PESONA

Peminat beramah mesra dengan penyampai radio, televisyen IKIM

Peminat beramah mesra dengan penyampai radio, televisyen IKIM


PENGUNJUNG berpeluang melihat secara langsung program yang bersiaran di radio IKIM FM melalui slot Dari Konti ke Pentas.


SELEPAS 25 tahun, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) terus berusaha untuk memperbanyakkan program yang memberi kefahaman tentang ajaran Islam kepada rakyat Malaysia.

Mungkin ramai sudah biasa mendengar nama IKIM tetapi kurang arif mengenai kedudukan institut yang banyak menjalankan penyelidikan dan kajian berkaitan isu membabitkan Islam dalam menghadapi cabaran semasa.

Memilih premis sendiri sebagai lokasi, Karnival Ulang Tahun ke-25 IKIM adalah pendekatan terbaik untuk memperkenalkan organisasi berkenaan secara lebih dekat kepada masyarakat.

Bagi Muhammad Izrol Abdul Hadi, 33, dia dan keluarganya meluangkan masa pada hujung minggu untuk menyertai karnival itu kerana ingin mencari program yang bercirikan Islamik bagi anak-anaknya.

“Selama ini, saya selalu mendengar radio IKIM FM mengenai program-program yang dijalankan tetapi tidak pernah sampai ke premis mereka.

“Jadi, apa salahnya saya membawa anak-anak dan isteri melakukan pelbagai aktiviti yang dianjurkan,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! pada Karnival Ulang Tahun ke-25 IKIM di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Muhammad Izrol, dia memuji usaha yang dilakukan IKIM untuk menganjurkan program itu.

Ini kerana ia memberi peluang kepada orang ramai untuk beriadah, sekali gus menimba ilmu melalui ceramah yang disampaikan oleh ustaz dan ustazah mereka.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Hanis Aswad Johari, 30, berkata, ini merupakan kali pertama dia datang ke premis itu.

“Sebelum ini, saya langsung tidak mengetahui lokasi mereka beroperasi.

“Saya juga berasa teruja kerana dapat berjumpa dan beramah mesra dengan penyampai radio serta televisyen (TV) IKIM.

“Antara aktiviti yang menarik perhatian saya ialah pencarian Cef Kreatif Tani Muda, pertandingan memanah dan Konsert Ulang Tahun ke-25 IKIM yang menampilkan barisan artis seperti Caliph Buskers, Rabbani, Inteam dan Daqmie,” tuturnya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah IKIM, Prof. Dr. Datuk Azizan Baharuddin berkata, penganjuran karnival itu adalah untuk membuka peluang masyarakat berkongsi pengalaman dan pencapaian diraih institut itu sepanjang 25 tahun penubuhan mereka.

Katanya, pelbagai aktiviti dan program yang dianjurkan IKIM dapat dihayati pengunjung menerusi pameran sepanjang tiga hari karnival pada 31 Mac hingga 2 April lalu.

Secara langsung


PERTANDINGAN mewarna kanak-kanak mendapat sambutan menggalakkan daripada para pengunjung yang hadir.


“Selama ini, masyarakat hanya mendengar mengenai IKIM menerusi media elektronik dan membacanya di media cetak atau media sosial.

“Namun, pada karnival ini mereka boleh datang dan melihat sendiri bangunan serta kemudahan yang ada di sini,” kongsinya.

Turut hadir bagi merasmikan karnival itu ialah Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta isteri, Tun Jeanne Abdullah; Pengarah Penerbitan Galeri Ilmu, Badrul Hisham Shari dan Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd. Zaidi Ismail.

Tambah Azizan, sepanjang karnival itu berlangsung, pengunjung dapat melihat sendiri penerbitan program yang bersiaran di radio IKIM FM yang dibawakan secara langsung melalui slot Dari Konti ke Pentas yang menampilkan ustaz dan ustazah yang menjadi tunjang program berkenaan.

“Kesempatan itu perlu direbut pendengar setia IKIM FM dan pengikut pendakwah itu untuk menyaksikan penyampai serta panel undangan bertugas di depan mata kerana selama ini mereka hanya mendengar menerusi radio.

“Antara program terpilih ialah Tarbiyah yang menampilkan Ustazah Norhafizah Musa dan Usrah Nurani bersama Ustaz Zulramli Mohamed Razali; Pesona D’Zahra (Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin) dan Mau’izati (Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani,” tuturnya.

Selain itu, Azizan memberitahu, penganjuran karnival itu juga sebagai penghargaan dan pendorong kepada warga IKIM yang banyak menyumbang untuk kejayaan institut itu serta tanda terima kasih terhadap sokongan yang diberikan peserta program anjuran IKIM, pendengar IKIM FM dan penonton TV IKIM.

Rencana Utama!»

Pembunuhan rakyat Syria beramai-ramai

ORANG awam yang disyaki terkena gas sarin di Khan Sheikhoun, Idlib, Syria bergelimpangan di atas tanah.

Varia!»

Polis Shah Alam dekati pelajar Taufiq Islami

Pelajar-pelajar Institut Taufiq Islami teruja dan seronok dapat beramah mesra dengan Shafien (kanan).

Process time in ms: 15