INFINITI

Saintis mula terokai jantung gunung Mabu di Mozambique

Saintis mula terokai jantung gunung Mabu di Mozambique

Gunung Mabu turut mendapat julukan Gunung Rama-Rama kerana menempatkan lebih 200 spesies rama-rama yang jarang ditemui.


BUT lembab yang dipakai ahli biologi, Prof. Dr. Julian Bayliss serta enam lagi rakan pasukannya sudah beberapa kali tersangkut di dalam lumpur.

Ada di antara mereka kelihatan menggalas beg besar yang hampir menyamai saiz tubuh dan membawa gunting kebun.

Buat pertama kali, kumpulan tersebut menuju ke jantung Gunung Mabu yang terletak di utara Mozambique bermula pada pertengahan Mac lalu.

Hutan hujan tersembunyi itu mendapat julukan hutan Google setelah ditemui Bayliss menerusi paparan satelit Google Earth pada tahun 2005.

Sejak beberapa tahun lalu, Bayliss dan krunya telah mengenal pasti tiga spesies ular baharu, lapan rama-rama, dua sumpah-sumpah, kelawar, ketam, burung serta pelbagai tumbuhan yang belum pernah ditemui dan dinamakan sebelum ini.

Begitupun, tidak siapa pernah meredah hutan belantara itu dengan berjalan kaki. Penemuan sebelum ini diperoleh dari pinggir hutan, kem satelit kecil dan kawasan timur yang lebih rendah.

Dunia baharu


Byliss memegang seekor haiwan menyerupai sesilia namun ia dipercayai spesies baharu kerana mempunyai gabungan reptilia (ular) dan ambifia (cicak).


Ekspedisi anjuran pertubuhan laporan sains dan alam sekitar antarabangsa Alliance Earth itu bertujuan meneroka rahsia Mabu dengan lebih mendalam. Gunung Mabu mempunyai ketinggian kira-kira 1,700 meter dengan kawasan hutan meliputi 7,000 hektar.

“Boleh dikatakan hampir setiap hari hujan melanda kawasan ini. Pendakian ini bagai tiada penghujung tetapi ia sangat berbaloi. Siapa tahu apa yang akan kami temui nanti?,” ujar Bayliss dengan penuh teruja seperti dilapor The Guardian.

Kebanyakan spesies yang ditemui sebelum ini membawa nama Bayliss. Ia termasuk Nadzikambia baylissi iaitu sejenis sesumpah kecil dan Cymothoe baylissi yang merupakan spesies rama-rama.

Alliance Earth turut bercadang mewujudkan peta tiga dimensi, memeriksa kesihatan hutan, menyiarkan penyelidikan etnobotani, mencari potensi produk bukan balak dan memfilemkan dokumentari berkonsep realiti maya (VR) 360 darjah untuk pendedahan kepada umum.

Dalam perkembangan terbaru, Bayliss bercerita, pasukannya telah mengenal pasti sekurang-kurangnya satu lagi spesies rama-rama baharu dan mungkin lebih daripada itu selepas ujian genetik mengesahkannya.

“Kami juga menemui haiwan seperti sesilia yang jarang-jarang ditemui. Ia merupakan gabungan reptilia serta amfibia dan mungkin yang pertama seumpamanya. Terdapat juga spesies ular baharu dari genus Dipsadoboa. Begitupun, ia masih belum mempunyai nama.

“Selain itu, kami turut terjumpa air terjun selain struktur seperti gaung terbuka dikelilingi pokok-pokok besar setinggi beratus-ratus meter dan ngarai yang begitu menakjubkan. Ini penemuan geografi terpenting,” tambahnya yang bertindak sebagai penasihat teknikal untuk republik Malawi.

Khazanah alam


Haiwan tidak bertulang dipanggil lintah hantu ini masih belum dinamakan secara saintifik.


Pemburu tempatan yang bertindak sebagai pemandu, E Lio Cavaliao, 41, dan anak lelakinya, Bartolomeo, 26, turut menyertai ekspedisi itu.

“Penduduk tempatan telah mendapat manfaat daripada hutan ini sejak beberapa generasi. Ia menyelamatkan nyawa kami ketika peperangan menuntut kemerdekaan daripada Portugis pada 1964,” tutur Cavaliao.

Rakannya, Ernesto Andre, 38, bersetuju dengan pandangan tersebut. Dia dibesarkan di dalam hutan yang terpisah jauh daripada konflik perang.

“Pada zaman sebelum merdeka, berpuluh-puluh orang tinggal di kem kecil yang didirikan di dalam hutan. Ia merupakan satu-satunya cara untuk menyembunyikan bunyi tangisan kanak-kanak daripada tentera Portugis yang cuba memburu masyarakat.

“Sebelum ini, kami tidak fikir hutan tersebut amat berharga. Bagaimanapun, kini kami mengetahui kebenarannya. Hutan adalah kehidupan dan sumber kekayaan,” ujarnya.

Pakar perhutanan yang menyertai kumpulan itu, Rene Machoco, menjelaskan visi mereka adalah menjadikan Mabu sebagai kawasan pemuliharaan berpusat komuniti.

“Kami mendapati hutan ini utuh tetapi ia tidak dilindungi secara rasmi. Menurut agensi penyiasatan alam sekitar bebas, sebanyak AS$130 juta (RM557 juta) nilai kayu keras dicuri dari Mozambique setiap tahun. Kebanyakkannya dihantar ke China.

“Justeru, kami berpendapat, industri pelancongan berasas ekologi mampan dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Ia sekali gus dapat melindungi khazanah hutan berharga ini,” katanya.

Rencana Utama!»

Koleksi berjenama, vintaj resipi kejayaan Buntil

kedai Buntil yang diusahakan oleh Sting dan Adnan ini terletak di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Varia!»

Yoga gaya hidup baharu di Myanmar

THU ZAR sanggup meninggalkan kerjaya sebagai peguam demi kecintaannya terhadap senaman yoga.

Process time in ms: 47