RUANG

Dekorasi rumah bertemakan Scandinavia

Dekorasi rumah bertemakan Scandinavia

PENGGUNAAN bantalbantal kecil pada sofa yang dijadikan aksesori membantu menaikkan seri kediaman.


BERSIH dan kemas. Hanya itu yang mampu diungkapkan sebaik daun pintu apartmen yang terletak di Sentul, Kuala Lumpur itu dikuak oleh pemilik, Tengku Syamimi Tuan Abdul Rahman, 31.

Dari luar pintu utama, gambaran awal perwatakan ibu kepada tiga orang cahaya mata itu sudah dapat ditelah.

Tengku Syamimi bukan sahaja gemar menghias rumah, malah dia turut mementingkan kebersihan kediamannya. Disebabkan itu, tidak hairanlah jika setiap ruang di dalam rumahnya terjaga rapi sehingga tidak kelihatan walaupun secalit habuk.

Sambil membawa kru Jurnal memasuki ruang utama apartmen itu, pemilik yang juga merupakan seorang pembeli peribadi mengakui dia begitu menggemari rona putih dan warna-warna pastel.

Disebabkan itu, dia mengambil kesempatan tersebut untuk menggunakan warna-warna kegemarannya untuk mewarnai setiap penjuru kediaman yang mempunyai tiga bilik tidur itu.

Selari dengan konsep dan pemilihan warna yang diolah pada apartmen berkeluasan 105 meter persegi itu, wanita yang mesra dipanggil Mimi itu mengakui keseluruhan ruang tersebut berkonsepkan Scandinavia dan sebahagiannya diadaptasi daripada kediaman orang-orang di Eropah.

“Sebenarnya saya sendiri tidak pasti dengan konsep asal rumah ini.

“Ini kerana, sewaktu mula berpindah ke rumah ini empat tahun lalu, saya dan suami sepakat untuk menggunakan rona putih pada dinding apartmen.

Pembeli peribadi

“Bagaimanapun, tanpa kami sedari, apartmen ini lama-kelamaan dipenuhi dengan rona putih. Bukan sahaja pada calitan cat di dinding, malah perabot-perabot di ruang tamu serta bilik turut menggunakan rona putih.


PENGGUNAAN pokok bunga sebagai aksesori berjaya membuatkan ruang tampak hidup.


“Penggunaan warna-warna ini sebenarnya bukan sahaja memberi aura tenang, malah memudahkan saya menyuai padan dengan aksesori-aksesori lain.

“Tambahan pula, disebabkan kediaman jenis apartmen tidaklah sebesar mana, penggunaan rona-rona pastel secara tidak langsung membantu memberi ilusi ruang yang lebih luas,” tambahnya

Ujar wanita yang berasal dari Terengganu itu lagi, bagi menaikkan seri kediaman, dia turut menggunakan gabungan warna-warna pastel yang lain seperti merah jambu, biru firus dan kelabu.

Ternyata, pemilihan konsep Scandinavia yang dipilih ketika mula berpindah ke kediaman itu membuatkan keseluruhan ruang benar-benar berada dalam kelasnya tersendiri.

Cerita wanita itu lagi, bagi menata rias kediaman tersebut mengikut cita rasanya, Mimi banyak merujuk bahan bacaan daripada internet.

Melihatkan keseluruhan apartmen yang terhias indah itu, Mimi mengakui mengambil masa hampir empat tahun untuk mengubah ruang kosong kepada kediaman berkonsepkan Scandinavia.

Ia kerana, proses tersebut terpaksa dilakukan secara berperingkat-peringkat kerana kesukaran untuk mendapatkan aksesori bertemakan Scandinavia.

“Dahulu barang-barang dekorasi yang mengetengahkan konsep Scandinavia sukar untuk dibeli.

“Kebanyakannya perlu dibeli dari­pada internet kerana ia dijual di luar negara. Tidak seperti sekarang apabila semuanya boleh didapati dengan mudah di sekitar Lembah Klang.

“Disebabkan itu, proses dekorasi ruang apartmen ini mengambil masa yang panjang. Bagaimanapun, saya berpuas hati apabila melihat hasilnya pada hari ini,” jelasnya.

Ujar Mimi lagi, minatnya dalam dunia dekorasi sejak dari kecil menyebabkan dia terpanggil untuk menjadi pembeli peribadi bagi barangan dekorasi kediaman.

Bantal kecil

Lebih-lebih lagi apabila dia sendiri pernah berhadapan dengan kesukaran untuk membeli aksesori kediaman kira-kira empat tahun lalu.


SUASANA tenang dapat dilihat pada bilik tidur utama.


“Saya sendiri pernah berhadapan dengan situasi tersebut. Memang sukar untuk mendapatkan barangan yang diinginkan lebih-lebih lagi apabila berada di luar Lembah Klang.

“Disebabkan pengalaman tersebut dan minat yang mendalam terhadap dunia dekorasi, saya mengambil ke­pu­tusan untuk menjadi pembeli peribadi. Sekurang-kurangnya saya dapat membantu memudahkan proses dekorasi orang ramai,” jelas Mimi yang merupakan pemilik Kusya Shopper.

Penggunaan warna-warna pastel pada ruang apartmen Mimi ternyata tidak menyebabkan keseluruhan ruang kelihatan suram.

Ini kerana, Mimi bijak menyuai padan dengan rona-rona ceria yang lain, selain penggunaan aksesori-aksesori kecil di sudut-sudut tertentu.

“Sebenarnya penggunaan bantal kecil yang diletakkan pada sofa di ruang tamu banyak menyerlahkan seri apartmen ini.

“Selain itu, penggunaan aksesori lain seperti bunga, lilin berwarna-warni dan hamparan bercorak abstrak penting bagi mengelakkan ruang tampak kosong,” jelasnya.

Bagi menonjolkan nilai eksklusiviti apartmen tersebut, Mimi menggunakan percikan lampu kuning untuk menerangi segenap ruang kediaman.

Biarpun keseluruhan ruang tampak mewah, namun Mimi menyatakan, dia hanya membelanjakan tidak sampai RM30,000 untuk kos dekorasi.

Rencana Utama!»

Pembunuhan rakyat Syria beramai-ramai

ORANG awam yang disyaki terkena gas sarin di Khan Sheikhoun, Idlib, Syria bergelimpangan di atas tanah.

Varia!»

Polis Shah Alam dekati pelajar Taufiq Islami

Pelajar-pelajar Institut Taufiq Islami teruja dan seronok dapat beramah mesra dengan Shafien (kanan).

Process time in ms: 16