VARIA

Veggie Factory atasi masalah tanah pertanian

Veggie Factory atasi masalah tanah pertanian

ISU kekurangan tanah pertanian dapat diselesaikan melalui teknologi Veggie Factory.


PERKEMBANGAN industri makanan semakin rancak diperkatakan pada masa ini berikutan pertambahan bilangan penduduk yang kian meningkat dan keprihatinan kepada makanan sihat serta kesedaran terhadap pencemaran alam sekitar.

Faktor cuaca seperti kemarau, hujan, banjir, jerebu dan pencemaran udara yang sering berlaku di negara ini banyak memberi kesan kepada penurunan hasil tanaman sayur-sayuran secara konvensional.

Dalam usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi serta mengurangkan defisit pengimportan makanan dari luar negara, Jabatan Pertanian yang terlibat secara langsung dalam industri pengeluaran sayuran telah memperkenalkan Veggie Factory.

Ia merupakan teknologi tanaman sayuran secara tertutup bagi menyelesaikan isu kekurangan tanah untuk kawasan pertanian berskala besar.

Veggie Factory merupakan teknologi menggunakan sistem pencahayaan diod pancaran cahaya (LED) sebagai media fotosintesis dan mampu mempercepatkan tempoh hasil tuaian.

Serangan penyakit

Teknologi ini dapat menghasilkan tanaman makanan berkualiti, segar dan selamat dimakan dengan pengawalan cahaya, pengeluaran karbon dioksida (CO2), kelembapan, suhu, kebersihan ruang dan sistem pengudaraan yang baik.

Selain itu, jaminan keselamatan makanan juga dapat dipertingkatkan melalui teknologi ini.

Ini kerana konsep penanaman Veggie Factory adalah secara dalam bangunan (indoor planting) yang dapat mencegah kemasukan serangan penyakit dan perosak tanaman.

Aplikasi ini juga dapat mengatasi masalah cuaca dan persekitaran tanaman secara langsung.

Di Selangor khususnya, teknologi Veggie Factory mampu mengatasi isu-isu utama dalam sektor tanaman. Ia dapat bersaing dalam arus kemajuan pembangunan melalui pendekatan meminimumkan penggunaan kawasan pertanian tetapi mampu meningkatkan produktiviti hasil tanaman.

Secara tidak langsung, penggunaan teknologi ini dapat membantu meningkatkan peratusan Tahap Sara Diri (SSL) sayuran negeri Selangor bagi menampung keperluan sumber pertanian terutamanya di kawasan bandar yang mempunyai kepadatan penduduk paling tinggi di negara.

Sehingga kini, Jabatan Pertanian telah memulakan makmal penyelidikan dan pembangunan Veggie Factory di Pejabat Pertanian Daerah Gombak/Petaling dan Pusat Pembangunan Komoditi, Kompleks Pertanian Serdang, Selangor.

Makmal di Pejabat Pertanian Daerah Gombak/Petaling mula beroperasi sejak Februari tahun ini dan berkeluasan 320 kaki persegi mengandungi sembilan rak tanaman yang boleh menampung 960 point sayur pelbagai jenis. Keluasan ini adalah lebih kecil berbanding kaedah penanaman konvensional.

Konsep ini juga boleh digunapakai untuk pengeluaran cendawan tiram.

Apa yang menarik mengenai penanaman menggunakan konsep Veggie Factory, hasil sayuran yang ditanam adalah bebas dari sebarang bahan kimia dan boleh dimakan terus.

Teknologi Veggie Factory ini mempunyai potensi besar untuk diusahakan dan mampu mengatasi isu-isu utama dalam pertanian seperti kekurangan tanah pertanian, faktor persekitaran yang tidak dapat dikawal dan mampu memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam sektor pertanian.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung Veggie Factory, orang ramai boleh menghubungi Pejabat Pertanian Daerah Gombak/ Petaling, Selangor di talian 03-6189 6905 atau layari http://pertaniangombakpetaling.blogspot.my/ dan Pusat Pembangunan Komoditi, Kompleks Pertanian Serdang, Selangor di talian 03-89486302.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 47