanyakan warga emas di ZACC terdiri daripada penghuni tetap, mereka disantuni dengan pelbagai aktiviti bagi mengisi jiwa yang kosong.

Sarapan pula disediakan seawal pukul 7 pagi. Bagi yang mampu menguruskan diri, latihan senaman ringan juga akan diberikan.

Ahli fisioterapi dan jururawat, Nur Syafiqah Sahparrudin, 25, mengakui, pesakit strok, Parkinson, Alzheimer atau nyanyuk memerlukan penjagaan lebih kompleks membabitkan fizikal, mental serta emosi.

Kebanyakan daripada perkara itu mungkin tidak dapat dilakukan oleh anak-anak sekiranya mereka tidak dilatih dari segi pengurusan perubatan termasuk jadual pemberian ubat, suntikan, jenis makanan dan senaman yang diperlukan.

Kuliah agama


RUMAH ZACC yang terletak di Seksyen 11, Shah Alam, Selangor ini menempatkan seramai 25 orang warga emas.


“Sekali-sekala mereka juga akan dibawa ke kedai atau bersiar-siar. Bagi yang gemar memasak, aktiviti seperti membakar kek dan biskut dapat menghilangkan rasa bosan serta memberi peluang mereka berkomunikasi antara satu sama lain.

“Bagi warga emas beragama Islam pula, kuliah agama diadakan pada waktu pagi dan petang.

“Kesibukan dengan pelbagai aktiviti menyebabkan mereka tiada masa untuk memikirkan mengenai kesakitan yang sedang ditanggung,” katanya.

Tambah Nur Syafiqah, stigma masyarakat tentang anak yang menghantar ibu bapa ke pusat jagaan orang tua sering kali dikatakan sebagai tidak baik sepatutnya tidak berlaku.

Ini kerana dari sisi pandangan berbeza, orang tua memerlukan pendekatan dan pengurusan diri yang berbeza terutamanya bagi mereka yang memerlukan penjagaan kesihatan lebih teliti.

Katanya lagi, kebanyakan anak mahu memberikan yang terbaik kepada ibu bapa mereka.

Oleh itu, terdapat kekangan yang menyebabkan golongan tersebut tidak berupaya menguruskan ibu bapa mereka secara bersendirian terutamanya warga emas yang koma, nyanyuk atau hilang upaya untuk bergerak.

Sementara itu, pembantu perubatan ZACC, Mohamad Faris Fikri Zahari, 22, berkata, warga emas bukan sekadar diselia menerusi sentuhan fizikal seperti dimandikan, menyediakan tempat tinggal yang selesa dan menyuapkan makanan tetapi membabitkan keperluan emosi termasuk sentuhan, belaian serta ucapan berhemah dan lembut.

“Namun, tidak semua penjaga mempunyai kriteria yang diperlukan. Tekanan kerja, kurang perhatian dan pengetahuan menyebabkan anak-anak mereka tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan.

“Dalam hal ini, sangat penting pesakit dihantar kepada pihak yang mampu menguruskan diri mereka secara lebih eksklusif dan berhemah agar kesihatan pesakit terjaga serta dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih positif,” katanya.

Terletak di Seksyen 11, Shah Alam, Selangor, banglo dua tingkat itu menempatkan 25 orang warga emas lelaki dan wanita yang mempunyai latar belakang berbeza terdiri dari seluruh negara.

Ujian saringan


RUANG bilik tidur lelaki dan wanita ditempatkan secara berasingan.


Mohamad Faris Fikri memberitahu, warga emas yang dihantar ke pusat jagaan itu perlu melalui ujian saringan perubatan dan menetap selama seminggu terlebih dahulu untuk tempoh percubaan bagi proses pemantauan.

“Laporan kesihatan pesakit sangat penting bagi menentukan warga emas ini tidak menghidap penyakit berjangkit atau agresif.

“Selepas seminggu kami menilai tahap kesihatan mereka, barulah mereka diterima sepenuhnya,” jelasnya.

Menurut Pengarah Urusan ZACC, Wan Salbiah Mior Yahya, 36, sejak dibuka pada April 2016, ZACC merupakan pusat jagaan orang tua yang beroperasi secara holistik.

Jelas Wan Salbiah, fungsi inilah membezakan ZACC dengan pusat jagaan orang tua lain yang hanya menekankan tempat tinggal dan aspek luaran semata-mata.

“Sebelum membuka ZACC, saya sendiri pernah berkunjung ke beberapa pusat jagaan orang tua yang dirasakan terlalu daif dan tidak menyediakan keperluan selesa.

“Dengan niat mahu menyediakan keperluan yang diinginkan warga emas ini, saya tampil dengan pusat jagaan yang menyediakan persekitaran lebih eksklusif dan bersesuaian dengan keinginan mereka,” katanya.

Tambah Wan Salbiah, pada penghujung usia, warga emas biasanya sangat sensitif, memerlukan lebih perhatian, ingin berkomunikasi dengan orang sekeliling dan belaian daripada mereka yang berada di sisi.

Memahami hal ini, ZACC menyediakan jururawat terlatih dalam bidang perubatan dan menjalani latihan yang lebih intensif khusus untuk pusat jagaan terbabit.

Ini kerana mereka perlu berhadapan dengan warga emas yang adakalanya mengalami masalah pelupa, tidak mampu bergerak dan bercakap.

Perasaan


Setiap makanan atau minuman yang diberikan mengikut kesesuaian dan kesihatan seseorang pesakit.


Daripada aspek lain, warga emas itu bukan sahaja memerlukan penjagaan fizikal tetapi melibatkan emosi.

“Jika ditanya mana yang lebih penting antara ubat dan menemani mereka berjalan, sudah pasti mereka membuat pilihan kedua.

“Sebab itu kami menyediakan keperluan yang diinginkan golongan ini. Bukan setakat perubatan tetapi lebih meluas iaitu membabitkan perasaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Salbiah memberitahu, sebelum membuat keputusan membuka ZACC, dia sudah menjalankan banyak kajian mengenai sifat dan ragam golongan itu.

“Berdasarkan maklum balas penghuni, aktiviti yang diadakan pada setiap hari mendatangkan kesan positif misalnya memasak, berkebun dan melukis yang membolehkan mereka berbual antara satu sama lain.

“Bagi warga emas, berkomunikasi ialah satu bentuk terapi yang menyebabkan mereka tidak memikirkan masalah atau kesakitan.

“Selain persekitaran yang selesa, kemahiran menguruskan pesakit juga menjadi perkara penting yang sering ditekankan kepada jururawat.

“Saya sering mengingatkan jururawat agar bekerja seikhlas hati. Rawat pesakit seperti ibu bapa sendiri.

“Berikan mereka bukan sekadar rawatan tetapi belaian emosi iaitu ubat paling berkesan.

“Bercakap dalam nada yang lembut, sentiasa bergurau dan bertanya khabar. Pelukan dan sentuhan sentiasa diamalkan supaya mereka lebih sihat serta yakin menempuh kehidupan yang berkualiti,” kata Wan Salbiah.

Tambahnya, pusat itu membenarkan anak-anak atau pasangan melawat ibu bapa mahupun pasangan mereka pada setiap masa.

Process time in ms: 46